- Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penyaluran dana asing untuk aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) propembangkang membuktikan wujud campur tangan pihak luar untuk menukar kerajaan sedia ada kepada kerajaan yang boleh mengikut telunjuk mereka.
Menurut bekas Perdana Menteri, modus operandi yang digunakan adalah sama seperti di Libya, Mesir dan negara Arab lain yang mereka namakan sebagai Arab Spring, iaitu pihak asing memberi bantuan kewangan bagi membiayai aktiviti NGO mengapi-apikan rakyat supaya bangkit menentang kerajaan dan melakukan apa yang dikatakan sebagai regime change.
"Kerajaan interim Mesir telah pun menghentikan kegiatan sesetengah NGO ini yang datang dari Amerika. Mereka ini sebenarnya dibiayai oleh kerajaan (Amerika), mereka pergi ke Mesir dan cuba mempengaruhi orang Mesir dan siapa-siapa yang hendak menghadapi pilihan raya. Mesir telah menghalang mereka daripada masuk campur (dalam pilihan raya).
"Kita tak pernah campur tangan, tak pernah pergi kacau (pilihan raya negara mereka) dia punya pilihan raya, dia punyalah. Kita punya pilihan raya adalah hak rakyat kita, pasal apa dia nak cuba pengaruhi orang untuk menukar kerajaan, kerajaan yang mesra kepada mereka?
Inilah tujuannya. Ini yang diuar-uarkan sebagai regime change," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini kelmarin.
Dr. Mahathir diminta mengulas pendedahan akhbar kelmarin mengenai penyaluran dana asing kepada NGO dalam negara termasuk RM1.6 juta yang diterima Suara Rakyat Malaysia (Suaram) daripada National Endowment for Democracy (NED) dan RM845,835 daripada Open Society Institute (OSI), pertubuhan yang diasaskan oleh penyangak mata wang George Soros.
Menurut bekas Perdana Menteri seperti yang pernah ditulis oleh beliau di dalam blognya, apa yang dimahukan oleh pihak asing itu bukan setakat regime changeatau perubahan kerajaan yang memerintah tetapi perubahan yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Beliau yakin penyaluran dana asing termasuk untuk perhimpunan Bersih dan pelbagai lagi adalah sebahagian daripada operasi untuk menyokong Anwar.
"Jerman pun bagi duit, apa kena-mengena dengan Jerman? Adakah anda tidak bersetuju dengan kerajaan sekarang dan mahu menjatuhkannya? Kalau nak bagi duit, bagi dua-dua belah (pihak). Bagi kepada pihak penyokong kerajaan dan pihak pembangkang tak apa. Tapi apabila anda memberi dana hanya kepada satu pihak bermakna anda mengapi-apikan rakyat supaya menentang kerajaan.
"Ini salah! Ia adalah hak rakyat negara ini untuk memilih kerajaan yang mereka kehendaki bukannya orang luar menentukan kerajaan yang mereka mahukan," tegasnya.
Dalam keadaan ini, Dr. Mahathir berkata, apa yang diperjuangkan oleh NGO yang menerima dana asing ini bukan lagi mewakili suara rakyat Malaysia sebaliknya suara pihak luar.
"Ia bukannya inisiatif rakyat Malaysia tetapi inisiatif orang asing. Tak kan kita hendak dikuasai oleh orang asing? Dia bagi duit sana nak bagi jatuh kerajaan supaya orang dia dapat naik dan orang dia di sini secara terang lagi bersuluh, dia nak Anwar. Jadi siapa yang nak pilih Perdana Menteri Malaysia, orang Malaysiakah orang asing?," soalnya.
Baginya beliau boleh menerima sekiranya rakyat Malaysia sendiri yang membuat keputusan hendak memilih Anwar tetapi biarlah pilihan itu dibuat tanpa dipengaruhi oleh tangan-tangan asing.
"Jika anda (pihak asing) cuba mempengaruhi pilihan orang kita dengan bagi duit, itu rasuah!" tegasnya lagi.