Bukit Bintang yang terkenal sebagai ‘Segi Tiga Emas’ ibu kota bukan saja dianggap lubuk emas kepada ekonomi negara, tetapi juga menjadi tumpuan utama pelancong ke negara ini kerana memiliki pelbagai kemudahan dan destinasi menarik.
Bagi menyelami nadi kehidupan di Bukit Bintang, wartawan Metro Ahad yang tinggal seminggu di kawasan terbabit menyaksikan kawasan yang memiliki pelbagai premis perniagaan itu menjadi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.
Kewujudan banyak pusat hiburan, kelab malam, disko dan pusat karaoke juga menjadi sebab mengapa kawasan Bukit Bintang tidak pernah ‘tidur’.
Tidak ketinggalan, Bukit Bintang turut dirancakkan dengan lambakan pelbagai jenis penginapan, daripada hotel bertaraf lima bintang hinggalah rumah tumpangan dan hotel bajet, selain premis perniagaan, pusat beli-belah, perniagaan francais dan kedai makan yang dibuka 24 jam setiap hari.
Bagi yang mahu bermalam, pelancong tidak perlu khuatir kerana lebih 90 hotel bajet dan 70 hotel mewah disediakan, antaranya Hotel JW Marriott, Hotel Royal Chulan, Hotel Vistana, Grand Millenium dan Swiss Garden Residences.
Melalui pemerhatian hujung minggu lalu, kira-kira 20,000 pengunjung membanjiri Bukit Bintang, menjadikan kawasan itu sebagai ‘pesta beli-belah’ dengan setiap ruang dipenuhi orang ramai.
Rata-rata pengunjung ditemui berpuas hati dengan pembangunan di Bukit Bintang kerana bagi mereka, infrastruktur dan kemudahan asas disediakan serba lengkap, termasuk pengangkutan awam seperti bas, teksi dan monorel.
Meninjau keadaan lalu lintas, kira-kira 10,000 kenderaan keluar masuk ke Bukit Bintang setiap malam, menyebabkan jalan menjadi sesak namun berjaya dikawal polis trafik.
Tinjauan mendapati pelancong tidak melepaskan peluang menikmati makan malam dengan mencuba makanan laut dan masakan Cina.
Tidak dapat dipertikaikan bahawa Bukit Bintang kini sungguh maju, tidak seperti era 1970-an, namun di sebalik pembangunan dikecapi, ia turut membawa masalah sosial yang semakin merebak, terutama di kalangan orang muda.
Tinjauan mendapati, lebih 50 pusat urut yang menawarkan urutan batin turut beroperasi dengan sebahagian besar pekerjanya warga China, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Myanmar serta sedikit orang tempatan.
Wartawan turut menyaksikan pergerakan ‘bapa ayam’ di deretan bangunan yang menawarkan khidmat seks kepada pelancong yang melalui setiap jalan.
Pemerhatian juga mendapati, seawal jam 8 malam, wanita tukang urut warga China berdiri di depan premis dan mempromosikan khidmat urut dengan harga RM60 sejam sebelum merayu-rayu memberikan khidmat urutan batin dan lebih daripada itu.
Selepas jam 12 tengah malam pula, premis urut bertukar perkhidmatan apabila kegiatan pelacuran mengambil alih dan ia ternyata mendapat sambutan lelaki buaya darat.
Mengejutkan apabila siasatan mendapati, di Bukit Bintang saja lebih 20 spa dan kebanyakan hotel murah dikesan menjalankan kegiatan pelacuran dengan harga sekitar RM268 sehingga RM500.
Selain kegiatan pelacuran, masalah sosial lain yang wujud adalah kehadiran kumpulan mat rempit yang mengganggu lalu lintas, menyebabkan jalan bertambah sesak.
Di sekitar Jalan Bukit Bintang, lebih 20 ‘mak nyah’ juga dikesan menawarkan perkhidmatan seks kepada pelancong Arab dan Eropah dengan bayaran hanya RM50 dan kegiatan itu ternyata mencemarkan budaya ketimuran.
Keburukan lain yang dikesan di sebalik pembangunan di Bukit Bintang adalah golongan gay menjadikan satu lorong di Jalan Bukit Bintang sebagai ‘port’ berkumpul dan mendapatkan pasangan, selain pelajar sekolah menjadikan hujung minggu sebagai medan melepak sehingga ke subuh.
Selain itu, kewujudan kumpulan ‘skin head’ dan kongsi gelap dikhuatiri menyebabkan peningkatan kes jenayah di situ . HMETRO