..

..
Archive for 2015

default

LELAKI MENGAMUK DI PEJABAT JPJ AKAN DIDAKWA DI MAHKAMAH

on Thursday, December 31, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment



Lelaki yang menimbulkan kekecohan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Batu Uban, di sini yang rakaman video insiden itu menjadi viral semalam, akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata kertas siasatan berhubung rakaman video itu telah dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwaraya (DPP) dan pihaknya telah mendapat arahan untuk mendakwa peniaga berusia 45 tahun itu.

"DPP telah meneliti kertas siasatan kes berkenaan dan mengeluarkan arahan mendakwa lelaki itu di mahkamah esok mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan," katanya di sini hari ini.
    
Akhbar hari ini melaporkan rakaman video seorang lelaki yang berang menimbulkan kekecohan di pejabat JPJ itu menjadi viral selepas dikongsi semula di beberapa laman sosial antaranya Facebook semalam.
   
Video berdurasi empat minit menerusi akaun dipercayai milik peribadi lelaki atas nama Amin Beyond itu memaparkan dia sedang naik angin selepas mendakwa tidak boleh memperbaharui cukai jalan keretanya.

Mior Faridalatrash berkata berdasarkan siasatan polis, kejadian dalam rakaman video yang tersebar sejak semalam itu berlaku kira-kira pukul 4.45 petang 26 Nov lepas dan lelaki yang merupakan peniaga itu datang ke pejabat JPJ Batu Uban untuk memperbaharui cukai jalan kenderaannya.    
"Bagaimanapun dia menimbulkan kekecohan dan bertindak memaki hamun serta mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai JPJ di situ selepas gagal berbuat demikian kerana kenderaannya disenarai hitam ekoran terdapat beberapa saman yang belum dijelaskan.
   
"Ekoran kejadian itu, pegawai JPJ yang terlibat membuat laporan polis pada hari yang sama," katanya.
    
Menurut beliau polis turut menerima satu laporan polis daripada lelaki itu semalam yang mendakwa terdapat penyalahgunaan kuasa oleh JPJ berhubung kes memperbaharui cukai jalan keretanya.
  
"Berhubung laporan polis yang dibuat lelaki itu, kami merujuk ia kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Pulau Pinang untuk tindakan lanjut," katanya.

default

APA HUBUNGAN DAP - ISRAEL & 3 PERSOALAN TIDAK DIJAWAB

on Wednesday, December 30, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



 DAP diminta menjelaskan hubungan partinya dengan Israel, berhubung dakwaan bekas pegawai khas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa parti itu mendapat latihan daripada pakar perisikan rejim Zionis itu.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata kenyataan yang membantah sekatan dikenakan keatas atlit warga Israel oleh Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhe Min itu menguja persoalan hubungan ini dijawab.
“Kenyataan media Chong Zhemin tidaklah begitu serius berbanding dengan dakwaan bekas Pegawai Khas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, saudara Mohamed Razali Abd Rahman, seperti yang telah tersebar dalam media sejak empat tahun lalu.
“Sekurang-kurangnya, saudara Mohamed Razali melontar tiga dakwaan serius yang sehingga hari ini tiada penafian yang jelas dari DAP,” kata Zuhdi, dalam satu makalah yang disiarkan di laman web parti PAS.
Tiga persoalan yang dibangkitkan empat tahun lalu itu, menurut Zuhdi, adalah:
1. Pakar perisikan Israel terlibat untuk melatih G17 atau kumpulan seramai 17 orang pakar strategi DAP yang diketuai oleh Tony Pua, yang mana saudara Mohamed Razali mengakui beliau adalah bekas anggota kumpulan itu.
2. Sejak menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerap ke Singapura bertemu dengan wakil kedutaan Israel, dan saudara Mohamed Razali antara yang mengambil maklum urusan pertemuan tersebut.
3. DAP didakwa ditawarkan dana PRU ke-13 sebanyak US$300 juta oleh Israel, dan seterusnya Mohamed Razali mendakwa sebuah pengkalan tentera Israel baru akan diwujudkan di Port Dickson sebagai balasan jika DAP berjaya menguasai Putrajaya.
Mengulas lanjut, Zuhdi menggesa DAP supaya mengheret Mohamed Razali ke mahkamah bagi membersihkan nama baik parti itu.
“Setelah lebih empat tahun berlalu, tiada penafian yang jelas dari kepimpinan tertinggi DAP, sepertimana yang dilakukan oleh Chong Zhemin dalam isu terbaru.
“Kegagalan DAP menafikan dakwaan tersebut akan menyebabkan persoalan tentang hubungan DAP dan Israel masih tidak terjawab,” katanya. -FMT

default

SPRM BIDAS RAFIZI TAK FAHAM UNDANG-UNDANG MAHU DIDEDAHKAN NAMA PENDERMA RM2.6BILLION

by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment




Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyelar Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebagai tidak faham undang-undang apabila badan tersebut mendedahkan siapa penderma RM 2.6 bilion kepada Perdana Menteri.
Menurut Pengarah Operasi Khas SPRM, Bahri Mohd Zin, SPRM bersedia mendedahkan penderma terbabit namun peruntukan undang-undang sedia ada melarang tindakan sedemikian.
“SPRM tidak boleh mendedahkan siapa penderma tersebut kerana kami terikat kepada Akta SPRM 2009, yang melarang sebarang pendedahan butiran siasatan selagi ia belum di bawa ke Mahkamah.”
“Sebagai penggubal undang-undang, Rafizi sepatutnya lebih memahami undang-undang, dan jika beliau mahu butiran siasatan didedahkan kepada umum sebelum sisatan selesai, maka beliau perlu mencadangkan pindaan terhadap undang-undang sedia ada.

