Enakmen Pilihanraya PBT Kerajaan DAP tak sah,langgar Perlembagaan !

on Thursday, June 14, 2012 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




Tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012 adalah tidak sah daripada segi undang-undang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, ini kerana enakmen yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang itu bercanggah dengan peruntukan Seksyen 15 Akta 171 (Undang-Undang Persekutuan).

Katanya, selaras dengan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan,

"Jika mana-mana undang-undang negeri tidak diselaras dengan sesuatu undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang negeri dan undang-undang negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu".

"Tindakan kerajaan negeri meluluskan enakmen itu tanpa berunding dengan Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) jelas bertentangan dengan Perkara 95A (6) Perlembagaan Persekutuan.

"Perlembagaan itu memperuntukkan kewajipan kerajaan negeri berunding dengan MNKT berkenaan apa-apa perundangan yang dicadangkan mengenai kerajaan tempatan bagi pertimbangan dan persetujuan sebelum dilaksanakan supaya wujud keseragaman," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Gwo Burne Loh (PKR-Kelana Jaya) mengenai pelaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.

Pada 9 Mei lalu, DUN Pulau Pinang meluluskan Rang Undang-Undang Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) bagi membolehkan anggota-anggota majlis perbandaran di negeri itu dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya.

Enakmen yang dikenali sebagai Undang-Undang Pilihan Raya Kerajaan Tempatan itu dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Tambah Chee Heung, walaupun sistem pilihan raya tidak lagi diadakan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi mengikut Seksyen 10 Akta 171, Ahli Majlis diwujudkan sebagai badan penggubal, perancang dan pelaksana dasar sesebuah PBT.

Katanya, seksyen itu telah menetapkan syarat-syarat dan kelayakan yang perlu dipenuhi bagi pelantikan Ahli Majlis.

"Antara syarat utama adalah pemastautin tetap di kawasan PBT, mempunyai pengetahuan luas dalam hal ehwal kerajaan tempatan, telah mencapai kejayaan membanggakan dalam sesuatu profesion serta mempunyai kebolehan untuk mewakili kepentingan sesebuah kelompok dalam kawasan PBT," katanya.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.