P.Pinang sudah ada " Mini Dhaka "

on Sunday, September 23, 2012 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments

-

 Mendapat jolokan Pulau Mutiara, negeri ini sememangnya dikagumi sebagai destinasi percutian bersejarah dengan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Namun, siapa sangka di sebalik kemegahan itu tanpa disedari wujud satu kawasan yang didominasi warga Bangladesh di tengah-tengah kesesakan Georgetown sehingga digelar sebagai 'Mini Dhaka'.

 Terletak di Jalan Gurdwara di sini, pengunjung yang pertama kali tiba di situ mungkin merasakan suasana bukan seperti di Malaysia sebaliknya berada di Bangladesh kerana terlalu ramai warga Bangladesh di situ. Jika sebelum ini deretan kedai-kedai lama di situ menjual peralatan rumah, membaiki basikal dan runcit, kini ia digantikan dengan kedai menjual pelbagai keperluan warga asing itu termasuklah kedai makan.

 Setiap hari kedai yang diuruskan sendiri warga Bangladesh di situ tidak putus-putus dikunjungi rakan-rakan senegara. Bukan sekadar menikmati makanan istimewa Bangladesh di restoran, mereka turut menjadikan kaki lima kedai sebagai tempat bersantai sambil berbual kosong atau menghabiskan masa lapang selepas penat bekerja.

 Tinjauan Utusan Malaysia di sepanjang Jalan Gudwara mendapati ada lebih 10 premis makanan, minuman, runcit, menjual peralatan telekomunikasi dan pertukaran mata wang asing diusahakan sendiri oleh warga Bangladesh.

 Seorang pengusaha kedai makan, Mohd. Shamin, 25, berkata, dia memilih untuk menjual makanan tradisi Bangladesh di situ kerana permintaan daripada rakan-rakan senegara selain lokasinya yang strategik. Menurutnya, suasana di situ dianggap bersesuaian memandangkan terletak di tengah-tengah pusat bandar serta terdapat banyak kawasan pembinaan yang kebanyakan pekerjanya ialah warganegara berkenaan. 

"Bagi saya Pulau Pinang adalah lokasi terbaik untuk kami mencari rezeki kerana ramai rakan-rakan senegara menetap di sekitar bandar ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Sementara itu, seorang peniaga kedai runcit, Mohd. Lartu Khan, 25 memberitahu, dia mula berniaga di situ dengan menjual barangan runcit dan sayur-sayuran tertentu yang diimport dari Bangladesh.

 Katanya, barangan keperluan sebegitu sememangnya mendapat tempat di kalangan warga Bangladesh tetapi sukar diperoleh kerana tiada peruncit lain yang menjualnya. "Saya ambil peluang membuka perniagaan berlesen di sini bagi memudahkan warga Bangladesh menikmati barangan dan kelengkapan dari negara asal" ujarnya.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.