ATM antara pasukan tentera digeruni di Asia Tenggara @Zahid_Hamidi

on Saturday, September 22, 2012 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment




- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya melaksanakan tembakan peluru berpandu dan roket secara bersepadu di perairan Selat Melaka hari ini. Tembakan yang dilancarkan dari platform sekitar pukul 10 pagi ini itu tepat mengenai sasaran permukaan pada jarak dan kelajuan yang diprogramkan. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu kenyataan menyebut, dalam tembakan itu, ia telah melancarkan peluru berpandu jenis Exocet MM40 dari Kapal Diraja (KD) Lekiu dan Sea Skua dari helikopter Super Lynx.

 Sementara itu katanya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melancarkan peluru berpandu jenis Maverick dan Harpoon dari pesawat pejuang F/A-18D.

 "Pasukan 51 Rejimen Artileri Diraja dari Tentera Darat pula melancarkan sistem pelancaran roket berganda, Astros II dari tapak menembak di Tanjung Antu, Segari, Perak. Kesemua penembakan ini telah berjaya mengenai tepat dan memusnahkan sasaran," kata kenyataan itu di sini hari ini.



 Jelas kenyataan berkenaan, penembakan bersepadu ATM itu telah dilancarkan semasa Eksesais Angsa pada pertengahan tahun ini melibatkan ketiga-tiga cabang pertahanan berkenaan. Penembakan secara bersepadu tersebut dilaksanakan dalam usaha meningkatkan latihan secara bersama antara ketiga-tiga perkhidmatan berkenaan.

 Selain itu, ujarnya, penembakan berkenaan digabungkan sebagai langkah penjimatan secara perkongsian perbelanjaan dalam operasi penembakan. Penembakan bersepadu itu melibatkan aset bantuan ketiga-tiga cabang perkhidmatan sebagai unsur pembersihan kawasan, pasukan penyediaan sasaran, rakaman dan analisis.

 Jelas kenyataan tersebut, antara aset dan unsur TLDM lain yang terlibat ialah KD Mahawangsa, KD Pahang, KD Terengganu, KD Laksamana Hang Nadim, KD Mahameru, bot tempur cb90, pasukan penyelam, Pasukan Tugasan dan Percubaan Senjata (WTAT) dan helikopter Fennec.

 Dalam pada itu katanya, aset TUDM lain yang terlibat ialah pesawat SU30MKM, pesawat CN235, pesawat B200T dan C130.

 "Kejayaan penembakan ini sekali lagi membuktikan kesiapsiagaan ATM yang sentiasa di tahap tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara.

 Ia sekali gus meletakkan ATM antara pasukan tentera digeruni di rantau ini,'' kata kenyataan itu.

 Hadir sama pada operasi menembak itu ialah Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar; Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasbullah Mohd. Nawawi dan Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.


One Response

  1. Anonymous says:

    Teruskan usaha dan siap siaga ATM. Aku lepas habis grad dr university mau join ATM nyer pakar jurutera

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.