Keputusan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang berhasrat mempertahankan jawatannya sebagai ketua sayap pemuda itu sesuai dengan keadaan semasa yang masih memerlukan kepimpinannya. Ketua Penerangannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan Khairy sebagai seorang pemimpin yang amat diperlukan parti ketika ini.
“Pemuda Umno kini berada dalam keadaan sangat baik bawah pimpinan Khairy di mana pelbagai cadangan yang telah dibawanya kepada kerajaan melalui usaha pemuda, antaranya Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN).
“Hasil daripada inisiatif yang dibawa beliau adalah suara pemuda bagi memenuhi kehendak rakyat negara ini,” katanya kepada Sinar Harian. Minggu lalu, Khairy berkata beliau berhasrat menawarkan diri untuk memimpin Pemuda Umno bagi tempoh satu lagi penggal di mana pemilihan akan dibuat selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Khairy menyatakan hasratnya melalui laman Twitter.
Khairy juga menyatakan pendirian akan cadangkan had umur ketua pemuda sehingga 40 tahun sahaja berbanding sebelum ini.
“Pendekatan dibawa Khairy berjaya menyatukan orang muda di bawah payung BN,” katanya. Menurutnya, gandingan Khairy dan Naibnya, Datuk Razali Ibrahim serta seluruh Exco merupakan gandingan mantap, sekali gus Pemuda Umno mempunyai masa depan yang amat cerah dalam membantu BN terus memenangi majoriti dua pertiga dalam PRU13.
Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, mereka menghormati hak Khairy, bagaimanapun posisi pimpinan dalam parti banyak bergantung pada keberkesanan kita dalam mengembalikan sokongan rakyat pada Umno dalam PRU13. “Mengenai had umur, saya setuju kepada 40 tahun kerana ia beri ruang lebih ramai pemimpin muda untuk diketengahkan,” katanya.
Berlainan nada dengan Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Husin yang menyarankan had umur sesuai bagi jawatan ketua pemuda adalah 45 tahun. “Ini adalah bersesuaian dengan landskap politik negara yang sukar menerima perubahan secara mendadak. Umno adalah parti lama yang mempunyai seni yang tersendiri, jadi tidak boleh tergesa-gesa,” katanya.