Misteri Istana Damnah milik Kesultana Melayu Riau-Lingga dirungkai ..

on Friday, May 18, 2012 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




RIAU (Indonesia) - Semasa lawatan ke Pulau Lingga Sumatra baru-baru ini, penulis berpeluang melihat dengan lebih dekat kesan peninggalan Kesultanan Riau-Lingga yang terletak berdekatan bandar Daik. Kesultanan Riau-Lingga - yang pada satu ketika dahulu empayar pemerintahannya menjangkau sehingga ke seberang Sumatra tenggara, kepulauan Riau dan sebahagian besar selatan Malaya - adalah sebuah empayar Melayu yang gemilang.

 Minat penulis terhadap sejarah kesultanan ini adalah susulan daripada cerita mengenai Tengku Abdul Rahman Tengku Mohamed Yusoff, yang mendakwa mempunyai darah keturunan Kesultanan Riau-Lingga. Cerita mengenai Tengku Abdul Rahman terpapar dalam laman web berbahasa Melayu di Singapura, sebuah pulau yang pada satu ketika dahulu dikenali sebagai Temasik dan adalah sebahagian daripada pemerintahan Kesultanan Riau-Lingga.



 Namun apa yang tinggal kini hanya artifak dan monumen peninggalan kesultanan itu terutamanya di Lingga di sini yang pernah menjadi ibukota Kesultanan Melayu Riau-Lingga. Peluang menjejakkan kaki ke bumi Lingga baru-baru ini, menemukan penulis dengan peninggalan kesultanan itu jauh di pelosok kota Daik yang juga bandar utama empayar Riau-Lingga.

 Sungguh menyedihkan apabila melihat hanya beberapa runtuhan tapak, tiang serta tangga sebuah kompleks istana yang masih tinggal sebagai bukti peninggalan empayar itu, yang pernah menjalin perjanjian dengan pihak British dan Belanda. Istana itu yang dikenali sebagai Istana Damnah dibina sekitar 1860 semasa pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alamshah.



 Menurut seorang petugas Dinas Kebudayaan dan Pariswata Kabupaten Lingga (Agensi Kebudayaan dan Pelancongan Wilayah Lingga), Lazuardy, Istana Damnah ini adalah satu daripada tiga istana yang dibina bagi tujuan urusan pemerintahan. Dua lagi istana pemerintahan ialah Istana Kenanga dan Istana Kedaton yang turut berada di sekitar Lingga di sini.

 Kesultanan itu turut membina beberapa istana lain bagi tujuan tempat tinggal kerabat diraja dan istirehat, namun bilangan istana jenis itu masih belum dapat dipastikan hingga ke hari ini. "Perkataan Damnah adalah gabungan dua perkataan harian Melayu lama iaitu 'dam' bermaksud jauh dan 'nah' bermaksud betul. "Jadi nama Istana Damnah bermaksud istana yang jauh betul, sesuai dengan kedudukan istana ini yang terletak jauh lebih 20km dari bandar utama di Daik," katanya kepada Bernama.

 Apa yang menarik, bandar utama Daik adalah bandar yang sama semasa pemerintahan kesultanan itu, masih kekal menjadi penjana ekonomi masyarakat Melayu di kota Daik. Menurut Lazuardy, Kompleks Istana Damnah berkelusan 100m panjang x 150m lebar itu (bentuk segi empat memanjang ke belakang) mempunyai dua bangunan utama.

 Bangunan terletak di sebelah depan adalah sebuah dewan terbuka yang digunakan bagi upacara keramaian manakala di sebelah belakang pula bangunan istana utama. Lazuardy berkata bangunan istana utama itu mempunyai lima balai utama iaitu Balai Rong Seri digunakan bagi perbincangan antara Sultan dan pembesar, Balai Titah yang digunakan bagi Sultan menerima mengadap diplomat asing juga rakyat jelata. Balai Peraduan adalah tempat beradu Sultan dan Permaisuri, Balai Gambang bagi pertemuan sulit Sultan terutama melibatkan keselamatan negara dan Balai Lintang bagi tujuan mengurus kematian kerabat diraja di istana. 

