Pandangan masyarakat trend pakaian perkahwinan ikut ala Barat

on Monday, June 4, 2012 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment


Minda terjajah 

Segelintir mempelai kini lebih selesa memilih pakaian Barat kerana merasakan mengikut trend atau menganggap pakaian tradisional tidak praktikal untuk majlis persandingan tertentu. Tindakan itu menampakkan seolah-olah minda masyarakat Melayu berkenaan masih dijajah dan menganggap setiap yang datang daripada luar sesuai dengan budaya kita.

 Ahli Lembaga Perbadanan Adat Melayu Warisan Selangor, Prof Dr Noriah Mohamed berkata, dalam perkahwinan, paling utama ialah nikah dan resepsi yang diadakan harus selaras dengan kehendak agama, sama ada daripada segi adat dan budaya Melayu yang berteraskan Islam.

 “Adat di sini bukan sekadar berkait dengan perkahwinan, tetapi pada keseluruhan kehidupan. Justeru, adat dalam perspektif Melayu adat bersendi syarak, syarak bersendikan kitabullah. Segala-galanya berdasarkan kehendak ajaran Islam,” katanya.

 Menurutnya, ada masyarakat Melayu Islam berani mengubah senario sebegini dengan meniru cara orang bukan Islam daripada segi penampilan mempelai mahupun cara resepsi diadakan.


Mereka perlu ingat asal usul - Salleh Yaacob 

Semua itu mungkin disebabkan pengaruh dunia luar, terutama Barat. Bila terlalu taksub dengan perkembangan fesyen, cara dan gaya artis luar, mulalah ada yang terikut-ikut,” kata pelawak terkenal, Salih Yaakob. Memiliki empat isteri, Norlizah Mamat, 46, Norraha Hamat, 42, Norfara Wahida Sulaiman, 32, dan Samihah Sheikh Ali, 24, Salih sentiasa mementingkan ajaran agama dan adat Melayu dalam majlis perkahwinannya.

 “Pendapat saya, sejauh manapun seseorang itu pergi, dia perlu ingat asal usul diri serta jangan abaikan adat dan agama. Jika melangsungkan perkahwinan, sebaik-baiknya biarlah ia berjalan dengan lancar dan suci daripada semua perkara.

Insya-Allah, perkahwinan itu akan berkat,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad. Bagaimanapun, menurut Salih, sesuatu perkara itu bergantung kepada individu itu sendiri, cara melihatnya, mengadaptasi dalam kehidupan itu adalah hak mereka.

 “Bila bercerita pasal hak, setiap manusia punya hak. Kita tidak boleh menghalang mereka melakukan sesuatu yang mereka suka. “Bagaimanapun, individu itu perlu faham adat dan tanggapan masyarakat kita yang majoritinya Melayu dan beragama Islam.

 Sekurang-kurangnya, mereka boleh menghindari fitnah. “Paling penting adalah niat itu sendiri. Kita berkahwin untuk apa? Menunjuk-nunjuk atau mengikut ajaran Islam? Jika niat kita baik, insya-Allah semuanya akan menjadi baik dan diredai Tuhan,” katanya.


Perkahwinan guna pakai adat Barat takut tidak berat , pintu rezeki tutup 


Penceramah bebas, Ustaz  Hassan Mahmud Al-Hafiz berkata, budaya luar sering mencemar Islam, justeru, tidak perlu orang Melayu yang seagama mengguna pakai adat Barat dalam melakukan apa-apa majlis.

 “Kita tidak harus mengambil adat dan cara orang luar untuk menjadi cara atau tema perkahwinan kita. Ia seakan-akan menolak budaya Islam dan mengutamakan budaya luar.

 “Lagipun, perkahwinan yang terlalu terpesong daripada Islam tidak akan diredai Allah. Takut nanti, perkahwinan kita tidak berkat, malah pintu rezeki turut tertutup.

 “Sebaik-baiknya, kita perlu kembali ke pangkal jalan dan berlandaskan ajaran Islam,” katanya.


One Response

  1. rizal says:

    baik buat PERSANDINGAN BOGEL kalo nak GEMPAK sgt...

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.