default

NASIB PENDUDUK KAMPUNG MUTIARA TERUS DIPERTAHANKAN

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




Kira-kira 500 orang berkumpul di Kampung Mutiara, Batu Feringghi di sini, bagi mempertahankan kampung itu yang didakwa akan dirobohkan pagi ini.
Mereka terdiri daripada penduduk kampung itu serta ahli beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain penduduk dari seluruh negeri ini.
Bagaimanapun, keadaan setakat ini aman dan terkawal tanpa sebarang kekecohan selain tiada kehadiran jentolak kelihatan memasuki kawasan perkampungan tersebut.
Penduduk kampung itu mula berkumpul sejak tengah malam tadi selepas tersebarnya desas-desus pemilik tanah berkenaan akan bertindak merobohkan kira-kira 50 buah rumah serta menghalau hampir 200 penghuninya pagi ini.
Ini merupakan percubaan kali kedua mengusir penduduk kampung itu selepas usaha pada pertengahan Oktober lalu gagal berikutan penduduk bangkit mempertahankan kampung mereka.
Konflik di kampung itu bermula selepas keputusan mahkamah berpihak kepada tuan tanah yang membeli tanah itu pada 2007.
Berikutan itu, satu writ pemilikan dikeluarkan bagi mengosongkan rumah di kampung tersebut, namun penduduk enggan berpindah kerana mendakwa tidak mendapat pembelaan sewajarnya sedangkan sudah mendiami perkampungan itu sejak 1950-an. - UTUSAN ONLINE

default

PAS GESA UMAT ISLAM TOLAK DAP SECARA BESAR- BESARAN PRU14

on Tuesday, December 29, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment



Isu 2 atlet pelayar dari negara Israel nampaknya betul betul menaikkan kemarahan PAS. 
Semalam PAS Perak menempelak DAP kerana kebiadapan cuba berpolitik melangkaui sentimen kedaulatan negara yang begitu konsisten menolak kekejaman Israel.
Hari ini Ketua Penerangan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari pula dengan lantang mengajak umat Islam perlu bangkit secara besar-besaran menolak DAP dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Menurut Ahmad Fadhli DAP telah menunjukkan wajah sebenar parti itu ke atas agama Islam apabila mengutuk langkah kerajaan menyekat dua atlet luncur angin Israel daripada menyertai satu pertandingan di Langkawi, Kedah.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS menyokong tindakan kerajaan Malaysia malah tidak wajar dibantah sebaliknya perlu dipuji kerana ia bukan bertujuan mencampur adukkan politik ke dalam sukan seperti didakwa oleh pemimpin DAP tersebut.
Ahmad Fadhli juga menegaskan bahawa tindakan Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin merupakan gambaran sikap DAP yang pro Israel dan mencerminkan sikap sebenar DAP dalam isu Palestin.
Malah kenyataan DAP tersebut seperti tidak memahami bahawa ia adalah pelaksanaan polisi terhadap hubungan diplomatik Malaysia – Israel yang telah diputuskan sekian lama oleh negara ini.
Jelas Ahmad Fadhli boikot terhadap Israel bukan dalam aspek sukan sahaja namun dalam semua lapangan sebagai satu tekanan terhadap rejim zionis yang terus melakukan keganasan di Palestin.
Selama ini menunjukkan betapa DAP bersandiwara dan tidak pernah memperdulikan betapa langkah kerajaan Malaysia itu bukan satu tindakan yang pelik di peringkat antarabangsa kerana Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia pernah melakukannya sebagai lambang solidariti kepada rakyat Palestin.
Justeru DAP gagal memahami isu Palestin bukan isu politik dan peribadi, tetapi ia isu kemanusiaan. Tidak membenarkan atlit Israel daripada memasuki negara ini merupakan langkat tepat.
Ketua Penerangan Pemuda PAS turut menegaskan bahawa kerajaan Malaysia berhak menerima pujian dalam perkara ini.
AMANAH dan Mufti Perlis turut menyelar tindakan DAP tersebut.

default

KENAIKAN KOS SARA HIDUP AKIBAT PERJANJIAN DAHULU, JANGAN HANYA SALAHKAN NAJIB - @Zahid_Hamidi

by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment



Apa berlaku  sekarang dari segi kenaikan kos sara hidup ditanggung rakyat akibat daripada perjanjian berat sebelah konsesi pemimpin  terdahulu. Rakyat ketika ini  hanya tahu marah dan menyalahkan Perdana Menteri sekarang .

Malah ada segelintir persatuan pengguna & ahli akademik mahu pemimpin sekarang iaitu DS Mohd Najib Tun Razak  bertanggungjawab .  Adakah ini adil ??

Di ketika pendapatan negara berkurangan akibat kejatuhan harga minyak dunia  dan kini hanya bergantung kepada cukai GST dan eksport negara , kerajaan tak boleh gunakan sewenang-wenangnya  duit kerajaaan untuk bayar pampasan berbilion ringgit  kepada konsesi dan swasta untuk menahan kenaikan harga tol atau tambang .

Ini kerana duit ini boleh dimanfaat kepada pembangunan dan menangani kos sara hidup  rakyat yang lebih utama .

Seperti nasihat TPM , rakyat perlu bersama kerajaan memikul tanggungjawab secara kolektif .




Semua pihak tidak wajar menyalahkan kepimpinan sekarang dengan kenaikan kos sara hidup akibat perjanjian dan konsesi yang dibuat oleh kepimpinan terdahulu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya berkata, kepimpinan pada hari ini dan rakyat perlu bersama memikul tanggungjawab itu secara kolektif.

