ATM akan miliki satelit komunikasi sendiri melalui sewaan

on Tuesday, February 5, 2013 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



 Transformasi pertahanan negara kali ini berjaya mengorak langkah ke hadapan apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal mempunyai satelit komunikasinya sendiri yang dijangka akan dilancarkan pada pertengahan 2014.
Panglimanya, Jen Tan Sri Zulkifeli Md Zain, berkata dalam meningkatkan keupayaan sistem pertahanan negara peranan komunikasi amat penting terutama dalam penyampaian dan penerimaan maklumat sulit kepada pesawat tempur dan kapal perang ATM oleh itu negara bersetuju membangunkan sebuah 'Transponder Satellite' bagi tujuan komunikasi.
"Satelit Transponder berperanan sebagai satelit komunikasi dan dijangka dapat meningkatkan sistem komunikasi sedia ada yang mampu berfungsi dengan semaksimum mungkin. Ia sedang dibangunkan melalui kerjasama syarikat satelit terkemuka yang membantu kita dalam penggunaan teknologi ini," katanya ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini di pejabatnya di sini.
Bagaimanapun beliau menjelaskan satelit transponder itu akan disewa ATM dari syarikat berkenaan.
"Kita akan menyewa transponder itu selama 15 tahun kerana ia menjimatkan kos berbanding untuk membangunkan satu satelit ketenteraan yang menelan belanja berbilion ringgit," katanya.
Beliau berkata satelit itu yang menggunakan spesifikasi X-band, mampu beroperasi selama 20 hingga 25 tahun dan ATM dijangka turut mampu meningkatkan keupayaan pertahanan negara dalam tempoh waktu berkenaan.
"Satelit ini khusus bagi meningkatkan keupayaan komunikasi tentera kita yang berada di kawasan yang berisiko rendah menerima isyarat komunikasi," katanya.
Beliau turut menafikan kegunaan satelit yang dibangunkan ATM itu bertujuan untuk risikan sebaliknya ia lebih tertumpu dalam memperkasakan sistem komunikasi.
X-band Satelit Transponder ialah sistem komunikasi digital khas untuk tentera bagi penghantaran data tinggi, suara dan video.
Ia akan menggunakan empat transponder berkuasa 60-MHz dengan satu lagi transponder sebagai simpanan.
Antara syarikat tempatan yang menggunakan satelit transponder biasa, syarikat perkhidmatan televisyen berbayar, Astro. - BERNAMA


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.