Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa `fatwa' Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti haiwan adalah bercanggah dengan ajaran Islam.
Beliau berkata, sumbangan kerajaan itu adalah kerja amal bagi membantu rakyat yang memerlukan dan sepatutnya disokong oleh semua pihak termasuk pemimpin Pas sendiri yang arif tentang agama.
"Saya terkejut bagaimana Nik Aziz sebagai seorang Menteri Besar dan pemimpin Pas yang sepatutnya berpegang kepada prinsip agama telah membuat satu kenyataan yang menghina penerima bantuan itu yang jumlahnya amat ramai," katanya selepas mendengar taklimat persiapan pilihan raya umum Barisan Nasional Sabah di sini hari ini. - UTUSAN