Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penaiktarafan pencawang elektrik itu akan memastikan jangka hayat sistem elektrik dapat dipanjangkan bagi menampung keperluan semasa yang kian meningkat serta mengambil kira keperluan pada masa hadapan.

"Langkah ini dijangka mengambil masa di antara tiga hingga enam bulan untuk diselesaikan sepenuhnya,"kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata dalam perbincangan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz, dan Suruhanjaya Pengangkutan Awan Darat (SPAD) hari ini, beliau telah dimaklumkan bahawa siasatan awal Prasarana mendapati bekalan elektrik terputus mengakibatkan gangguan perkhidmatan LRT Kelana Jaya pada 7 dan 9 Sept lepas.

"Selain itu, SPAD menekankan keperluan Prasarana melaksanakan penilaian terperinci keseluruhan sedia ada memandangkan LRT Kelana Jaya sudah pun beroperasi hampir 20 tahun," kata beliau.

Perdana Menteri berkata, penilaian itu akan mengenal pasti risiko yang ada serta langkah yang perlu diambil bagi mengatasi risiko berkenaan selain menyediakan perancangan sistem gantian bagi sistem-sistem kritikal yang semakin hampir kepada penghujung jangka hayat penggunaannya.

"Saya telah mengarahkan supaya Penilai Teknikal Bebas dilantik oleh Prasarana untuk menjalankan penilaian ini dengan kerjasama SPAD, bagi pematuhan semua syarat dan peaturan sedia ada," tambah beliau.

Najib berkata, beliau turut mengarahkan Prasarana supaya menjalankan penilaian semula keseluruhan operasi mereka bagi memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk memastikan kapasiti mencukupi bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

"Prasarana juga akan memperkenalkan secara berperingkat gerabak-gerabak kereta api baharu bagi laluan Kelana Jaya menjelang November ini.

"Gerabak-gerabak ini berupaya membekalkan kapasiti serta kekerapan tambahan, sekali gus mengurangkan kesesakan pada waktu puncak pada hari bekerja," kata beliau. - BERNAMA