..

..
Archive for November 2015

default

#PAU2015 : KEDUDUKAN KERUSI TIMBALAN PRESIDEN TAK BERUBAH , KEKAL SEBELAH PRESIDEN @Zahid_Hamidi

on Monday, November 30, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



Tiada perubahan kedudukan kerusi Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015, yang bermula 8 Dis ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata seperti kelaziman perhimpunan agung parti sebelum ini, kedudukan kerusi Timbalan Presiden adalah bersebelahan kerusi Presiden.
"Timbalan presiden mesti didudukkan di sebelah kanan presiden. Naib presiden satu mesti didudukkan di sebelah kanan timbalan presiden begitu juga naib-naib presiden lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia ketika mengulas mengenai kedudukan susun atur kerusi kepimpinan UMNO berikutan situasi semasa selepas menghadiri majlis penutupan Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM) di Valletta,Malta Isnin.
Ahmad Zahid berkata kedudukan itu mestilah dihormati oleh semua pihak kerana ia merupakan hieraki dalam parti.
Beliau juga menegaskan UMNO sebuah parti dinamik yang mendengar pandangan pelbagai tokoh atau mereka yang pernah menjadi tokoh di dalam UMNO.
Namun, beliau melihat masalah ketidakadilan berlaku apabila keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti terhadap seseorang dalam parti, dianggap sebagai suatu penganiayaan.
"Namun, yang penting ialah kebersamaan mendukung kepimpinan. Perbezaan pendapat biarpun diraikan, akhirnya UMNO diperkukuhkan...pemimpin itu hendaklah diberi sokongan sepenuhnya," katanya.
Menurut Ahmad Zahid, apabila sesuatu keputusan itu dibuat, ia perlu dihormati dan semangat itu harus ada pada kepimpinan UMNO sama ada di peringkat nasional, negeri, bahagian atau akar umbi.-30/11/2015-Daripada Mohd Razman Abdullah,Bernama

default

PEMUDA UMNO BELASAH KETUA AMK NERD NIK NAZMI & APA PENCAPAIANNYA ?

by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment


 Pemuda Umno membidas Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad susulan ucapannya pada penggulungan Kongres Nasional PKR hari ini yang menyerang ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Exco Pemuda Umno, Ibdilillah Ishak berkata, politik sempit dengan cara menyerang peribadi Khairy tidak mencerminkan Nik Nazmi sebagai pemimpin yang kononnya intelektual dan progresif.

“Sebagai seorang yang menjawat jawatan Ketua AMK dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, beliau seharusnya lebih matang dalam berpolitik. Beliau perlu cermin diri dahulu sebelum menuduh dan menyerang peribadi orang lain.

“Selama beliau menjawat jawatan Ketua AMK dan Exco Selangor, apakah pencapaiannya? Apa yang telah beliau anjurkan untuk anak muda Selangor selain hanya menyampaikan ceramah ataupun ucapan yang berunsur retorik politik semata-mata?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Nazmi hari ini melalui ucapan penggulungannya menyarankan agar Khairy fokus untuk menjadi bintang TV susulan kegagalannya dalam mengekang belenggu perkauman, menghentikan kemusnahan hak-hak asasi dan kebebasan politik serta kesetiaannya terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibelenggu banyak skandal dan kontroversi.

Mengulas lanjut, Ibdilillah berkata, sepanjang Khairy menjadi Ketua Pemuda dan Menteri Belia dan Sukan, Ahli Parlimen Rembau itu tidak henti menganjurkan program, mencadangkan idea, polisi dan dasar yang memberi nilai tambah kepada orang muda Malaysia.

“Pemuda Umno dibawah kepimpinan beliau mengambil pendekatan politik khidmat bakti. Pelbagai program yang telah dianjurkan dan pelbagai idea yang telah direalisasikan kerajaan.

“Contohnya, berkait kos sara hidup rakyat, pemilikan rumah mampu milik, peluang pekerjaan, kadar gaji minimum, pendidikan dan berbagai lagi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan Nik Nazmi itu sebagai satu helah untuk mengalih perhatian rakyat daripada krisis kepercayaan ahli AMK terhadapnya sekarang.

“Saya difahamkan YB Nik Nazmi sedang berdepan krisis kepercayaan dalam AMK yang beliau sendiri terajui.

“Namun menyerang peribadi YB Khairy bukanlah 'jalan keluar'  daripada krisis politik dalaman yang serius dalam AMK itu,” katanya.

default

NURUL IZZAH DICABAR PUTUS HUBUNGAN JACEL KIRAM

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar perlu membuat pengisytiharan terbuka memutuskan hubungan de­ngan kumpulan pengganas Jamalul Kiram III yang menceroboh Lahad Datu, Sabah bagi membersihkan imej parti itu.


Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pengakuan secara terbuka oleh Nurul Izzah sememangnya perlu memandangkan tindakannya bertemu dengan anak bekas ke­tua kumpulan pengganas tersebut, Jacel Kiram adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.