"Jangan memuji (pemimpin) dahulu, menyalahkan sekarang supaya kita bertanggungjawab sepenuhnya.

"Kalau yang (pemimpin) lalu menyalahkan (pemimpin) sekarang, sedangkan najis yang terpalit itu dibuat oleh yang dulu, jangan salahkan sekarang (pemimpin)," katanya, di sini, hari ini.

Beliau mengulas Resolusi Deklarasi Prioriti 2016 bertajuk Ekonomi Keutamaan Kita anjuran Yayasan Damai Sejahtera Malaysia yang mahu kerajaan menangani cabaran kos sara hidup hari ini.


Ahmad Zahid juga berkata, kenaikan kadar tambang Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), dan sebaliknya akibat daripada legasi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita tahu ERL bukan milik kerajaan, ianya dipunyai oleh pihak swasta, kalau kerajaan nak bagi diskaun kena bayar RM2.9 bilion pampasan dan kalau rombak kita harus bayar puluhan bilion.

"Konsesi, tol, perjanjiannya sudah dibuat begitu lama, dan berat sebelah juga, perjanjian IPT juga telah dibuat begitu lama, kedua-duanya berat sebelah juga, tetapi kami yang tanggung," tegasnya lagi.

default

FITNAH TUN MAHATHIR PENYEBAB SAYA SWING SOKONG PM @NajibRazak - SYED ROSLI

on Sunday, December 27, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 14 Comments



KUALA LUMPUR: Gerakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberikan persepsi serta fitnah terhadap Perdana Menteri membuatkan bekas ketua Penerangan Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail berubah hati dan kembali kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Syed Rosli yang kini merupakan penolong setiausaha Pemuda bahagian sama memberitahu, penjelasan pelbagai isu kebelakangan ini menjadikannya sedar terlalu banyak perkara tidak betul dilemparkan kepada Najib selama ini.

"Saya bertukar sokongan kerana dapati gerakan Dr Mahathir menyebar persepsi dan fitnah. Banyak penjelasan yang diterima termasuk 1MDB dan derma RM2.6 bilion sebenarnya memang masuk akal dan rasional.
"Sebagai contoh, kalau buat perbandingan, RM2.6 bilion digunakan untuk 222 Parlimen yang bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN).
"Jadi apabila dibahagikan satu Parlimen akan dibahagikan lebih kurang RM11.7 juta. Ia masuk akal, Najib tidak akan menggunakan duit kerajaan untuk pergerakan pilihanraya. Najib juga tidak akan menggunakan duit tokoh korporat yang pasti mahu balasan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, Syed Rosli merupakan salah seorang ahli UMNO yang lantang mengkritik kepimpinan Najib.

Syed Rosli juga pernah menimbulkan provokasi selepas proses penyerahan borang pencalonan bagi pemilihan UMNO 2013 selain mencabar Ketua Pemuda dan barisan kepimpinan Pemuda untuk bersumpah laknat tidak akan melakukan rasuah.

Dalam pada itu tegasnya, kepimpinan Najib juga tidak pernah melahirkan individu yang menonjol dengan kekayaan seperti pada zaman Dr Mahathir.

"Apa yang Najib buktikan adalah peningkatan peluang pekerjaan dalam sektor awam dari 1.2 juta pada 2009 kepada 1.6 juta sekarang.
"Najib buat semuanya untuk rakyat dan isu penggantian perdana menteri seperti yang didesak Dr Mahathir tidak akan berakhir juga. Kalau najib berhenti, siapa pula hendak gantikannya?
"Banyak yang dikatakan Dr Mahathir akhir-akhir ini tidak betul, ia termasuk duit yang diberikan kepada ketua bahagian yang tidak mempunyai jawatan di dalam Kabinet," ujarnya.
Syed Rosli di laman Facebooknya hari ini menaikkan status syukur kehadrat Illahi kerana antara menjadi antara individu yang Allah telah bukakan pintu hati untuk kembali kejalan yang benar.

"Malahan jiwa saya lebih tenang dibandingkan sebelum ini kerana saya telah mempercayai fitnah terhadap PM. Saya berasa amat insaf dan menyesal terhadap kenyataan saya yang mahukan PM Najib berundur setahun yang lalu.
"Dari semasa ke semasa saya ditunjukkan bukti bahawasanya PM telah di fitnah selama ini.Allah sayangkan saya dan telah sedarkan saya.Syukur Alhamdulilah.
"Akhir sekali saya hanya mampu berdoa agar Allah SWT melindungi YAB PM dan keluarga dari serangan fitnah oleh mereka yang berniat jahat terhadap PM dan negara," katanya semasa dipetik

default

PAS NEGERI DEDAH KERAJAAN DAP LULUSKAN PEMBANGUNAN RUMAH MEWAH PAKSA MELAYU PINDAH

by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment


GEORGE TOWN – Tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang meluluskan banyak pembangunan perumahan mewah terutama di kawasan perkampungan warisan dilihat sebagai memaksa komuniti Melayu Islam berhijrah.

