Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar diarahkan untuk mengambil tindakan tegas ke atas individu yang menghina agama walaupun berada di luar negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan individu tertentu termasuk yang bertindak mengoyak al-Quran dan menggunakan helaiannya untuk mengelap najis adalah satu penghinaan dan tindakan kurang ajar.
“Saya tidak akan kompromi dengan sesiapa saja sama ada yang berada di dalam atau luar negara malah tindakan akan dilakukan.
“Maka atas perbuatan yang jahat itu, saya telah meminta Ketua Polis Negara gunakanlah kuasa yang ada untuk lakukan sesuatu supaya orang yang kurang ajar itu dikenakan apa sahaja tindakan walaupun berada di luar negara,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya pada Selasa.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Alwi Ibrahim, dua timbalan menteri dalam negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat serta Khalid.
Ahmad Zahid berkata perbezaan pendapat bukan satu halangan tetapi ia perlu diimbangi dengan tatasusila kerana setiap kaum mempunyai perasaan dan tidak dapat menerima jika agama, budaya dan bahasanya dihina.
Katanya walaupun sedar kenyataannya itu akan dibalas dengan ‘bahasa-bahasa jijik’ oleh pihak tertentu, beliau sama sekali tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja malah tindakan akan dilakukan sama ada mereka berada di dalam atau di luar negara.
“Dalam soal ini, saya harap jangan gunakan inovasi yang kita lakukan untuk menerobos ke alam baharu dengan melakukan sesuatu yang kurang ajar, bertindak melebihi batasan sehingga menghina,” katanya.
Sementara itu, Khalid ketika ditemui berkata polis akan mengambil tindakan mengikut undang-undang ke atas individu berkenaan seperti yang diarahkan timbalan perdana menteri.
“Kita akan mengambil tindakan ikut undang-undang,” katanya ringkas sambil meminta individu tersebut tidak diberikan publisiti di dalam media kerana itu sebenarnya yang dimahukan.
Sebelum ini, beberapa laporan polis dibuat berikutan tindakan seorang blogger kontroversi, Alvin Tan, melakukan provokasi apabila menggunakan helaian naskah al-Quran sebagai tisu tandas.