NALURI setiap insan sememangnya mendambakan pasangan hidup untuk memenuhi keperluan zahir dan batin mereka.
Perkara sama yang diharapkan Rozi Ali, seorang wanita Melayu Thailand yang berasal dari sebuah perkampungan di daerah Satun. Dia yang membesar di Selatan Thailand mengambil keputusan berhijrah ke Shah Alam, Selangor. Keputusannya itu tidak sia-sia kerana tidak lama selepas itu dia bergelar seorang usahawan berjaya dalam bidang membekalkan peralatan aksesori rumah. Mungkin kerana dihambat urusan perniagaan, soal jodoh tidak menjadi keutamaan wanita berusia 48 tahun ini.
Namun, kesibukan itu tidak menghalang wanita yang selesa mengenakan pakaian jubah ini daripada mengikuti kuliah agama dan solat berjemaah di sebuah surau di Shah Alam. Situasi itu juga menemukan wanita bersuara lembut ini dengan seorang lelaki Nigeria bernama Suhaili yang bekerja sebagai pekerja kontrak berhampiran rumah Rozi. Suhaili berbadan sasa selain berusia 20 tahun lebih muda daripada Rozi.
Dia juga sering sembahyang berjemaah di surau yang sama. Lama-kelamaan perwatakan sopan santun lelaki benua Afrika ini membuatkan hati Rozi terpaut. Sepupu Rozi, yang merupakan ahli jawatankuasa surau terbabit turut berkawan baik dengan Suhaili. Selepas tiga bulan mengenali antara satu sama lain akhirnya mereka dijodohkan dalam satu majlis pernikahan ringkas di surau itu pada pertengahan tahun lepas. Majlis perkahwinan itu diaturkan oleh sepupunya bersama ahli kariah surau yang lain.
Rozi menyangka kehidupannya serba lengkap setelah mempunyai keluarga sendiri tetapi itu hanya permulaan noktah hitam dalam kehidupannya.
Belang sebenar
“Semuanya ternyata indah semasa awal perkahwinan. Dia seorang yang mengambil berat. “Dia gemar memasak selain mahir menyediakan masakan Melayu. Semua itu membuatkan saya bersyukur dapat berkahwin dengannya,” tutur Rozi yang enggan gambarnya dirakam demi keselamatan dirinya. Dua bulan selepas itu, Rozi disahkan mengandung.
“Saya dan Suhaili cukup gembira. Walaupun usia saya sudah lanjut ia tidak menghalang kami memperoleh anak sulung. “Dia tidak membenarkan saya membuat kerja-kerja berat di rumah bahkan sering memasakkan makanan kegemaran saya,” ujarnya.
Bagaimanapun, menurut Rozi, sebaik sahaja anak sulung mereka selamat dilahirkan suaminya menunjukkan bibit-bibit perubahan. Suhaili kerap keluar malam dan kadangkala tidak balik ke rumah selama berhari-hari dengan alasan berjumpa rakan-rakannya.
“Sebenarnya saya tidak kisah walaupun sepanjang mendirikan rumah tangga saya yang menanggung perbelanjaan rumah. Saya faham dia cuma pekerja kontrak, berapa sangatlah gajinya. “Malah, saya selalu memberinya wang selain membenarkan dia menggunakan kereta Perodua Myvi saya. Tetapi perbuatannya yang tidak pulang ke rumah mencurigakan saya,” kata Rozi.
Setelah lama bersabar dengan sikap suaminya akhirnya mereka bertengkar pada awal Mac lalu. Suhaili yang selama ini seorang pendiam dan tidak pernah melakukan kekerasan terhadap isterinya bertindak sebaliknya.
“Saya sering ditampar dan ditendang. Saya pernah membuat laporan polis tetapi salinan aduan itu disimpan Suhaili. Dia mengugut supaya saya tidak memberitahu peristiwa itu kepada sesiapa. “Katanya saya akan dipukul dengan lebih teruk lagi jika mendedahkan perihal rumah tangga kami kepada orang lain,” ujarnya. Selepas kejadian itu, Suhaili semakin jarang berada di rumah.
Pernah sehingga berminggu-minggu dia meninggalkan si isteri. Sekiranya pulang sekali pun dia cuma ingin meminta wang daripada Rozi. Kahwin lain Kebenaran akhirnya terserlah juga tidak lama kemudian. Rozi menerima panggilan telefon daripada seorang wanita bernama Fauziah yang mengatakan dia sudah berkahwin dengan Suhaili.
Lebih mengejutkan Rozi, Fauziah mendakwa berkahwin dengan suami Rozi itu di Thailand bagi menutup malu kerana dia sedang mengandung anak luar nikah Suhaili. Menurut Fauziah, Suhaili mengaku kepadanya yang dia telah beristeri tetapi memburuk-burukkan Rozi dengan menuduh wanita itu tidak menjaganya dengan baik. “Saya terkejut.
Tidak lama selepas itu Suhaili pulang ke rumah tetapi dia tidak menafikan dakwaan Fauziah itu. “Saya meminta cerai daripadanya tetapi dia enggan, kecuali saya memberikan kereta kepadanya dan wang sebanyak RM20,000 yang tentu sekali tidak akan saya berikan,” cerita Rozi.
Kerana tidak mahu terus makan hati, Rozi berpakat dengan beberapa ahli kariah surau untuk bersemuka dengan suaminya itu bagi menerangkan kesalahan yang dilakukannya. Akhirnya pada awal Mei lalu semasa suaminya pulang untuk meminta wang, sepupu dan beberapa orang ahli kariah surau datang ke rumah Rozi. “Setelah penjelasan diberikan, Suhaili bersetuju untuk menceraikan saya dengan talak satu selain memulangkan kembali kereta yang digunakannya.
“Saya memang sedih peristiwa ini berlaku ketika umur saya semakin lanjut. Sebelum ini banyak kes melibatkan warga Afrika menipu gadis Melayu tetapi kali ini lelaki seperti itu cuma alim-alim kucing atau berpura-pura baik,” kata Rozi.
#Kosmo