Beliau berkata, kumpulan tersebut bukan sahaja menceroboh negara malah mengakibatkan banyak nyawa terkorban.
Musa berharap pihak polis terus menjalankan siasatan terperinci kerana perkara tersebut melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Perkara ini memang mencemarkan kedaulatan dan keselamatan negara.

“Sebarang isu yang berkaitan keselamatan perlu diserahkan kepada pihak polis untuk memastikan keselamatan negara terus dijaga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan negeri Sabah telah melarang Nurul Izzah dan seorang lagi pemimpin PKR, Tian Chua daripada memasuki negeri tersebut ekoran pertemuan tersebut.

Berikutan itu, terdapat gesaan supaya Nurul Izzah dan PKR membuat pengisytiharan memutuskan hubungan dengan kumpulan tersebut bagi membersihkan imej parti pembangkang itu.

Sementara itu, Pre­siden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Datuk Dr. Hassan Yusof berkata, pihaknya bertegas mahukan Nurul Izzah tampil secara rasmi untuk meleraikan segala kemusykilan sekiranya tidak mahu terus dianggap sebagai pengkhianat negara.
Katanya, pelbagai kemungkinan boleh berlaku daripada pertemuan tersebut yang pastinya mempunyai agenda tersendiri sama ada untuk pihak PKR mahupun kepada kumpulan pengganas berkenaan.
“Nurul Izzah memang perlu membuat pengisytiharan secara terbuka kerana saya percaya pertemuan itu mempunyai kepentingan kepada diri dan politiknya.
“Jika hanya permohonan maaf dan kenyataan kesal diberikan, kita tidak boleh berkompromi dengan­nya malah tindakan itu boleh dianggap mencemar kedaulatan negara sekali gus memberi ancaman kepada keselamatan negara,” katanya.
Dalam masa sama, bekas Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, sekiranya perkara sedemikian dibiarkan, keadaan yang lebih buruk mungkin boleh berlaku.
“Saya bersetuju jika beliau membuat pengakuan secara terbuka kerana ini sahaja jalan terbaik untuk membuktikan tujuan pertemuan tersebut dibuat.
“Pertemuan itu bukan sahaja memberi implikasi negatif terhadap masyarakat malah menjejaskan kedudukan politik Malaysia di mata pemimpin dunia yang lain,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/nurul-izzah-perlu-isytihar-putus-hubungan-dengan-pengganas-1.163854#sthash.Gs4MgZMj.dpuf

default

ALAHAI NIK NAZMI , TAK PAYAH NAK MEROYAN SAKIT HATI KJ SETIA SOKONG PM @KhairyKJ @NajibRazak

on Sunday, November 29, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment


GPB tak terkejut dengan kenyataan Ketua AMK PKR Nik Nazmi ini...... game plan mereka sebenarnya  mahu ramai pemimpin UMNO seperti Khairy Jamaluddin  hilang kepercayaan kepada Presiden menerusi isu 1MDB dan dana politik RM2.6B gagal .

Apa yang Nik Nazmi nak bising sangat tentang isu UMNO ...AMK pun pertahan juga bermati-matian ketika pendedahan video seks DSAI dan kes liwat walaupun ia berkaitkan isu moral yang cukup teruk .

Dakwaan  Nik Nazmi umpama meludah ke langit akhirnya terpercik ke muka sendiri ..



Nasihat Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar: "Baik jadi bintang televisyen sahaja."

Ini adalaha kerana, menurut beliau, ketua Pemuda UMNO itu dan juga pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO yang lain gagal menunjukkan peningkatan moral antara diri mereka.

"Mereka (Pemuda UMNO) berkali-kali buktikan yang mereka tidak mampu menunjukkan peningkatan moral yang ada dalam kepimpinan mereka.

"Lihat sahaja ketua mereka (Khairy) yang kononnya bersikap sederhana dan liberal. Namun dia tetap setia bersama UMNO dan presidennya (Datuk Seri Najib Razak) yang banyak skandal dan kontroversi," kata Nik Nazmi.

Beliau berkata, Khairy juga gagal menangani isu-isu perkauman yang dilihat saban hari semakin serius.

Jelasnya lagi, Khairy akan terus gagal bersama UMNO memandangkan UMNO tidak mahu berubah.

"Pokoknya, dia akan terus gagal kerana UMNO tidak mahu berubah. Jadi saya nasihatkan kepada Khairy, baik jadi bintang televisyen sahaja. Mungkin Khairy ada masa hadapan yang lebih cerah dalam kerjaya itu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya di Kongres Nasional Tahunan PKR ke-11 di Ideal Convention Centre Shah Alam, Selangor, hari ini.

default

SULTAN IBRAHIM HARAMKAN BANGSA JOHOR HISAP VAPE , TUTUP OPERASI NEGERI INI

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




SHAH ALAM - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengharamkan penggunaan rokok elektronik (vape) di seluruh negeri itu bermula 1 Januari 2016.

