Pendedahan Bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berhubung cubaan merasuahnya oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng jelas membuktikan bahawa kepimpinan kerajaan Pulau Pinang hanya pandai membuat slogan tetapi tidak mampu merealisasikannya.
Ketua Pemuda UMNO P.Pinang, Ir Shaikh Hussain Mydin, berkata slogan C.A.T (Cekap, Akauntabiliti, Telus) sebenarnya tidak wujud tetapi C.A.T yang diperkenalkan oleh Guan Eng itu adalah Chit (tipu), Arrogance (ego), Twist (putar).
“Slogan C.A.T Guan Eng, adalah untuk mengaburi rakyat yang kononnya mereka lebih baik daripada kerajaan sebelumnya, tetapi realitinya C.A.T itu adalah untuk beliau menipu rakyat Pulau Pinang demi kepentingan politik peribadinya.
“Jika benar seperti apa yang didedahkan Tunku Abdul Aziz, Guan Eng tidak layak menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang kerana sanggup melakukan perbuatan terkutuk hanya untuk memastikan terus berkuasa.
“Apa yang sudah dilakukannya sejak jadi Ketua Menteri, tiada apa perubahan yang dibuat, mana ketelusan dan akauntabilitinya, apa yang dibuat adalah berdasarkan keputusannya sendiri, panel yang dilantiknya itu hanyalah sekadar `rubber stamp’,” katanya kepada UMNO-Online di sini.
Menurutnya, rungutan rakyat Pulau Pinang yang sering berlaku itu jelas menunjukkan ketidak cekapan pentadbirannya terutama kepada peniaga kecil apabila tiadanya ketelusan dalam membuat sebarang keputusan yang dilihat banyak melakukan pilih kasih untuk kepentingan sesuatu pihak sahaja.
“Slogan Guan Eng itu ibarat seperti ‘meludah ke langit, akhirnya jatuh menimpa ke muka sendiri dan cakap tak serupa bikin, slogan itu hanya sekadar slogan sahaja,” ujarnya.
Shaikh Hussain berkata, jika dahulu Guan Eng menyatakan Tunku Abdul Aziz adalah seorang pemimpin yang berintergriti dan apa yang berlaku jelas menunjukkan Guan Eng sebagai seorang yang tidak berintergriti sehingga sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu untuk terus berkuasa.
“Guan Eng cuba mempergunakan Tunku Abdul Aziz untuk mendapat sokongan orang Melayu, namun perkara itu semuanya sudah terbongkar apabila Tunku Abdul Aziz menyedari bahawa Guan Eng cuba mempergunakannya,” katanya.
Beliau berharap rakyat Pulau Pinang sedar dengan apa yang cuba dilakukan oleh DAP yang memperalatkan orang lain untuk kepentingan politik, kininya tembelang DAP sudah terbongkar, politik mereka adalah politik peribadi untuk kepentingan dinasti kepimpinan tertinggi DAP, Karpal Singh dan Lim Kit Siang serta anggota keluarganya. -MediaUMNO