Ia juga usaha pecah undi Melayu di satu-satu kawasan, dakwa Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim yang pernah dipecat daripada jawatan ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana mengkritik DAP negeri itu.
Katanya, pembangunan sedemikian seolah-olah menghalau komuniti sedia ada secara terhormat dengan membina rumah ‘mampu gigit jari’ bernilai tinggi yang hanya bermula dari harga RM400,000 hingga melebihi RM1 juta.
“Ada semacam satu agenda pembangunan sangat pesat ini, semacam satu teknik pengusiran masyarakat Melayu Islam yang masih ada saki baki. Kalau tengok perumahan baharu, agak sukarlah bagi orang Melayu nak beli.
“Kalau perkara sebegini tidak dibendung, usaha perencanaan sistematik yang berjaya dibuat DAP ini akan hakis orang Islam dan perkampungan Melayu daripada bahagian pulau kepada tanah besar di Seberang Perai.
“Jadi pembangunan perlu ambil kira komuniti. Apa makna pembangunan atau perumahan yang boleh buat? Tapi komuniti tak boleh terima. Komuniti hanya hanya jadi penonton, jadi mangsa kepada pembangunan ini,” ujarnya.
Iszuree seperti yang dilaporkan laman web rasmi PAS dan disiarkan portal berita AgendaDaily berkata, nasib sama berlaku juga kepada penjaja Melayu Islam dikenakan tindakan roboh oleh pihak penguatkuasa tempatan.
Sedangkan MBPP dan Majlis Perbandaran Seberang Perai tidak pula melakukan perkara sama kepada kawasan penjaja majoriti bukan Melayu yang secara terang mengganggu lalu lintas dan tidak menjaga kebersihan awam.
Malangnya menurut beliau, apabila perkara tersebut diutarakan, pihak DAP pantas menuduh hal tersebut sebagai rasis, walhal tindakan pentadbiran DAP itu sebenarnya lebih dilihat jauh bermotifkan perkauman yang sempit.
Sedangkan jelas Iszuree, usaha PAS itu adalah untuk memberi keadilan, keharmonian dan hak rakyat sebagaimana menjadi intipati utama perjuangan Pakatan Rakyat serta dipersetujui dalam manifesto pilihan raya umum lalu.
Ia termasuk untuk mewujudkan garis sempadan Perkampungan Melayu Warisan di Pulau Pinang. Bagaimanapun ujarnya, perkara itu langsung tidak pernah dibincangkan sesama mereka setelah menang pilihan raya tersebut.
Sebaliknya pemerintah ditunjangi DAP lebih menitikberatkan pemeliharaan warisan kolonial Inggeris seperti yang terdapat banyak di bandar raya George Town setelah mendapat status tapak warisan dunia daripada UNESCO.
“Mereka cuba menarik sokongan ketika Pilihan Raya Umum pada 2013 lalu itu dengan agenda konon mahu bantu warisan perkampungan Melayu. Tetapi setelah menang dengan kuasa yang ada, tidak pula disentuh pun.
“Jadi, apa matlamat buat pembangunan rumah mewah begitu? Seolah-olah macam nak halau komuniti yang sedia ada secara berhormat. Apabila tidak mampu, pergi dari pulau ke sebelah seberang. Penghijrahan berlaku.
“Macam ada agenda tersembunyi, pembangunan ini supaya undi orang Melayu di situ pun berpecah. Ini agenda-agenda yang kita (PAS Pulau Pinang) sudah nampak,” tutur beliau meluahkan kebimbangan.
Sepatutnya terang Iszuree, kerajaan DAP Pulau Pinang mengambil tanggungjawab untuk memelihara komuniti Melayu kerana ia juga merupakan aset yang turut menyumbang misalnya kepada industri pelancongan negeri.
Terang beliau lagi, pelancong asing bukan sahaja datang untuk melihat pantai dan seumpamanya, tetapi juga komuniti masyarakat, budaya, makanan dan warisan asli tempatan turut boleh menjadi daya tarikan unik.
Beliau turut tidak menolak Kerajaan DAP cuba menjadikan Pulau Pinang sebagai pulau komersial seperti mana Singapura dan Hong Kong serta sebagai penempatan untuk orang kaya sahaja. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

default

KAWASAN LAUT TELUK KUMBAR AKAN DIPERTAHAN DARIPADA PROJEK TAMBAK LAUT KERAJAAN DAP - LKIM

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




 Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan akan mempertahankan kawasan laut Teluk Kumbar di sini, khususnya Permatang Damar Laut daripada sebarang projek tebus guna tanah.

Pengerusinya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya akan membawa perkara itu kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang mempunyai kata putus berhubung projek yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menambah, projek tambak laut di Permatang Damar Laut itu mempunyai pelbagai impak buruk bukan hanya kepada golongan nelayan, malah terhadap kelestarian alam sekitar khususnya hidupan marin.
Jelasnya, projek itu juga bakal menyebabkan bekalan sumber laut negara terjejas memandangkan kawasan Permatang Damar Laut merupakan antara penyumbang terbesar hasil laut negara.

“Atas apa alasan sekali pun, projek tambak laut itu tidak boleh diteruskan kerana kawasan laut ini menjadi sumber pendapatan kepada hampir 1,700 nelayan.

“Projek itu juga bakal menyebabkan kerosakan alam sekitar yang serius dan menjejaskan hidupan laut seperti ikan, udang dan kerang yang menjadikan kawasan ini habitat utama,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama-sama hampir 100 nelayan di Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini bagi mendengar keluhan mereka berikutan cadangan Kerajaan DAP Pulau Pinang menambak kawasan laut tersebut.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.

Jika mengikut perancangan kerajaan negeri, kawasan laut Permatang Damar Laut didakwa akan ditambak untuk membentuk tiga buah pulau buatan.

Pulau-pulau itu pula difahamkan akan ditender bagi memboleh­kan Kerajaan DAP Pulau Pinang mencari modal untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan negeri yang menelan kos RM27 bilion.

Dalam pada itu, Irmohizam berkata, projek tambak laut tersebut juga bakal menyebabkan LKIM menanggung kerugian kira-kira RM4 juta setahun yang disumbangkan daripada hasil jualan pasar nelayan di tiga buah kawasan iaitu di Teluk Kumbar; Sungai Batu dan Pulau Betong.
Keadaan itu juga, jelas beliau, bakal menjejaskan usaha Kerajaan Pusat sebelum ini dalam me­ningkatkan taraf hidup dan sosial golongan nelayan.