Menurut baginda, keputusan itu tiada kaitan dengan perniagaan atau perkauman sebaliknya ia melibatkan isu kesihatan dan kesan penggunaannya kepada golongan muda.

"Saya mahu premis vape ditutup pada 1 Januari 2016 dan saya tidak mahu dengar sebarang alasan.

"Saya benar-benar kecewa apabila ada pihak menimbulkan isu ancaman perkauman dan politik melibatkan vape," titah baginda dipetik laporan Mstar, hari ini.

Titah baginda, negeri mempunyai hak untuk menguatkuasa undang-undang mengikut peruntukan kerajaan tempatan bagi menutup perniagaan pengusaha vape.
Baginda juga mengarahkan supaya kerajaan negeri bersidang minggu depan untuk merangka perancangan bagi memudahkan proses tersebut

"Kenapa ada ahli politik yang mengalah terhadap ancaman ini? Saya mahu tahu jika ahli perniagaan ini membenarkan anak-anak mereka untuk menggunakan vape jika ia benar-benar selamat dan tidak mengganggu kesihatan seperti yang didakwa. Apakah kamu mahu melihat anak-anak terus menggunakannya?

"Ia perniagaan baharu tetapi apa pula bentuk perniagaan yang mereka lakukan sebelum ini? Berpatah balik kepada pekerjaan anda sebelum ini," katanya.

Sultan Johor juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang bermula 1 Januari depan akan dikenakan tindakan.


** GPB sokong titah Sultan Johor ...perkara yang memudaratkan kesihatan sewajarnya dihentikan

default

BEKAS AHLI MAJLIS MBPP DEDAH DIPECAT KERANA BANTAH PREMIS JUDI

on Thursday, November 26, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment




Selepas lebih setahun ‘mendiamkan diri’ bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Iszuree Ibrahim yang dipecat Kerajaan DAP Pulau Pinang pada tahun lalu, akhirnya mendedahkan punca sebenar beliau disingkir daripada jawatan itu.

Iszuree yang juga Setiausaha Badan perhubungan PAS negeri mendakwa, ketika masih memegang jawatan itu beliau sering mempersoalkan tentang kelulusan mendadak yang mahu diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap permohonan premis judi.
Akibat tindakan itu, dakwanya, beliau mula tidak disenangi wakil DAP di dalam majlis itu, manakala wakil PKR lebih banyak berdiam diri.

“Di kawasan Jalan Penang, ketika mula memegang jawatan hanya terdapat sekitar 20 premis hiburan seperti pub, rumah urut dan kedai judi.


“Tetapi jumlah itu meningkat secara mendadak kepada 120 permohonan dan perkara inilah yang sering saya persoalkan,” dakwanya ketika mengadakan pertemuan dengan ahli PAS di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Iszuree mendakwa beliau telah memanjangkan perkara itu kepada Datuk Bandar, Datuk Patahiyah Ismail, namun tidak mendapat maklum balas.
Malah dakwanya, beliau juga difahamkan ketika itu kelulusan rumah urut dan premis judi diserahkan kepada pegawai bukan beragama Islam.

“Dalam mesyuarat ahli majlis pula, hanya dua wakil PAS, manakala selebihnya daripada DAP dan PKR. Bayangkan betapa sukarnya saya untuk mempersoalkan perkara ini.
“Tentangan saya tidak disenangi pemimpin DAP kerana mereka mendapat sumbangan dana daripada pemilik kedai judi. Saya dilihat menggangu pemilik-pemilik premis judi,”katanya.
Iszuree yang dipecat Kerajaan DAP Pulau Pinang pada September tahun lalu mendakwa, beliau telah menggunakan pelbagai saluran untuk membangkitkan isu berkenaan, namun tidak berjaya.

“Kemuncaknya apabila saya mendapat aduan daripada ibu bapa pelbagai kaum di Bukit Jambul yang mengatakan anak mereka yang masih bersekolah terlibat dengan permainan judi di situ dan bagi saya masalah ini semakin serius dan tindakan segera perlu dilakukan,”katanya.
Iszuree mendakwa, beliau mengambil peluang menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng tahun lalu yang ketika itu mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, ketika itu riak wajah kurang senang Guan Eng jelas dapat dilihat dan ucapan beliau ketika di Muktamar PAS di Batu Pahat kononnya mengkritik pentadbiran kerajaan negeri hanyalah alasan untuk menghukumnya.
“Kelantangan saya mempertikaikan permohonan premis judi menyebabkan wujud gerakan untuk memecat saya,”katanya – Utusan Malaysia, 24 Nov. 

default

FAKTA PENJUALAN EDRA 1MDB KEPADA CGN PERLU DIKETAHUI

on Tuesday, November 24, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 4 Comments




1. Edra Global Energy Berhad (Edra), anak syarikat milik 1MDB bukanlah dijual dengan harga RM9.83 billion sahaja kepada China General Nuclear Power Corp (CGN Group) RM9.83 billion hanyalah melibatkan transaksi tunai. CGN Group dalam membeli semua aset Edra perlu mengambilalih kesemua hutang syarikat berkenaan sebanyak RM8 billion. Transaksi sebenarnya adalah RM9.83 billion tunai campur RM8 billion tunai berjumlah RM18 billion.

