SHAH ALAM - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengharamkan penggunaan rokok elektronik (vape) di seluruh negeri itu bermula 1 Januari 2016.

Menurut baginda, keputusan itu tiada kaitan dengan perniagaan atau perkauman sebaliknya ia melibatkan isu kesihatan dan kesan penggunaannya kepada golongan muda.

"Saya mahu premis vape ditutup pada 1 Januari 2016 dan saya tidak mahu dengar sebarang alasan.

"Saya benar-benar kecewa apabila ada pihak menimbulkan isu ancaman perkauman dan politik melibatkan vape," titah baginda dipetik laporan Mstar, hari ini.

Titah baginda, negeri mempunyai hak untuk menguatkuasa undang-undang mengikut peruntukan kerajaan tempatan bagi menutup perniagaan pengusaha vape.
Baginda juga mengarahkan supaya kerajaan negeri bersidang minggu depan untuk merangka perancangan bagi memudahkan proses tersebut

"Kenapa ada ahli politik yang mengalah terhadap ancaman ini? Saya mahu tahu jika ahli perniagaan ini membenarkan anak-anak mereka untuk menggunakan vape jika ia benar-benar selamat dan tidak mengganggu kesihatan seperti yang didakwa. Apakah kamu mahu melihat anak-anak terus menggunakannya?

"Ia perniagaan baharu tetapi apa pula bentuk perniagaan yang mereka lakukan sebelum ini? Berpatah balik kepada pekerjaan anda sebelum ini," katanya.

Sultan Johor juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang bermula 1 Januari depan akan dikenakan tindakan.