Kemenyan adalah ilmu Aromaterapi hebat bangsa Melayu !

on Wednesday, September 19, 2012 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



PENGGUNAAN kemenyan, sejenis bahan wangian tradisional, sering kali menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat Melayu kita sendiri. Dari dahulu sampai sekarang, penggunaan bahan tersebut sering dikaitkan dengan unsur mistik yang kononnya melibatkan amalan memuja jin, roh dan sebagainya. Lantas, ada yang menyifatkan amalan membakar kemenyan sebagai satu kurafat atau perbuatan syirik. Di samping itu, ada di antara kita yang akan mudah meremang bulu roma apabila terhidu aroma kemenyan, terutama pada waktu senja dan malam Jumaat... kononnya ia menandakan kehadiran hantu atau makhluk halus. Benarkah demikian?

 Bahan kemenyan sebenarnya berasal daripada getah sejenis pohon hutan yang juga disebut pohon kemenyan. Ia terdapat di hutan-hutan rantau ini termasuk Malaysia dan Indonesia. Getah kemenyan mengandungi asam sinamat yang banyak digunakan untuk industri farmasi, kosmetik, rokok dan ubat-ubatan.

Nama botaninya ialah Styrax benzoin Dryand, yang termasuk famili Stryraccaceae dari ordo Ebeneles. Sebenarnya, membakar kemenyan merupakan antara amalan tradisional turun temurun orang Melayu kita. Adat membakar wangian telah pun wujud dalam rangka budaya masyarakat Arab Islam sejak zaman dahulu lagi.



 Para ulama bahkan sepakat bahawa amalan tersebut tidak berunsur syirik. Demikian juga, pembakaran kemenyan dalam ruang budaya orang Melayu sebenarnya mempunyai nilai-nilai pragmatik dan bukannya spiritual semata-mata. Dalam konteks ilmu sains moden, amalan membakar kemenyan sebenarnya merupakan ilmu aromaterapi bagi orang Melayu.

 Selain bertindak sebagai bahan pewangi, asap kemenyan turut berguna bagi merawat pelbagai jenis khazanah Melayu. Di rantau dunia Melayu sering hujan sehingga menyukarkan proses menyimpan beberapa khazanah seperti kain dan senjata. Cuaca daerah Melayu yang lazimnya lembap membuat barangan tekstil mudah rapuh dan bercendawan, sementara bahan yang diperbuat daripada besi mudah karat.

 Untuk mengatasi masalah ini, masyarakat Melayu dahulu menggunakan asap kemenyan sebagai satu cara melindungi barangan tersebut daripada dirosakkan dek cuaca. Secara saintifiknya, apabila asap daripada kemenyan dikenakan pada barangan tersebut, asap tersebut akan membentuk lapisan khusus atas permukaan bahan.

 Hasilnya, barangan tersebut akan dapat bertahan lama di samping berbau harum dan membunuh kuman dan cendawan. Perihal yang sama malah berlaku apabila tubuh seseorang dikenakan dengan asap kemenyan. 

Kajian saintifik oleh ahli-ahli aromaterapi dunia mendedahkan bahawa kemenyan dapat mengekalkan awet muda seseorang di samping merawat luka-luka kecil. Bagi memudahkan penggunaannya, kemenyan Melayu ataupun benzoin kian dijadikan dalam bentuk minyak. Hasil daripada pelbagai kajian pula, minyak kemenyan digunakan bagi mengubati batuk dan selesema.

 Walau bagaimanapun, dalam konteks perubatan tradisional Melayu, masalahnya mula muncul apabila mantera-mantera tertentu dimasukkan bersama penggunaan kemenyan. Sedangkan penggunaan kemenyan semata sebenarnya kian terbukti secara saintifk, akal Melayu tradisional yang cenderung terhadap alam kerohanian gemar memasukkan unsur-unsur berbaur mistik.

 Apatah lagi, amalan tersebut sudah bertapak sekian lama dalam adat Melayu yang secara puratanya dianggap jahil. Harus difahami bahawa terdapat kecenderungan dalam mana-mana adat dunia sekalipun untuk menyatukan tradisi ilmu mereka dengan amalan-amalan tertentu. Hal yang sama malah turut wujud dalam konsep orang Melayu.

 Kini perkembangan ilmu saintifik berkenaan kemenyan pastinya memeranjatkan ramai daripada anggota masyarakat Melayu. Sedangkan kemenyan Melayu sememangnya berasal dari rantau ini, kajian berkenaan bahan tersebut malah lebih giat dilakukan oleh masyarakat asing.

 Lebih aneh lagi, ilmu yang didatangkan oleh masyarakat luar seolah-olah dianggap sebagai eksotik dan saintifik sedangkan ilmu-ilmu tempatan dianggap sebagai syirik dan khurafat. Dalam konteks semasa, masalah kurang percaya diri terhadap kepandaian sendiri mendedahkan betapa perlunya masyarakat Melayu menilai semula akal kebijaksanaan tempatan.

 Jelas sekali, harus disedari bahawa manusia Melayu bukan sahaja merujuk pada bangsa semata dan malah turut merupakan sebuah tamadun dunia yang tinggi nilai dan maruah.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.