2. Tidak timbul soal penjajahan China melalui penguasaan Edra, atau kemungkinan China akan kenakan tarif jualan tenaga yang lebih tinggi atau China akan mengugut Malaysia jika mahukan sesuatu atau China hentikan pengeluaran tenaga dan Malaysia akan mengalami masalah.

Ini kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih pengeluar terbesar dengan kadar 50% pengeluar tenaga di Malaysia manakala Edra hanya mewakili 14% kapasiti pengeluar tenaga. Kedua, pembelian juga merangkumi Perjanjian Pembelian Aset tang telah ditandatangani. Mana boleh CGN Group suka-suka tidak menyediakan keperluan tenaga. Juga mana boleh CGN Group untuk mengenakan tarif yang tinggi kerana syarikat lain juga akan turut membidanya.

3. Penjualan Edra kepada CGN Group adalah disebabkan oleh tekanan pihak Pro-Tun dan pembangkang yang menuduh TNB untuk 'bailout' sekiranya TNB berjaya membida Edra. Sebaliknya TNB mempunyai komitmen untuk membina 3 lagi Indepedent Power Provider (IPP) berjumlah RM21 billion.

Sebelum ini pengkritik dari Pro-Tun dan pembangkang menyatakan bahawa 1MDB bodoh kerana membeli 'besi buruk' memandangkan kesemua IPP sudah hampir tamat tempoh (expired). Bilamana sebuah syarikat China ingin membeli Edra dengan harga tunai RM9.83 billion dan sanggup menanggung kesemua hutang-hutang syarikat sebanyak RM8 billion, pengkritik yang sama juga bising kenapa tidak menjual Edra kepada TNB. Mangkuk-mangkuk ni nak apa sebenarnya?

4. Pelaburan dari China ini pastinya akan meningkatkan Foreign Direct Investment (FDI).

5. Penjualan Edra berjumlah RM18 billion ini bukan merupakan perkara baru. Ini adalah Pelan Rasionalisasi 1MDB yang telah dikemukakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB iaitu penjualan Edra Global Energy sebanyak RM18 billion, penjualan 60% ekuiti Bandar Malaysia berjumlah RM11 billion dan penukaran aset-ekuiti dengan IPIC berjumlah RM16 billion untuk mengurangkan hutang syarikat sebanyak RM42 billion. Transaksi itu, yang dijangka selesai pada Februari 2016 juga satu kejayaan besar dalam pelan rasionalisasi 1MDB, sebagaimana dibentangkan kepada kabinet pada 29 Mei 2015.

Jangan ragu dan jangan bimbang, walaupun dengan penjualan kesemua aset di atas untuk mengurangkan hutang, 1MDB masih memiliki 100% Tun Razak Exchange (TRX), hartanah di Pulau Pinang dan tanah di Pulau Indah yang kesemuanya masih bernilai di antara RM10 ke RM12 billion!

default

BACA PENJELASAN EDRA MILIK 1MDB JUAL ASET TENAGA KEPADA CGN

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




PENJUALAN ASET PENJANAAN TENAGA 1MDB, JANGAN MENGELABAH TAK TENTU PASAL!
Coretan Ringkas Lokman Adam

Akibat dari serangan bertubi-tubi pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga imej 1MDB rosak, 1MDB tidak dapat menerbitkan IPO mereka pada November 2014 dan Mac 2015. Ini membawa kepada masalah aliran tunai.  Bagi mengurangkan hutang, 1MDB terpaksa menjual semula aset penjanaan tenaga mereka yang sebenarnya menyumbang kepada kewujudan hutang tersebut. Semalam, perjanjian telah dimetrai bersama China General Nuclear Power Corporation dan anak syarikatnya (CGN Group) dengan bayaran tunai ekuiti sebanyak RM9.83 bilion dan pemindahan hutang sebanyak RM7.43 bilion (pada 31 Mac 2015).  Ini bermakna Aset tersebut telah dijual dengan harga RM17.26 bilion. Ini adalah hampir sama dengan harga pembelian oleh 1MDB terlebih dahulu iaitu sebanyak RM 18 billion. Tambahan pula, harga RM17.26 billion ini adalah lebih tinggi daripada harga bidaan TNB yang dikhabarkan sebanyak RM15 bilion.

