15,000 rakyat Tawau buat kejutan untuk Najib

on Monday, September 14, 2009 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments


TAWAU 13 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau melalui pengalaman yang tidak pernah dialami sejak 30 tahun menyertai politik apabila diserbu rakyat selepas menunaikan solat tarawih di Masjid Al-Khautsar, di sini malam ini.

Perdana Menteri berkata, walaupun keadaan kelam-kabut dan tidak terkawal tetapi beliau percaya ia terjadi kerana keinginan yang tinggi rakyat untuk bertemu pemimpin.

"Saya tengok Datuk Seri Mohd. Shafie di depan cuba mahu kawal tetapi tidak berjaya. Saya kira semua ini tanda rakyat Sabah khususnya di kawasan ini merupakan penyokong setia kerajaan.

"Oleh itu saya minta tolonglah jaga rakyat yang setia kepada kita ini. Mereka ini tidak meminta banyak. Mereka hanya minta perhatian anda, masa dan budi bahasa. Itu sahaja yang mereka minta.

"Saya percaya sebagai balasan mereka akan terus setia bersama kita," katanya ketika berucap pada majlis moreh sempena lawatan sehari ke Sabah, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, pemimpin-pemimpin Kabinet negeri dan UMNO.

Najib berkata, beliau percaya rakyat di kawasan ini masih memerlukan sokongan kerajaan dalam menyediakan prasarana yang baik seperti kemudahan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), sekolah serta peluang pekerjaan.

"Insya-Allah, kita akan sediakan peruntukan yang sesuai dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10)," katanya.

Perdana Menteri juga memberitahu, kerajaan sedia menjadikan Felda Sahabat yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Lahad Datu sebagai lokasi baru loji janakuasa arang batu di negeri ini.

Menurut beliau, loji janakuasa arang batu yang sebelum ini dicadangkan dibina di Lahad Datu dan Sandakan perlu dibina segera bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan elektrik khususnya di pantai timur Sabah.

"Apabila hendak buat janakuasa arang batu semua tidak hendak. Sandakan tidak mahu. Lahad Datu tolak. Jika semua tolak, kita buat di Felda Sahabat.

"Kalau kita tidak buat loji janakuasa, orang Sabah khususnya di pantai timur akan sentiasa terputus bekalan elektrik," katanya.

Loji janakuasa arang batu yang boleh menghasilkan tenaga elektrik sehingga 300 megawatt pada asalnya dicadangkan dibina di Silam, dekat Lahat Datu tetapi ditolak kerajaan negeri selepas mendapat bantahan penduduk tempatan.

Ia kemudian dipindahkan ke Sandakan tetapi turut ditolak penduduk tempatan yang kemudiannya menggesa kerajaan supaya tampil dengan loji janakuasa menggunakan teknologi mesra alam.

Perdana Menteri berkata, kerajaan serius untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan elektrik di negeri ini dan akan melakukan pelbagai langkah jangka pendek dan panjang dalam menyelesaikan isu itu.

Menurutnya, rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengotakan janji tidak seperti kerajaan pembangkang.

Mengambil contoh isu Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, Najib berkata, kerajaan pembangkang telah berjanji bahawa penduduk boleh kekal tinggal di situ, tetapi apabila pemaju menuntut tanah berkenaan, kerajaan yang dikuasai pakatan pembangkang tidak menunaikannya.

Suara Rakyat Suara Keramat

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemimpin adil perlu menjaga kepentingan semua rakyat dan bukannya hanya menjaga kumpulan penyokong atau ahli parti sahaja.

Beliau berkata, hakikat itu perlu menjadi pegangan kerana dalam sistem demokrasi berparlimen, yang menjadi penentu jatuh bangun pemimpin adalah rakyat.

"Saya menekankan supaya rakyat didahulukan kerana dalam sistem demokrasi berparlimen, suara rakyat adalah suara keramat.

"Sebagai Presiden UMNO, saya boleh mempertahankan jawatan kalau saya menjaga 2,500 perwakilan tetapi saya tidak mahu semata-mata menjaga 2,500 perwakilan UMNO.

"Sebaliknya, saya mahu menjaga 27 juta rakyat Malaysia dan saya harap ini menjadi sikap pemimpin kita di semua peringkat," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Al-Kauthar di sini hari ini.

Najib berkata, beliau berharap semangat yang sama diikuti pemimpin di peringkat bawahan.

Katanya, ketua-ketua bahagian perlu memastikan kepentingan ribuan penduduk dan pengundi di kawasan mereka dan bukan sekadar memberi tumpuan terhadap cawangan sahaja.

"Kalau kita sebagai pemimpin turun bersama rakyat tanpa protokol, tanpa hamparan permaidani merah, tanpa bunga manggar, tanpa sambutan, duduk dengan rakyat, minum dan ambil kira serta ambil berat masalah rakyat, rakyat akan tetap bersama kita dan rakyat akan tetap memberi kuasa," katanya.

Najib turut memuji dan menyatakan kegembiraannya dengan kehadiran kira-kira 15,000 rakyat pelbagai lapisan masyarakat dan kaum pada majlis berbuka puasa hari ini.

Katanya, keadaan tersebut berbeza berbanding kebiasaan beliau berbuka puasa dengan pemimpin dan ketua jabatan tanpa penyertaan orang ramai dalam jumlah besar seperti itu.

"Saya gembira kerana saya tengok kiri, kanan dan depan, semuanya wajah rakyat. Inilah yang saya hasratkan apabila saya menyebut gagasan 1Malaysia," katanya.

Menyentuh kedudukan Sabah sebagai 'simpanan tetap' BN, Najib berkata, kekuatan itu perlu ditambah supaya kemantapannya terus berkembang dan tidak terbatas kepada keadaan sedia ada.

"Pemimpin utama mereka semua tidak datang, takut bertemu rakyat. Apa yang dilakukan hanyalah menghantar wakil-wakil mereka sahaja," katanya.

Komen PB

Insyallah rakyat Sabah akan terus setia menjadi penyokong kerajaan dan PM DS Najib ..Kehadiran 15,000 rakyat seluruh kaum di sana hadir ke majlis berbuka puasa bersama PM menunjukkan gelombang biru terus teguh dan rakyat di sana cukup suka kepada pemerintahan Najib dan slogan 1 Malaysia , Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan .


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.