Beliau berkata sekitar awal 1900, Istana Damnah juga istana lain di sekitar kota Daik ditinggalkan setelah Sultan Abdul Rahman II Muadzam Syah memindahkan ibukota kesultanan itu ke Pulau Penyengat di sini yang berada di luar Lingga.

 "Istana Damnah ini masih kukuh walaupun diperbuat daripada campuran tanah liat, pasir, kapur dan kuning telur. Namun penduduk setempat mengambil bahan binaan istana yang terdiri daripada bahan binaan 'hi-tech' ketika itu untuk membina serta mengukuhkan rumah mereka.

 "Hanya tapak, runtuhan tangga dan tiang istana itu yang tinggal tetapi apa yang menarik rumah-rumah lama di sini masih mempunyai sebahagian daripada bahan binaan Istana Damnah ini," katanya. Pada tahun 2003 kerajaan Indonesia dalam usaha memelihara peninggalan sejarah Kesultanan Melayu Riau-Lingga juga menggalakkan aktiviti pelancongan, telah membina sebuah replika Istana Damnah di sebelah runtuhan istana itu.

 Menurut Lazuardy replika itu bagaimanapun tidak 100 peratus menyerupa \ rekabentuk Istana Damnah yang sebenar kerana kerajaan Indonesia tidak mempunyai pelan rekabentuk asal istana itu. "Pelan asal Istana Damnah itu dipercayai telah dibawa ke Belanda dan kita sedang mencari pelan itu bagi mengkaji rekabentuk sebenar istana itu. Bagi merekabentuk replika ini kita dapat banyak pertolongan daripada rakan kita di Melaka, Malaysia.

 "Malah replika istana ini sebenarnya mempunyai campuran rekaan daripada runtuhan Istana Damnah sendiri dan rekaan istana juga rumah tradisi di Melaka yang mempunyai banyak persamaan dengan kami di sini," katanya. Paling menarik mengenai replika Istana Damnah itu di mata penulis ialah rekaan jendela istana yang mempunyai ukiran menyerupai awan larat dan replika singgahsana Kesultanan Melayu Riau-Lingga yang terletak di Balai Rong Seri.

 Selain replika Istana Damnah, kerajaan Indonesia juga telah membina sebuah kawasan kolam perkelahan di sebelah istana tersebut bagi tujuan rekreasi dan sebuah muzium bagi menempatkan artifak peninggalan kesultanan Melayu itu. 

Muzium yang menempatkan lebih 100 artifak peninggalan Kesultanan Melayu Riau-Lingga itu terletak kira-kira dua kilometer dari Istana Damnah. Lazuardy berkata muzium diberi nama Muzium Linggam Cahaya yang berkeluasan kira-kira 2,600 meter persegi itu secara rasminya dibuka pada Disember 2003.

 "Cukup banyak bahan budaya yang diperbuat daripada bahan kuningan (tembaga) yang dibuat di sebuah kampung bernama Kampung Tembaga di Daik dan pembuatan barangan ini mula berkembang antara tahun 1832 hingga 1841.

 "Antara bahan budaya jenis ini yang ada ialah pahar (tempat meletak barangan), tepak sireh, talam (dulang), keto (tempat sampah) dan bon (tempat menyimpan alat menjahit)," katanya. Selain barangan tembaga, barangan artifak seperti senjata yang terdiri daripada keris dan tombak, alat muzik tradisional, duit lama dan tembikar daripada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Riau-Lingga turut dipamerkan.

 Meninggalkan Istana Damnah dan Muzium Linggam Cahaya, penulis terfikir sekiranya berpeluang menemui Tengku Abdul Rahman satu hari nanti, mahu sahaja penulis membisikkan ke telinga beliau bahawa legasi kesultanannya masih kekal terpelihara di Daik. Kesultanan Melayu Riau-Lingga walaupun kini hanya tinggal sebuah fakta dalam lipatan sejarah, masih terpelihara legasinya melalui artifak dan peninggalan monumen antaranya Istana Damnah yang kekal menjadi simbol legasi kesultanan Melayu itu sehingga hari ini. - Bernama

LINK

Pulau Pandan Jauh Ke tengah Gunung Daik Bercabang Tiga 


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.