Tambahnya, sekiranya Kerajaan DAP Pulau Pinang benar-benar prihatin dengan nasib penduduk negeri ini, rintihan dan keluhan golongan nelayan tersebut tidak sepatutnya diabaikan dan cadang­an tambak laut berkenaan dihentikan serta-merta.

“Saya juga tidak melihat rasional projek tambak laut ini kepada usaha untuk membela nasib rakyat khususnya penduduk di sini, tetapi lebih menjurus kepada pengkorporatan dan pengkomersialan.

“Sedangkan kehidupan dan aktiviti nelayan di sini merupakan sesuatu yang tradisi atau warisan sekali gus perlu dipertahankan,” katanya.

default

BERI PERDANA MENTERI PELUANG - DYMM SULTAN JOHOR

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments






JOHOR BARU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menjelaskan bahawa baginda adalah di atas politik dan tidak memihak kepada mana-mana ahli politik.

Baginda turut merasakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu diberikan peluang keana setiap perdana menteri Malaysia juga pernah membuat kesilapan pada masa lalu.

Semasa temubual eksklusif selama sejam bagi penutup tirai tahun ini, Sultan Ibrahim bertitah dengan penuh emosi mengenai pelbagai isu termasuk putera baginda yang baharu sahaja mangkat, Almarhum Tunku Laksamana Tunku Abdul Jalil dan hubungan baginda dengan perdana menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Baginda juga bertitah mengenai bahaya vape dan mengapa ia diharamkan dengan serta-merta kerana disifatkan sebagai ‘teknologi dadah’ yang mengancam masyarakat.

Sultan Ibrahim turut menyentuh isu agama termasuk peruntukan besar bagi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

The Star: Tuanku, kami ingin mengucapkan takziah di atas kemangkatan Tunku Laksamana Tunku Abdul Jalil baru-baru ini. Bagaimana keluarga ini mengatasi kesedihan tersebut beberapa minggu lepas?

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar: Tahun ini ada pasang dan surutnya untuk beta dan keluarga. Pencapaian tertinggi pada Mac lalu, apabila beta ditabalkan sebagai Sultan kelima di negeri ini dalam sejarah Johor moden. Kali terakhir upacara pertabalan diadakan 55 tahun lalu.

Beta turut mengurniakan gelaran baharu Permaisuri Johor kepada isteri beta, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pada majlis pertabalan itu yang merupakan satu lagi detik bersejarah di negeri ini.

Pada Oktober tahun lalu, anak sulung beta, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menamatkan zaman bujang apabila berkahwin dengan Che’ Puan Khaleeda Bustamam.

Namun, kesemua peristiwa ini berlaku ketika keluarga ini berdepan saat sukar bersama-sama dengan Tunku Jalil berjuang melawan penyakitnya.

Tunku Jalil didiagnosis ketika sedang bercuti bersama kami di United Kingdom pada Ogos tahun lalu.

Beliau adalah pejuang sebenar dan lelaki yang sungguh berani. Walaupun proses rawatan amat menyakitkan baginya, ia juga menyakitkan buat kami.

Kami juga manusia biasa. Beta seorang bapa sama seperti ibu bapa lain di Johor. Hati beta hancur setiap kali melihat anak beta menderita terutamanya apabila mengetahui beliau akan meninggal. Beta terpaksa kuatkan diri sehingga hari terakhirnya.

Namun ketika isteri beta menulis warkah buat putera kami yang dikongsinya bersama rakyat Malaysia, kadang kala perkara yang berlaku tidak seperti yang dirancang. Tidak kira walaupun ia menyakitkan, seseorang itu perlu menerima hakikat dengan hati terbuka.

(Tunku Abdul Jalil mangkat pada 5 Disember lalu. Beliau disahkan menghidap penyakit kanser hati peringkat empat.)

Beta menyimpan semua pesanan mesej yang dihantar beliau. Ini adalah memori berharga yang amat penting untuk beta dan juga keluarga.

Namun kita perlu menerima nasib dan takdir. Allah mempunyai sebab-sebab-Nya. Beta ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Johor dari semua lapisan masyarakat, kaum dan agama yang memberikan sokongan terhadap putera beta.

Beta benar-benar ingin berterima kasih dengan sepenuh hati beta. Beta amat terharu.

Malah, sehingga hari ini, masih ada yang melawat makam diraja untuk memberi penghormatan terakhir mereka.

Mengenai pengharaman vape

Soalan: Mengenai masalah kesihatan, Tuanku telah mengarahkan pengharaman penjualan produk vape di seluruh negeri ini. Apa yang membuatkan Tuanku begitu tegas?


Jawapan: Beta membuat kajian dan ini bukan adat kita. Begitu juga shisha. Beta terkejut dan berasa jijik apabila terlihat wanita bertudung dan juga kanak-kanak menghembuskan asap vape.

Beta menyedari ini adalah permulaan kepada ancaman dan perlu campur tangan secepat mungkin. Bagi beta, ini adalah teknologi dadah yang berbahaya. Tidak seperti dadah, ia sukar dikesan.

Beta bosan dengan pelbagai pihak berkuasa di peringkat negeri dan kerajaan persekutuan yang masih tidak boleh membuat keputusan mengenai isu ini. Mereka mengheret isu ini dan beberapa ahli politik membuat kenyataan tidak masuk akal bahawa vape tidak harus diharamkan kerana jutaan undi akan hilang dan kepentingan bumiputera akan terjejas.

Beta fikir apa yang baik dan beta tegas bahawa semua ini perlu dihentikan pada 1 Januari tahun depan.

