Bagaimanapun dalam masa yang sama Khairy menegaskan, rusuhan yang dicetuskan penyokong skuad Penyu sama sekali tidak boleh diterima, biarpun tindakan tersebut didorong rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil.''

“Saya tegaskan di sini merusuh adalah tindakan yang tidak dapat diterima sama sekali dan keputusan pengadil yang tidak memuaskan tidak harus dijadikan sebagai alasan.

“Ini bukan rusuhan kali pertama dan kita menggesa FAM memberi penjelasan segera.

“Malah, dalam hal ini FAM harus mengambil tindakan melalui Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib) kerana jika berlaku sesuatu kesalahan, mereka harus menghukum pihak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau ketika ditemui dalam Program Karnival Fiesta Mesra Belia 1 Malaysia dan pelancaran buku Suara Anak Muda bersama Irmohizam, semalam.


Dalam kejadian di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu kelmarin, sekumpulan penyokong Terengganu bertindak ganas membakar sebuah ambulans, merosakan kerusi stadium, pintu kaca serta beberapa kenderaan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.
Insiden tersebut menyebabkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedihan mata untuk meleraikan kekecohan.

Khairy berkata, FAM perlu memberi penjelasan mengenai perkara itu kerana insiden yang terjadi bukan kali pertama tercetus akibat penyokong tidak berpuas hati dengan keputusan pe­ngadil.

“FAM perlu memberitahu pe­minat bola sepak tempatan apakah prosedur penilaian terhadap pengadil serta apakah tindakan dikenakan jika terbukti keputusan yang dibuat adalah salah sebagai menangkis persepsi negatif ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Khairy berkata, FAM dan juga persatuan ne­geri perlu mengangani perkara ini kerana ke­selamatan perlawanan dan pasukan yang adalah tanggungjawab mereka.

“Saya lihat pasukan polis cukup ramai semalam (kelmarin), tetapi di akhir perlawanan keputusan pengadil telah menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong dan mencetus huru-hara.

“Tindakan segera harus diambil bagi memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya.
Lions XII layak ke final menerusi peraturan gol tempat lawan.