Akhbar Cina sambut baik perubahan positif dalam UMNO

on Sunday, October 18, 2009 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments


Hampir semua akhbar Cina memberi tumpuan yang positif kepada penjenamaan baru umno, manakala ucapan Ketua Pemuda UMNO baru, Khairy Jamaluddin yang seketika dahulu amat tidak disenangi dalam masyarakat Cina di sambut positif dari akhbar cina.
Timbalan Ketua Pengarang Sinchew Daily, Tay Tian Yan yang pernah menemuramah Khairy seketika dahulu, mengucapkan syabas kepada Ketua Pemuda ini kerana telah menunaikan janjinya dalam wawancara tersebut. Dalam temuramah beberapa bulan yang lalu, Khairy menegaskan bahawa tidak wujud "ketuanan Melayu", namun hanya "kepimpinan Melayu" di tanahair ini.

Malah, Tay memuji Khairy kerana beliau telah melakukan sesuatu yang betul, dan mengorak satu langkah yang besar ke depan, walaupun pernah melakukan kesalahan sebelumnya.

"Walaupun ramai yang akan meragui keikhlasan Khairy, tetapi, daripada terus melontarkan sindiran dan pertikaian, lebih baik galakan dan bimbingan diberikan kepadanya," demikianlah pandangan yang dipetik dari artikel yang berjudul "Jalan Baru Khairy".

UMNO mula berubah

Seorang lagi Timbalan Ketua Pengarang Sinchew Daily, Lim Sue Goan pula mengulas pandangannya dalam artikel kolumnya yang berjudul "UMNO bertolak dari titik permulaan baru". Konsep "kepimpinan Melayu" yang diutarakan oleh Khairy, dan "1Malaysia" yang disarankan Najib Razak, telah mencungkil perhatian Lim Sue Goan.

Beliau menganggap bahawa gagasan "1Malaysia" biarpun tidak diendahkan oleh Pakatan Rakyat pada mulanya, namun telah berjaya memperlihatkan kesannya setelah dimangkinkan institusi kerajaan dan media. Malah, UMNO telah mengambil beberapa langkah perubahan untuk memastikan parti ini tidak rebah pada pilihan raya umum yang akan datang.

Walau bagaimanapun, Lim Sue Goan menyimpulkan, "pengaturan semula dalam parti harus disifatkan sebagai 'perubahan', dan bukannya 'reformasi'. Namun, bursa saham melonjak semalam, ahli UMNO kini berkobar-kobar semangatnya. UMNO kelihatan telah terkeluar dari nasib yang sial itu. Bagaimana pula Pakatan Rakyat berdepan dengan UMNO (jentera gergasi) yang terjana ini?"

UMNO untuk semua

Nasib MCA, parti komponen kedua terbesar dalam BN, yang bakal ditentukan hari ini, telah mendapat liputan yang luas dalam ruang dada akhbar Cina. Malah, Oriental Daily, Kwong Wah Yit Poh, China Press dan sebagainya, telah menonjolkan berita sama ada Presiden MCA, Ong Tee Keat akan mengundur diri atau tidak di depan akhbar tersebut.

Apa yang menarik adalah, Perhimpunan Agung UMNO semalam tetap mendapat liputan yang luas, dilampirkan dengan gambar yang berwarna-warni, dibubuh dengan tajuk berita yang lebih "positif" dari perspektif masyarakat Cina, berbanding tahun yang lalu.

Media cetak arus perdana ternyata tertarik dengan retorik politik sedemikian, misalnya lidah pengarang Kwong Wah Yit Poh telah menjadikan "UMNO mahu menjaga semua rakyat" sebagai tajuknya. Tulisan tersebut menyatakan bahawa "rakyat menyanjung dan menaruh harapan yang tinggi terhadap konsep '1Malaysia' yang dikemukakan."

Berlatar-belakangkan pergelutan kuasa yang bercelaru dalam parti komponen BN yang lain, seperti MCA dan MIC, Nanyang Siang Pau menjangkakan bahawa tidak mustahil seandainya UMNO membuka pintunya kepada semua kaum pada masa yang akan datang.

Lidah pengarang akhbar Nanyang Siang Pau mengulas kemungkinan ini dengan merujuk kepada kemenangan besar UMNO dalam PRK Bagan Pinang walaupun dalam suasana MCA dan MIC bergelut dalam partinya. Oleh itu, tidak mustahil untuk UMNO membuka keahliannya kepada Cina dan India yang menyokong BN, tetapi kecewa dengan MCA dan MIC.

* Disunting dari tulisan Lim Hong Siang yang tersiar di Kaleidoskop ( "digest" kandungan akhbar bahasa Cina).

sumber :neutraldaily


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.