Buat masa ini, semua yang menentangnya demi perniagaan mereka. Adakah anda ambil berat tentang kesihatan orang ramai?

Terdapat juga mereka yang menentang termasuk ‘seorang pelawak’ yang mengheretkan diri ke dalam isu ini untuk memberikan komen mereka.

(Aktivis Abdul Rani Kulup Abdullah atau Kipidap yang terkenal dengan penampilannya memakai beret merah, menjadi tajuk utama berita kerana membuat lebih 1,000 laporan polis terhadap ahli politik pembangkang dan pemimpin NGO).

Baru-baru ini beliau menyertai badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dengan mengatakan Barisan Nasional bakal kehilangan satu juta undi pada pilihan raya umum akan datang jika pihak berkuasa terus mengenakan tindakan terhadap peniaga rokok elektronik atau vape.

Ia adalah semata-mata isu kesihatan dan beberapa ahli politik tidak wajar bercakap mengenai politik dan bangsa, ia adalah luar biasa.

Media termasuk The Star, menyiarkan bagaimana kanak-kanak sekolah rendah membelanjakan wang saku mereka untuk produk vape.

Apa yang beta takutkan sudah terjadi. Polis kini menahan beberapa individu yang menjual cecair vape berperisa ganja.

Lebih membimbangkan sindiket ini beroperasi sejak Ogos lalu dan menjualnya menggunakan Internet dan menghantar produk mereka melalui kurier.

Ini merupakan perniagaan haram. Apa kesannya jika Johor membenarkan penjualan produk itu di pusat membeli-belah, rumah kedai dan pasar malam?

Beta boleh tunjukkan banyak e-mel dan surat yang diterima dari seluruh rakyat Malaysia terutamanya ibu bapa yang menyatakan sokongan terhadap negeri ini yang mengharamkan produk tersebut.

Kini beberapa negeri lain turut mengikuti langkah ini dan Majlis Fatwa Kebangsaan mengisytiharkan vape sebagai haram.

Bagi beta, pendidikan dan kesihatan tidak patut dipolitikkan.

Mengenai kenyataan tegas Tunku Mahkota Johor di laman sosial

Soalan: Tuanku, tahun ini juga merupakan tahun di mana Johor sering menjadi perhatian. Tunku Mahkota Johor membuat kenyataan tegas mengenai isu yang melibatkan kepimpinan dan negara.


Jawapan: Ya, TMJ bercakap di atas keperluan untuk bersikap telus, bertanggungjawab dan dipercayai tetapi tidak pernah ditujukan kepada sesiapa.

Beliau ada pendapatnya. Sesiapa yang termakan cili akan teras pedasnya. Beta tidak berdebat dengan TMJ mengenai kenyataan beliau tetapi beta ada bertanya mengenainya dan sebaik sahaja beliau memberi penjelasan, beta ok dengan kenyataan itu.

Namun beta sentiasa menasihati beliau supaya tidak menyakiti sesiapa. Berdasarkan kejayaannya dalam bola sepak, beta fikir beliau telah mengubah wajah bola sepak di negara ini. Tidak ramai orang berpuas hati dengan kejayaan beliau. Kenyataannya sentiasa mendapat sokongan daripada rakyat. Beta melihatnya menerusi komen-komen di Facebook.

Mengenai peranan Raja dan pemerintahannya

Soalan: Adakah timbul persepsi di kalangan beberapa ahli politik bahawa Tuanku melampaui kuasa anda?

Jawapan: Beta bukan boneka di Johor. Beta mempunyai hak untuk memanggil menteri besar untuk menegur beliau pada bila-bila masa dan lain-lain dalam kerajaan beta uga. Beta merupakan individu yang melantik kerajaan negeri. Beta sentiasa meletakkan kepentingan rakyat terlebih dahulu.

Biar saya ceritakan mengenai pengajaran bersejarah apabila moyang beta, Almarhum Sultan Ibrahim yang memberi wang untuk memulakan Umno dan mesyuarat pertama sebenarnya diadakan di istana di Johor.

Selepas itu, anaknya, Almarhum Sultan Ismail, sebagai pemangku Raja Johor pada masa itu, merasmikan Kongres Melayu pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Baru yang membawa kepada penubuhan Umno.

Biar beta ingatkan ahli politik yang tidak tahu mengenai sejarah atau terlalu malas untuk membaca buku sejarah – Umno dilahirkan di kawasan istana Johor.

Umno pada hari ini bermula di kawasan istana yang kami duduki sekarang. Itulah sejarah parti.

Peranan Sultan Ismail turut diiktiraf semasa perarakan besar yang diadakan pada 8 Jun 1946 untuk meraikan kejayaan Britain dalam mendapatkan semula Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah.

Itulah bagaimana istana bertanggungjawab dalam detik-detik penting dalam sejarah negara ini.

Peranan Raja-Raja selaku penjaga Islam dan Jakim


Soalan: Boleh Tuanku berbicara mengenai peranan Raja-Raja sebagai penjaga agama Islam, memandangkan beberapa agensi agama persekutuan dilihat menggunakan pengaruh dan kuasa dalam ruang agama hangat diperkatakan baru-baru ini?

Jawapan: Kami adalah ketua agama di negeri masing-masing. Jakim boleh memberikan nasihat atau mencadangkan garis panduan tetapi segalanya bergantung kepada kami (Sultan) sama ada kami mahu menerimanya.

Beta melantik sebuah panel di dalam Majlis Agama Islam Johor. Mereka datang dengan fatwa untuk beta luluskan. Fatwa tidak boleh dikuatkuasakan tanpa kelulusan beta. Kadang kala beta mempertikaikan fatwa dan beta mahu mereka menerangkannya, tetapi Jakim tidak mempunyai hak untuk campur tangan di negeri ini.

