Guan Eng a.k.a " Raja Putar Belit "

on Thursday, November 26, 2009 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments





GEORGETOWN - Pengerusi Gerakan Negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan menafikan dakwaan Ketua Menteri Lim Guan Eng menuduh parti itu menolak pelantikan Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Patahiyah Ismail sebagai Pemangku Yang Dipertua MPPP disebabkan beliau seorang wanita.

Sebaliknya beliau menegaskan, Guan Eng sebenarnya yang memandang rendah keupayaan Patahiyah kerana beliau hanya dilantik untuk menanggung tugas sebagai Yang Dipertua semata-mata, bukan Pemangku Yang Dipertua MPPP yang sah seperti yang dilakukan Kerajaan Negeri terdahulu.

:Dr Teng berkata, beliau turut kecewa dengan sikap Guan Eng yang sering memutarbelitkan fakta dan menuduhnya mengamalkan diskriminasi terhadap pemimpin wanita, walhal kenyataannya sebelum ini menggesa Kerajaan Negeri melaksanakan pelantikan Patahiyah sebagai Pemangku Yang Dipertua mengikut peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

:Menurutnya, Gerakan juga turut bimbang sekiranya pelantikan Patahiyah yang hanya dilantik sebagai Ahli Majlis dan bukannya Pemangku YDP akan mengakibatkan berlaku masalah dari segi perundangan di mana sebarang dokumentasi dan mesyuarat MPPP yang dipengerusikan dan ditandatangani oleh Patahiyah berkemungkinan tidak sah.

:“Saya mempunyai bukti yang direkodkan bahawa kenyataan saya sebelum ini dalam sidang media di Taman Botani tidak pernah menolak keputusan Kerajaan Negeri untuk melantik Patahiyah sebagai Pemangku YDP disebabkan beliau seorang wanita.

“Sebaliknya saya menggesa Kerajaan Negeri melantik Patahiyah sebagai Pemangku YDP MPPP yang sah dan mengikut prosedur sewajarnya, bukannya mempertikaikan keupayaannya untuk menerajui MPPP. Saya fikir tuduhan Guan Eng sama sekali tidak benar dan melulu semata-mata,”katanya pada sidang media di pejabat Gerakan di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Wanita Gerakan Negeri, Ng Siew Lai menuntut Guan Eng membuktikan beliau tidak memandang rendah keupayaan Patahiyah menerajui MPPP dengan melantik beliau sebagai Pemangku YDP MPPP yang sah, bukannya menanggung tugas semata-mata.

Menurutnya, beliau hairan mengapa Guan Eng hanya melantik Patahiyah untuk menanggung tugas semata-mata sedangkan dalam prosedur biasa, Kerajaan Negeri layak melantik seseorang untuk memangku tugas YDP MPPP sekiranya penyandangnya bercuti atau mempunyai urusan di luar negara untuk satu tempoh tertentu.

“Pelantikan ini jelas menunjukkan Guan Eng sebenarnya yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita dan menafikan Patahiyah peluang untuk memangku jawatan YDP MPPP yang sah meskipun boleh berbuat demikian.

“Tiada istilah menanggung kerja dalam mentadbir Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan kerana sekiranya YDP atau presiden sesuatu organisasi bercuti, seseorang haruslah memangku tugas itu secara sah bagi melicinkan pentadbiran dari segi urusan menandatangani dokumen sulit dan mempengerusikan mesyuarat penting,”katanya.

Siew Lai turut mempertikaikan kenyataan Guan Eng yang mendakwa meskipun YDP MPPP sedia ada, Tan Cheng Chui meletak jawatan sebagai Ahli Majlis, beliau masih lagi merupakan penyandang YDP memandangkan beliau bakal bersara awal pada 1 Mac 2010.

“Dalam isu ini, Guan Eng sekali lagi memutarbelitkan kenyataan dengan mendakwa Cheng Chui masih lagi memegang jawatan sebagai YDP meskipun beliau letak jawatan sebagai Ahli Majlis, padahal seseorang YDP perlu menjadi Ahli Majlis untuk memegang jawatan itu.

“Sekiranya isu sebegini pun Guan Eng hendak memperdayakan orang ramai, maka tidak hairanlah beliau dianggap sebagai ‘Raja Putar Belit’ oleh kebanyakan pemimpin politik dan rakyat negeri ini,”katanya.

Semalam, Guan Eng menuntut pemimpin parti pembangkang agar memberi ruang kepada Setiausaha Perbandaran MPPP, Patahiyah Ismail untuk membuktikan keupayaannya menjalankan tugas menanggung kerja YDP MPPP terlebih dahulu sebelum mengkritik pelantikan beliau.

Guan Eng turut mengkritik Dr Teng dan mendakwa tindakan beliau mempertikaikan pelantikan Patahiyah sebagai YDP MPPP tidak ubah seperti ‘menghina kewibawaan seorang pemimpin wanita’.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.