Qatar tidak menunjukkan prestasi mereka terjejas di bawah kendalian jurulatih baru, Fahad Thani yang menggantikan Paulo Autuori apabila merekod kemenangan 1-0 ke atas Lubnan pada aksi persahabatan di Stadium Jassim Bin Hamad, Jumaat lalu.
Itu perlawanan pertama kendalian Fahad, selepas mengambil alih tugas daripada jurulatih dari Brazil itu, awal bulan lalu.
Kehebatan Qatar yang bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 itu diakui sendiri penyerang Lubnan, Mohammed Ghaddar yang menyaksikan pasukannya tumpas kali ketiga di tangan negara itu selepas dua kekalahan 1-0 pada kempen kelayakan Piala Dunia 2014 tahun lalu.
Ghaddar yang kini beraksi bersama Felda United bagaimanapun hanya menyaksikan perlawanan persahabatan itu dari tempat duduk penonton kerana mengalami kecederaan belakang.
Hasil pengamatannya itu, dia menjangkakan skuad Harimau Malaya yang bakal berdepan Qatar atau dikenali sebagai Al-Annabi (The Maroon) dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015, Rabu ini pastinya berdepan tugas sukar.
“Qatar pasukan yang bagus, mereka sudah lama beraksi bersama. Mereka mempunyai kelebihan dari segi fizikal dan kepantasan,” kata Ghaddar di Doha semalam.
Ghaddar, 29, yang membantu Kelantan muncul juara tiga piala musim lalu mengingatkan agar barisan pertahanan negara supaya lebih berwaspada terutama ketika mengekang pergerakan penyerang naturalisasi dari Uruguay, Sebastian Soria.
“Qatar memiliki barisan serangan yang bagus, Malaysia perlu mengawal pergerakan Soria. Dia penyerang bahaya,” katanya.