Soalan: Adakah anda tahu bahawa sekolah Islam bermula di Johor sebelum diperkenalkan di negeri lain?


Jawapan: Kami tidak pernah mempunyai sekolah pondok tetapi sebaliknya mewujudkan sekolah agama. Negeri lain juga sebenarnya menggunakan sukatan pelajaran kami.

Jakim melapor kepada Majlis Raja-Raja dan mereka kebiasaannya menasihati Kerajaan Persekutuan.

Beta ingin tahu sekiranya benar, mengapa mereka memerlukan peruntukan sebanyak RM1 bilion? Adakah ia termasuk peruntukan kepada semua negeri? Semasa persidangan Majlis Raja-Raja Beta yang seterusnya, beta mahu mereka menunjukkan pecahan dalam perbelanjaan. Beta mahu tahu jika mereka membiayai sekolah agama di sini.

Mengenai Istana Johor, Perdana Menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri

Soalan: Tuanku, maafkan kami kerana bertanya soalan sensitif memandangkan Johor kini merupakan lubuk panas politik. Kenyataan Istana Johor, sama ada rasmi atau bersahaja dikeluarkan di media sosial memberikan gambaran bahawa Tuanku mengkritik perdana menteri atau tidak memihak beliau.
Jawapan: Tidak, saya tidak memihak kepada sesiapa. Beta tidak pernah berkata beta tidak memihak kepada perdana menteri. Beliau adalah perdana menteri sama ada anda suka atau tidak.

Beta harus katakan setiap perdana menteri pernah melakukan kesilapan. Bagi beta, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bekas menteri besar dan bekas timbalan perdana menteri. Beliau datang ke sini menerusi temujanji. Beta membenarkannya tetapi beta cuba mengelak bercakap mengenai politik. Beliau datang berjumpa beta sebanyak dua kali.

Beliau meluahkan rasa tidak puas hati. Beta mendengar dan menyimpannya di dalam hati. Beta juga bertemu dengan perdana menteri dan mengelak bercakap dengannya mengenai politik. Biarkan ahli politik mengendalikan hal politik. Beta di atas politik. Jika beliau memerlukan nasihat, beta di sini sebagai kawan.

Isu sama ada anda dari Johor tidak timbul.

Ya, beta lantang bersuara. Beta bercakap mengenai apa yang beta rasa dan beta gembira mesej itu disampaikan.

Istana menerima kehadiran ramai pemimpin tetapi ia tidak bermaksud selepas lawatan ini, kami menyokong kepimpinan mereka.

Mereka adalah ahli politik tetapi jangan menyalahgunakan atau menjejaskan nama baik Istana. Beta amat bangga menjadi anak Johor tetapi itu tidak bermakna beta secara membuta tuli menyokong sesiapa sahaja dari Johor.

Perdana Menteri berasal dari Pahang tetapi beliau juga kerap memaklumkan saya mengenai isu yang memberi kesan kepada pembangunan di negeri ini.

Terdapat lawatan rasmi beliau yang dilaporkan oleh media tetapi kami juga mengadakan mesyuarat secara tenang dan tidak formal.

Beliau amat mengambil berat mengenai isu yang memberi kesan kepada Johor kerana kedudukan kami dekat dengan Singapura yang merupakan rakan strategik Johor.

Kami percaya Johor dan Malaysia akan mendapat manfaat daripada pembangunan yang sedang dilakukan dan apabila kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura dibina, manfaat akan menjadi lebih besar.

Beta tidak mahu membangkitkan perkara yang lalu atau mengkritik mana-mana ahli politik yang sedang aktif atau bersara, tetapi perdana menteri memahami dan menghargai keperluan untuk bekerjasama dan tidak mengulangi masa lalu.

Beta dapati sukar untuk memahami rasional atau tidak rasional mana-mana pemimpin Malaysia yang mahu melihat negara bertengkar dengan Singapura. Ia adalah apa yang saya panggil sebagai pemikiran sempit.

Terdapat banyak perkara yang beta pelajari dari Singapura. Mereka melakukan dengan baik, marilah kita bersikap jujur di sini. Kita tidak perlu mengadakan lawatan sambil belajar yang mahal ke Eropah atau Amerika Syarikat, hanya pergi menyeberangi Tambak Johor ke Singapura, mereka lakukan banyak perkara yang betul dan efisyen.

Beta tahu perdana menteri menerima pelbagai kritikan tetapi beta katakan beri beliau peluang.
Tahun ini akan menutup tirainya, kita mesti bergerak ke hadapan. Ia merupakan tahun yang mencabar bagi semua orang termasuk diri beta. Terdapat pelbagai isu yang masih perlu ditangani, yang perlu menyakinkan rakyat yang memerlukan jawapan, tetapi beta mesti katakan bahawa mereka juga perlu penutupnya.

Setiap diri kita melakukan kesilapan tetapi kita perlu bersedia belajar daripada mereka, membetulkan kesilapan dan melakukan perkara yang betul. Membetulkan apa yang salah.

