Tak ada pilihanraya! Setelah bermesyuarat hampir sehari suntuk pada Selasa, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) memutuskan kerusi DUN Kota Siputeh Kedah masih disandang oleh Datuk Abu Hasan Sarif yang dimenanginya pada Pilihanraya Umum ke-12 tahun lalu.

Pengerusi SPR, Tan Sri Dato' Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, dalam kenyataan akhbarnya, berkata, setelah meneliti dokumen dan mengkaji fakta yang dikemukakan, di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, SPR memutuskan bahawa mesyuarat yang tidak dihadiri oleh ADUN Kota Siputeh bukanlah dua mesyuarat berturut-turut dalam satu penggal persidangan.

Sebaliknya, ia adalah dua mesyuarat berturut-turut untuk dua penggal yang berbeza (tempoh masa antara penggal persidangan pertama dan kedua ialah tiga bulan 20 hari).

Dalam kenyataan akhbar itu, Aziz menegaskan surat cuti sakit yang dikemukakan oleh ADUN berkenaan diterima sah oleh SPR dan kegagalan ADUN itu menghantar surat lebih awal (selewat-lewatnya 9 Ogos 2009) tidak menjadikan surat cuti sakit itu terbatal.

Kedudukan Abu Hasan sebagai ADUN Kota Siputeh dipersoalkan setelah SPR menerima pemakluman daripada Speaker DUN Kedah pada 17 Ogos 2009 yang menyatakan terdapat kekosongan luar jangka di bawah Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri Kedah apabila Abu Hasan dikatakan gagal hadir dalam sidang DUN tanpa kebenaran Speaker sebanyak dua kali mesyuarat berturut-turut.

Ekoran surat berkenaan, SPR telah mengadakan mesyuarat khas, Selasa bermula 10.30 pagi dan tamat pada 2.30 petang.

Dalam memutuskan isu ketidakhadiran di dalam dua kali mesyuarat berturut-turut, takrif perkataan "mesyuarat", "penggal persidangan" dan "persidangan" telah diberi perhatian dan pentafsirannya mengikut Perkara 2, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah dan Peraturan 96 Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah.

Sultan Kedah telah mengisytiharkan bahawa 19 April 2009, pukul 9 pagi sebagai tarikh dan waktu bagi Mesyuarat Kelima Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Kedah dan 9 Ogos 2009, pukul 9 pagi sebagai tarikh dan waktu bagi Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah.

Berdasarkan keadaan tersebut, kedua-dua meyuarat itu bukanlah "mesyuarat berturut-turut" (consecutive meetings) dan adalah tidak tepat jika dikatakan ADUN berkenaan tidak hadir dalam dua mesyuarat berturut-turut, sebaliknya ia adalah dua mesyuarat berturut-turut bagi dua penggal yang berbeza.

Berhubung isu sama ada ADUN berkenaan diberi peluang untuk menjelaskan keadaan yang menyebabkan beliau tidak dapat hadir mesyuarat pada 9 Ogos 2009, SPR telah meneliti surat daripada Abu Hasan kepada Speaker bertarikh 10 Ogos 2009 yang memohon maaf kerana tidak dapat hadir sidang dewan pada 9 Ogos 2009 dengan melampirkan surat cuti sakit daripada doktor.

SPR juga menurut Abdul Aziz turut mengambil kira kenyataan beliau telah menghantar SMS kepada Ketua Pembangkang memaklumkan ketidakhadirannya kerana sakit dada.

Dalam kenyataan akhbar itu juga, SPR menegaskan, sebelum perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah digunakan, ia hendaklah terlebih dahulu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

Bagaimanapun menurut kenyataan itu, SPR tidak menerima sebarang makluman daripada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan mengenai sebarang rujukan dari Speaker ataupun ADUN Kota Siputeh itu.

Menurut kenyataan itu, di bawah Peraturan 78 Peraturan Mesyuarat Dewan, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan mempunyai kuasa untuk menimbangkan kuasa, hak dan kebebasan Dewan.

Kuasa Speaker untuk memberi kebenaran kepada ADUN tidak hadir dalam mesyuarat Dewan kerana sakit merupakan satu daripada perkara yang terangkum dalam kuasa, hak dan kebebasan Dewan.

Jelas kenyataan itu lagi, SPR berpendapat Peraturan 78 itu tidak dirujuk langsung bagi membantu SPR memutuskan dan menghilangkan apa-apa keraguan berhubung isu sama ada ADUN Kota Siputeh diberi peluang menjelaskan ketidakhadirannya. Dengan itu SPR memutuskan tidak berlaku apa-apa kekosongan pada kerusi DUN N.3 Kota Siputeh. - 1/9/20