Adalah fakta bahawa harga tariff IPP Edra terendah dikalangan semua IPP termasuk TNB sendiri. Sebagai contoh, pada tahap pembidaan tariff IPP, Edra Energy membekal tenaga kepada TNB dibawah kontrak Power Purchase Agreement (PPA) dengan harga RM 0.34 iaitu 1 sen di bawah harga TNB sendiri dan jauh lebih murah berbanding IPP lain. Pengurangan 1 sen ini, selama tempoh 20 tahun kontrak PPA, mengurangkan kos TNB sebanyak RM 2.9 billion. Itu sebab bila Edra mula bekal dulu, dalam tempoh 3 bulan sahaja TNB berjaya raih keuntungan hingga 2.3b. Bila TNB untung, bukan ke pekerja TNB juga yang dapat manfaat dan rakyat buat kali pertama merasai penurunan kadar eletrik tahun ini.

Cerita yang mengatakan nasib pekerja TNB akan terjejas seperti MAS sangat tidak munasabah.  Yang dijual ialah ekuiti Edra, bukan kita jual TNB. Aset Edra hanya menjana 14% dari keperluan tenaga negara.  50% dijana oleh TNB sendiri, 24% oleh Malakof dan selebihnya oleh pihak lain.  Bila aset Edra dijual, ianya dijual sekali dengan kontrak membekalkan tenaga kepada TNB, yang mempunyai tempoh berlainan, tetapi secara purata, selama 10 tahun.  Ini bererti kadar RM 0.34 itu akan kekal sehingga akhir tempoh kontrak PPA.

Selepas tamat kontrak PPA ini, jika CGN Group perlu memenangi tender baru yang dilaksanakan secara terbuka oleh Suruhanjaya Tenaga.  Sudah tentu Suruhanjaya Tenaga akan memilih tariff IPP yang terendah dikalangan mereka yang menyertai tender tersebut. Dengan itu, kontrak PPA TNB sudah pasti akan berada pada tahap yang murah.  Maka tidak timbul soal rakyat akan membayar tarif eletrik yang lebih tinggi jika aset tenaga 1MDB jatuh ketangan asing.  Jika CGN Group berdegil menaikkan harga dalam tender, mereka tetap akan menerima nasib yang sama seperti syarikat penjanaan tenaga milik YTL yang ditamatkan kontrak PPA 30 September 2015 lalu.

Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar janganlah gelabah tidak tentu pasal.  Kalaupun anda prihatin, pastikan anda mendapatkan maklumat yang betul terlebih dahulu.  Plan rasionalisasi 1MDB sudah hampir sempurna.  Penjualan 60% ekuiti Bandar Malaysia akan selesai tidak lama lagi.  In sya Allah jika penjualan ekuiti tersebut berjaya, masalah hutang 1MDB akan selesai dan 1MDB dijangka akan memperolehi lebihan asset sekitar RM10-12 billion.  Dengan modal RM 1 juta yang diberikan oleh kerajaan, 1MDB berjaya raih keuntungan lebih 10 ribu kali ganda dari modal awal mereka.  Cuba bayangkan jika perniagaan mereka tidak diganggu oleh Tony Pua, Rafizi dan Tun Mahathir.

default

PDRM DIARAHKAN TANGKAP ALVIN WALAUPUN DI LUAR NEGARA @Zahid_Hamidi

on Tuesday, November 17, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar diarahkan untuk mengambil tindakan tegas ke atas individu yang menghina agama walaupun berada di luar negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan individu tertentu termasuk yang bertindak mengoyak al-Quran dan menggunakan helaiannya untuk mengelap najis adalah satu penghinaan dan tindakan kurang ajar.
“Saya tidak akan kompromi dengan sesiapa saja sama ada yang berada di dalam atau luar negara malah tindakan akan dilakukan.
“Maka atas perbuatan yang jahat itu, saya telah meminta Ketua Polis Negara gunakanlah kuasa yang ada untuk lakukan sesuatu supaya orang yang kurang ajar itu dikenakan apa sahaja tindakan walaupun berada di luar negara,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya pada Selasa.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Alwi Ibrahim, dua timbalan menteri dalam negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat serta Khalid.
Ahmad Zahid berkata perbezaan pendapat bukan satu halangan tetapi ia perlu diimbangi dengan tatasusila kerana setiap kaum mempunyai perasaan dan tidak dapat menerima jika agama, budaya dan bahasanya dihina.
Katanya walaupun sedar kenyataannya itu akan dibalas dengan ‘bahasa-bahasa jijik’ oleh pihak tertentu, beliau sama sekali tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja malah tindakan akan dilakukan sama ada mereka berada di dalam atau di luar negara.
“Dalam soal ini, saya harap jangan gunakan inovasi yang kita lakukan untuk menerobos ke alam baharu dengan melakukan sesuatu yang kurang ajar, bertindak melebihi batasan sehingga menghina,” katanya.
Sementara itu, Khalid ketika ditemui berkata polis akan mengambil tindakan mengikut undang-undang ke atas individu berkenaan seperti yang diarahkan timbalan perdana menteri.
“Kita akan mengambil tindakan ikut undang-undang,” katanya ringkas sambil meminta individu tersebut tidak diberikan publisiti di dalam media kerana itu sebenarnya yang dimahukan.
Sebelum ini, beberapa laporan polis dibuat berikutan tindakan seorang blogger kontroversi, Alvin Tan, melakukan provokasi apabila menggunakan helaian naskah al-Quran sebagai tisu tandas.

