Sidang media yang diketuai oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor , Tunku Ismail dan Fandi Ahmad turut disertai oleh Safee Sali, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan, Azmi Muslim, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha.
Pemain-pemain ini yang telah mengikat kontrak dengan Johor Darul Takzim dua minggu lepas, hanya diumumkan secara rasmi hari ini kerana terlibat dengan tugas bersama skuad kebangsaan Malaysia dalam Piala Suzuki AFF 2012.Tunku Ismail jelas berpuas hati dengan barisan pemain yang dimiliki termasuk penyerang Sepanyol, Daniel Guiza dan pemain dari Itali, Simone Del Nero.
"Kami gembira dengan pasukan yang kami ada sekarang ini. Apa yang saya dan Fandi lihat bukan lah siapa yang berada dalam pasukan tetapi objektif kami sebagai satu pasukan." jelas Tunku Ismail.
"Objektif kami adalah untuk meletakkan Johor di atas dan agar nama Johor dikenali di seluruh negara. Saya dan Fandi telah membincangkan perkara ini sejak 12 bulan yang lepas.
"Saya rasa kini Johor sangat bertuah untuk memiliki barisan pemain-pemain yang berkualiti seperti mereka. Tetapi mereka harus ingat ini bukan tempat untuk bercuti, duduk diam dan terima gaji setiap bulan.
"Kami semua mempunyai satu objektif untuk bekerja keras, tunjukkan sikap yang baik dalam dan di luar padang. Mereka harus menjadi contoh kepada pasukan lain. Kekuatan satu pasukan adalah kekuatan ketuanya. Pemain harus beraksi untuk nama di hadapan jersi mereka bukan di belakang." tegasnya lagi.
Jurulatih, Fandi Ahmad kini mempunyai pilihan yang banyak dan berkualiti untuk membentuk pasukannya. Namun beliau menegaskan, setiap pemain walaupun bintang atau tidak harus bersaing untuk mendapatkan tempat dalam pasukan.
"Ini adalah satu cabaran yang positif buat saya. Untuk memiliki pasukan seperti ini adalah impian setiap jurulatih, bukan hanya saya.
"Bagi saya setiap pemain harus mengikut arahan dan yang paling penting haruslah berdisiplin, mempunyai semangat berpasukan.
"Tidak semestinya mereka semua ini akan berada dalam kesebelasan utama. Semua pemain dalam pasukan ini berhak untuk merebut tempat. Mereka ini adalah profesional jadi mereka tahu apa yang harus dilakukan." kata Fandi.
Menurut Fandi lagi, pemain-pemain ini akan diberi cuti selama seminggu sebelum mula berlatih dengan Johor Darul Takzim selepas dua bulan berada dalam kem Harimau Malaya.