GOMBAK - Usaha memperkasakan UMNO dalam mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti keramat itu tidak hanya tertumpu kepada penyelesaian masalah dalaman parti sahaja.
Pengerusi Putera UMNO, Megat Zulkarnain Omardin berkata, pendekatan turun padang menambat hati golongan muda menjadi agenda penting UMNO dalam meraih sokongan bagi persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
“Kita akan terus mendekati golongan remaja menerusi pelbagai pendekatan yang memenuhi minat mereka.
“Dengan pendekatan yang mesra remaja, saya yakin golongan sasar ini akan lebih mudah kita dekati,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Gombak berkata demikian selepas majlis Perasmian Konvoi Kelab Reckless Motorsports ke Teluk Batik dan Majlis Penyampaian Sumbangan Ke Rumah Anak-Anak Yatim.
Katanya, konvoi berkereta sambil melakukan aktiviti amal adalah salah satu aktiviti riadah yang dapat membantu remaja menghabiskan masa dengan bermanfaat.
Beliau berkata, peserta juga dapat menjalankan tanggungjawab sosial dengan membantu golongan kurang bernasib baik.