default

AKMAL DITUNTUT MOHON MAAF 24 JAM ATAU DISAMAN - JAMIL KHIR

on Saturday, November 14, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



Kenyataan Media Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Baharom
13 November 2015

AKMAL MESTI MOHON MAAF ATAU DISAMAN

Merujuk kepada kenyataan media Akmal Nasir (Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) merangkap Ketua Cabang Keadilan Johor Bharu) pada 13 November 2015. Sesungguhnya  dakwaan yang mengatakan saya menyalahgunakan duit anak yatim dan miskin yang diperoleh daripada hasil sumbangan orang ramai bagi membiayai perjalanan ke luar negara bersama isteri, main golf dan lawatan ke pusat membeli belah adalah satu kenyataan jahat berupa fitnah dan menyimpang (misleading) daripada fakta sebenar.

Kunjungan saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 – 29 Mei 2014 adalah bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah seliaan saya terutamanya YaPEIM dengan kerjasama Kedutan Malaysia di Amerika Syarikat dan Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1000 orang pelajar daripada Amerika Syarikat dan Kanada.

Melalui strategi penganjuran bersama secara "Strategi Lautan Biru" khususnya yang melibatkan peserta Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (SANTUN) tajaan YaPEIM dan beberapa kumpulan sasaran lain yang berada di seluruh Amerika Syarikat dan Kanada, beberapa program besar telah diatur dan dilaksanakan.

Program-program tersebut melibatkan kursus kepada pelajar yang memfokuskan aspek motivasi Kenegaraan dan Keusahawanan; Simposium Perdana Perkahwinan Kekeluargaan, Pengurusan dan Isu-isu Semasa Negara; Kursus Pra Perkahwinan bagi membantu pelajar-pelajar memenuhi syarat perkahwinan JAWI; Kelas Pengajian untuk isteri-isteri dan Kakitangan Wanita Kedutaan; menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang yang tidak berkemampuan dan pertemuan bersama usahawan-usahawan Malaysia. Program dan pertemuan ini melibatkan pelbagai kumpulan sasaran yang diadakan di Indianapolis dan Washington DC, Amerika Syarikat.

Bersempena dengan perasmian Mid West Game di Amerika Syarikat itu juga, beberapa acara sukan telah dianjurkan oleh Education Malaysia (EM) di Indianapolis termasuklah acara golf yang dikelolakan secara bersama dengan pihak Kedutaan Malaysia AS di Washington yang saya turut terlibat bersama TYT Duta dan kakitangan kedutaan.

Justeru dakwaan kononnya program saya di AS lebih bersifat bersuka-ria menggunakan dana anak yatim adalah satu fitnah yang besar dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti dan maruah saya selaku Menteri di Jabaran Perdana Menteri. Adalah tidak adil hanya mempamerkan dokumen yang mengelirukan dan tidak menggambarkan keseluruhan program melibatkan saya.

Adalah menjadi sebahagian tugas dan tanggungjawab saya selaku Menteri di JPM bagi memenuhi jemputan rasmi kedutaan apatah lagi program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah tanggungjawab saya. Segala perjalanan dan kegiatan rasmi saya ditanggung oleh agensi berkenaan mengikut polisi dan tatacara kewangan agensi berkaitan.

Tiada apa yang perlu  disembunyikan kerana segalanya mengikut prosedur dan tatacara yang ditetapkan. Saya sentiasa terbuka dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak berkuasa untuk disiasat sekiranya benar wujudnya salah laku yang melibatkan diri saya atau agensi di bawah seliaan saya.

Dengan ini, saya menuntut Akmal Nasir, Pengarah NOW dan The Malaysian Insider menarik balik segala dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam. Jika tidak, saya akan memulakan tindakan saman fitnah dan malu melalui peguam saya kerana tindakan ini benar-benar telah menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya.

default

PENGALAMAN WARTAWAN MENAIKI ETS KL - PADANG BESAR KTMB

on Thursday, November 12, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 4 Comments




oleh Suliati Asri

Cuti-Cuti Malaysia ‘Dekat Je’, slogan terbaru kempen pelancongan domestik Tourism Malaysia ternyata sangat kena dengan perjalanan penulis menaiki kereta api laju elektrik ETS dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, Perlis.
Mana tidaknya, perjalanan yang biasanya mengambil masa kira-kira lapan jam dari Kuala Lumpur ke sempadan Malaysia-Thailand itu jika menaiki bas ekspres, kini ‘dekat je’ menggunakan perkhidmatan kereta api laju ETS, iaitu hanya lima jam setengah.



