PORT DICKSON 5 Okt. - Pakatan pembangkang hanya berbohong kepada rakyat terutama pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang apabila mendakwa calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad tidak mendapat sokongan pemimpin parti itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa Mohd. Isa tidak disokong pemimpin BN merupakan tindakan terdesak.
''Seluruh pemimpin BN termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohammad Hassan turut berada di sana (pada hari penamaan calon).
''Ini menunjukkan mereka terdesak, serta mengaku kalah dan sudah kehabisan modal untuk berbohong kepada rakyat, tak kan dia (Nizar) buta,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mohamad Nizar dalam salah satu ceramahnya bahawa Mohd. Isa tidak disokong apabila tidak ada pemimpin BN yang mengiringi beliau ketika proses penamaan calon.
Menurut Khairy, semua media sama ada cetak atau elektronik menyiarkan gambar Mohd. Isa bersama pemimpin BN, tetapi Mohamad Nizar pula menyatakan sebaliknya.
''Ini menandakan beliau cuba membohongi orang ramai termasuk ahli pakatan pembangkang sendiri. Saya tahu rakyat kini pandai menilai perkara sebenar, takkan orang sebegini kita nak pilih jadi pemimpin,'' katanya.
Khairy berkata, Pemuda kini sedang giat memberikan penerangan kepada golongan muda tentang perkara sebenar sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang ini, agar mereka memperoleh maklumat yang betul.
Menurutnya, golongan muda di negara ini adalah pelapis untuk meneraju negara.
''Oleh itu kita perlu membekalkan mereka dengan maklumat yang tepat, agar negara kita terus maju dan berada di landasan yang betul,'' katanya.