The Star / Mstar

default

ZAHID HAMIDI NAFI LAPORAN BERITA SINAR HARIAN KELUAR KENYATAAN AHLI PAS PERLU AKUR @Zahid_Hamidi

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



KENYATAAN MEDIA
YAB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri Merangkap Naib Presiden UMNO
MENGENAI LAPORAN BERITA SINAR HARIAN BERTARIKH 26 DISEMBER 2016 "MAHFODZ NAFI KENYATAAN ZAHID"

1. Usahasama dan perpaduan yang menjurus kepada kerjasama antara UMNO dan PAS sejak kebelakangan ini adalah sesuatu yang menggalakkan.
2. Ikatan tahaluf siyasi boleh terjalin andainya ada persefahaman yang termeterai dan pada masa ini seperti mana yang saya pernah nyatakan dalam media massa yang lalu bahawa terlalu awal untuk saya mengatakan bahawa kerjasama ini dibuat secara formal melalui pendekatan ikatan politik secara berorganisasi.
3. Saya melahirkan keyakinan bahawa ada keserasian sudah wujud dalam pemimpin UMNO dan PAS walaupun ada kedengaran suara-suara yang menolak dari PAS.
4. Dalam temubual saya dengan Mingguan Malaysia yang disiarkan pada 20 Disember lalu, pun secara jelas, saya menyatakan bahawa parti PAS mempunyai sistem syura yang kuat, maka suara-suara yang tidak setuju ini akan bersetuju pada akhirnya.
5. Saya TIDAK PERNAH mengeluarkan kenyataan bahawa Majlis Syura Ulama PAS telah membuat kenyataan supaya setiap ahli parti PAS akur dengan kerjasama UMNO dan PAS.
6. Seperti mana kenyataan awal saya menyatakan bahawa belum ada lagi sebarang kerjasama formal dibentuk antara UMNO dan PAS termasuklah sebarang surat rasmi daripada UMNO berhubung kerjasama dengan parti PAS.
7. Moga sebarang kekhilafan dalam laporan berita Sinar Harian bertarikh 26 Disember 2015 (Sabtu) ditafsirkan semula secara berhemah dalam memperbetulkan persepsi pembaca mengenai kerjasama UMNO-PAS.
8. UMNO mengamalkan sikap terbuka. Pun begitu, UMNO juga perlu mengambil kira pandangan rakan-rakan dalam BN. Seharusnya UMNO menilai unsur kerjasama ini di sudut penerimaan parti-parti komponen BN.
9. Secara prinsipnya, marilah kita berpegang kepada firman Allah SWT dalam surah Al-I’Imran ayat 103 yang jelas membawa maksud supaya kita berpegang kepada tali Allah supaya tidak berpecah-belah.

default

RUU MKN : TUDUHAN KIT SIANG TERHADAP PM ADALAH FITNAH - SENATOR

on Wednesday, December 23, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 3 Comments




Ahli-ahli Dewan Negara tidak pernah diarahkan berpura-pura mengkritik Rang Undang-undang Majlis Ke­selamatan Negara 2015.

Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin ber­kata, tuduhan Pena­sihat DAP, Lim Kit Siang kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan mereka berbuat demikian adalah tidak benar dan berunsur fitnah.

Kit Siang menuduh Ahli-ahli Dewan Negara dipanggil oleh Perdana Menteri dan konon­nya memberi arahan kepada mereka yang mewakili Barisan Nasional (BN) boleh bangkang dalam Dewan tetapi akhirnya kena undi sokong rang undang-undang tersebut.

“Ini fitnah besar yang dilakukan oleh Kit Siang sebagai orang lama dalam politik,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang berkenaan dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Kit Siang dalam ke­nyataan melalui laman blog beliau (http://blog.limkitsiang.com) hari ini berkata, sekiranya benar Najib memberi arahan sedemikian, sesi perbahasan rang undang-undang tersebut di Dewan Negara boleh dianggap sebagai satu kepura-puraan.

Kenyataan Kit Siang itu turut dilaporkan oleh portal berita propembangkang, The Malaysian Insider.

Sementara itu, Senator Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah dan Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd. Samad ketika mencelah perbahasan Megat Zulkarnain turut mengesahkan Perdana Menteri tidak pernah memberi arahan tersebut.

Ibrahim yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO memberitahu, perkara itu tidak disebut langsung ketika beliau bertemu Najib baru-baru ini.

“Ini yang dikatakan zalim, kurang ajar dan penipu,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Halim menjelaskan, beliau pernah bertemu Perdana Menteri semasa Perhimpunan Agung UMNO 2015 baru-baru ini namun soal perbahasan Rang Undang-undang Majlis Kese­lamatan Negara 2015 tidak pernah dibangkitkan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/parlimen/fitnah-besar-terhadap-najib-8211-megat-zulkarnain-1.172060#sthash.cJDQ7QZq.dpuf

default

CUKUPLAH BELI LOW YAT & KOTA RAYA , PERGI MARA DIGITAL - EXCO PEMUDA UMNO

by Generasi Pejuang Bangsa
 - 3 Comments




Exco Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah meminta orang ramai supaya tidak lagi membeli barangan digital di Plaza Low Yat dan Kompleks Kota Raya berikutan pergaduhan yang berlaku Sabtu lalu.
Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya orang ramai pergi ke pusat teknologi maklumat (IT) yang baru dibuka iaitu Mara Digital.
"Kepada pengguna-pengguna, cukup-cukuplah kita ke Low Yat dan Kota Raya untuk membeli barangan digital.
"Saya cadangkan adalah baik ke Mara Digital, ia lebih baik dan selamat bagi pengguna. Insya-Allah," kata Armand di dalam Facebooknya hari ini.
Selain itu, Armand juga berkata, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan pihak polis yang menahan Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju di bawah Akta Hasutan ekoran kejadian di Kompleks Kota Raya.
Katanya, pihak polis sepatutnya mengambil keutamaan terhadap kejadian penipuan peniaga terhadap pengguna yang menggunakan kekerasan di kompleks berkenaan.
"Pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan tegas bukan sahaja pada pekerja malah pada syarikat pengendali telefon serta pengurusan pihak Kota Raya tersebut kerana membenarkan cara ala-ala gangster dalam perniagaan," katanya lagi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.