Ditambah dengan perkhidmatan persis menaiki kapal terbang yang lengkap dengan kapten, pramugara dan pramugari, perjalanan ke destinasi pelancongan popular di Perlis itu cukup selesa.Tren ETS-CSR yang baru saja tiba dari China dinaiki penulis bersama rombongan media dan penggiat industri pelancongan yang menyertai Program Lawatan Suai Kenal Perlis ‘Dekat Je’ ternyata membuatkan kami teruja.
Mana tidaknya, rombongan kami menyertai penumpang pertama bagi tren ETS CSR yang mempunyai enam koc dengan kapasiti 312 tempat duduk itu.

Dengan kelajuan mencecah 140 kilometer sejam serta pelbagai perkhidmatan moden dan selesa yang disediakan di dalam koc, perjalanan jauh itu bagaikan tidak terasa.

Apatah lagi, gelak tawa dan gurau senda peserta yang mengikuti rombongan itu meriuhkan suasana.
Itulah antara pengalaman menarik dirasai penulis saat menaiki satu lagi perkhidmatan terbaru yang ditawarkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB.



Perkhidmatan tren elektrik ETS atau ‘Electric Train System’ mula diperkenalkan pada 12 Ogos 2010 bagi laluan Kuala Lumpur - Ipoh.

Namun, bermula 10 Oktober lalu, perkhidmatan ETS ke Padang Besar merangkumi enam perkhidmatan pergi balik dari KL Sentral-Padang Besar- KL Sentral, Gemas-Padang Besar-Gemas dan Ipoh-Padang Besar-Ipoh.

Kini, ada dua jenis set tren itu, iaitu ETS- CSR dari China yang kami naiki dan ETS-ROTEM dari Korea Selatan yang terdiri daripada lima set tren dengan keupayaan enam koc dan 350 tempat duduk bagi setiap set.

Memulakan perjalanan dari KL Sentral ke Padang Besar pagi itu, kami yang teruja dengan pemandangan menarik yang dilihat dari tingkap koc bagaikan tidak senang duduk dibuatnya.
Selesai menikmati secawan coklat panas dan bihun goreng yang disediakan, kami memulakan penerokaan di setiap koc yang ada.
Bermula di koc F yang paling hadapan, kami terus ke belakang melihat tandas moden jenis vakum sehingga ke kafe yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman.
Menariknya, selain dilengkapi kemudahan mesra orang kurang upaya, televisyen LED, CCTV dan rak bagasi, koc ETS-CSR turut mempunyai surau dan tempat berwuduk.
Selesai sesi menjelajah di setiap sudut, kami pulang ke tempat duduk masing-masing. Tangan mula sibuk merakam gambar di sepanjang laluan yang dilewati.
Perjalanan ke Padang Besar berhenti di beberapa stesen iaitu Tanjung Malim, Tapah, Kampar, Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Parit Buntar, Bukit Mertajam, Butterworth, Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alor Setar, Arau dan Padang Besar.
Menjelang tiba ke bandar raya Ipoh, kami disajikan pemandangan batu kapur yang cukup mempesona terutama di sekitar Gopeng.
Pengurus Kanan Pemasaran KTM Intercity, Nordin Kimi memaklumkan, kami bakal melalui beberapa lokasi menarik yang menjadi tumpuan di sepanjang jalan seperti terowong berkembar kereta api terpanjang di Asia Tenggara sepanjang 3.3 kilometer.
Selain itu, kami juga melalui Tasik Bukit Merah, jambatan Victoria, kawasan sawah padi, jambatan pusing serta kampung nan permai.
Sebaik mendengar penerangannya, rata-rata peserta tidak senang duduk dibuatnya. Masing-masing mahu merakam keindahan pemandangan yang dinyakan.
Ketika mendekati terowong berkembar, jurugambar bersedia di bilik awalan untuk merakamkan suasana di dalamnya yang mengambil masa hanya dua minit untuk melepasinya.
Ia diikuti dengan Tasik Bukit Merah dan jambatan Victoria yang dibina ketika zaman penjajahan British. Sekali lagi, semua bersedia dengan kamera dan telefon bimbit untuk merakam pemandangan itu.
Dengan kelajuan ETS, agak sukar mendapatkan gambar yang sempurna, apatah lagi jika hanya menggunakan telefon bimbit. Pelbagai gaya dan kreativiti digunakan ada yang menjadi, ada yang tidak!
Melihat gambar dirakamkan, hilai tawa mula kedengaran. Bateri telefon bimbit pula mulai menjunam dek ‘kerajinan’ merakam gambar. Mujur ada soket disediakan untuk mengecas bateri.
Sesi perkenalan secara tidak rasmi, gurauan dan pelbagai topik yang diceritakan sepanjang perjalanan sesama peserta bagaikan tidak terasa apabila kami sampai di hentian Butterworth.

Di sini, kami berhenti agak lama iaitu lapan minit berbanding hentian lain kerana kapten perlu berjalan dari hadapan ke belakang untuk mengendalikan bilik kawalan yang satu lagi.
Maklumlah, kereta api tidak boleh membuat pusingan U. Jadi, kaptenlah yang perlu bertukar tempat duduk.

Memasuki Kedah yang terkenal dengan jolokan jelapang padi, pemandangan sawah padi yang dilihat cukup mempesona. Rumah kampung di tengah sawah mencetuskan pemandangan indah yang sukar ditemui di tempat lain.

Tepat jam 3 petang, kami tiba di stesen KTM Padang Besar.

Ternyata, dengan kelajuan maksimum 140km sejam, tempat duduk selesa serta perkhidmatan mesra penumpang, perjalanan lima jam setengah bagaikan ‘dekat je’ dengan ETS.
Tidak hairanlah apabila Nordin memaklumkan bahawa perkhidmatan kereta api laju mendapat sambutan hangat apabila setiap hari tiket habis dijual

default

PEMUDA UMNO BERI AMARAN KKM JANGAN BUAT LAWAK KELIRUKAN KAKI VAPE

on Friday, November 6, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 2 Comments





KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) cuba mengelirukan komuniti vape dengan terus mencari kesalahan aktiviti itu tanpa kajian atau merujuk cadangan Kabinet untuk mengawal selia industri berkenaan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Armand Azha Abu Hanifah berkata, Kementerian Kesihatan seharusnya mengeluarkan garis panduan dalam penyediaan cecair perisa vape ini sejak awal sebelum mengeluarkan pelbagai kenyataan mengenai isu vape akhir-akhir ini.

"Bagi saya mereka lebih mencari kesalahan secara terus tanpa membuat kajian serta cadangan Kabinet. Mereka juga menyatakan akan menyerbu premis dan merampas perisa-perisa yang mempunyai kandungan nikotin.

"Persoalannya, sudahkah pihak Kementerian Kesihatan mengeluarkan garis panduan dalam penyediaan cecair perisa vape ini sejak awal? Jawapannya sudah pasti tiada.

"Sepatutnya pihak kementerian di bawah Datuk Seri Dr S.Subramaniam melakukan ujian dan kajian terhadap perisa ini serta memetapkan garis panduan sebelum membuat tindakan kelakar merampas serta mengenakan denda bagi penjual cecair vape ini, KKM jangan buat lawak dalam isu vape," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

Terdahulu, KKM dalam satu kenyataan memberitahu membenarkan penggunaannya nikotin untuk menghasilkan cecair vape akan mendedahkan manusia kepada bahaya.

Kenyataan itu turut mendakwa tindakan Pemuda UMNO yang mencipta persepsi bahawa syarikat gergasi rokok menjadi 'tangan-tangan ghaib' dalam menentukan dasar dan tindakan sebuah kementerian yang terdiri daripada doktor-doktor profesional seperti KKM dalam isu ini adalah tidak patut dan lebih hampir kepada fitnah.

"Tolong hentikan perbuatan ini melainkan anda boleh mendatangkan bukti. Apakah selepas ini Pemuda UMNO akan menuduh pula Majlis Fatwa dan mufti-mufti tunduk kepada syarikat gergasi rokok selepas ini dengan mengambil kira ramai para mufti yang sudah menyuarakan pandangan untuk mengharamkan e-rokok (vape)?" soal kenyataan itu ketika dipetik.

Sementara itu, Armand memberitahu, tindakan Kementerian Kesihatan juga seperti memberi dua darjat berbeza kepada rokok dan vape sendiri.

"Jadi kenapa bila kena pada rokok KKM kata sudah beratus tahun susah nak kawal. Kenapa perlu ada double standard dalam isu kesihatan?
"Adakah KKM mengatakan sebab rokok sudah lama jadi ia sudah menjadi budaya? Ini berdasarkan kajian kesihatan atau kenyataan peribadi?" soalnya.

Sebelum ini, Armand dilaporkan mendakwa Subramaniam seolah-olah mempunyai agenda tersendiri apabila mahu merampas cecair vape yang mempunyai kandungan nikotin melebihi had di dalam setiap botol.

Tegasnya, Subramaniam juga seperti menerima tekanan daripada syarikat rokok dan tembakau yang mahu kerajaan terus mengharamkan penggunaan vape di negara ini.


*** GPB tak hisap vape mahupun rokok sebab ia memudaratkan kesihatan kerana ada kandungan nikotin . 

KKM pun salah juga buat kenyataan Pak Lawak dan flip flop ..sat nak kena cukai la ..senang je nak settle isu vape ...hapuskan nikotin dalam perisa vape dan ia tak diganggu KKM. sedut la perisa nesscafe ,straberry, manggo ,lemon dll banyak mana pun ...




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.