Analisis #PAU2012 dengan Muktamar PAS ..

on Wednesday, December 5, 2012 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




 Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, rakyat tidak perlu takut untuk berubah. Beri Pakatan Rakyat peluang untuk mentadbir dan peralihan kerajaan akan berjalan dengan harmoni.

Dua minggu selepas tawaran itu, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata, perubahan masih boleh dialami tanpa mengubah kerajaan. Beliau mahu kerajaan Barisan Nasional (BN) dikekalkan.

Pada Khamis lalu, Najib selaku Presiden Umno berkata, pihaknya akan kembali bersidang di Dewan Merdeka dengan kekal berkuasa dan membentuk kerajaan.

Bulan lalu, negara menyaksikan dua parti terbesar di negara ini mengadakan perhimpunan tahunan masing-masing.

Pas, sebuah parti berteraskan Islam mengadakan Muktamar Tahunan kali ke-58 di Dewan Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa. Pas, salah satu parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang turut dianggotai oleh PKR dan DAP- merupakan parti tertua di antara ketiga-tiga parti di dalamnya.
Sementara, Umno pula mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan 2012 minggu lalu. Parti politik terbesar di Malaysia itu merupakan parti teras dalam BN yang telah memerintah negara ini sejak merdeka lagi.

Jika diimbau sejarah, kedua-dua parti politik hakikatnya saling kenal-mengenali waima pernah duduk sebumbung sekitar 70-an.

Namun hari ini - 2012 yang bakal melabuh tirainya bersama dengan teka-teki  tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bakal diadakan- menjadi saksi Umno dan Pas bukan lagi 'teman sebumbung' tapi seteru politik paling agung.
Apa tidaknya, pantang sahaja ada ruang, pasti masing-masing lantang dan sinis menyindir kedua-duanya.

Pas dengan cara Pas, Umno dengan cara Umnonya.

Bak kata orang, dua kali lima, lima kali dua, sama sahaja.

Senario ini jelas dapat dilihat dalam pertemuan tahunan Pas dan AGM Umno kali ini.
Hadi umpamanya dalam ucapan dasarnya, yang bertemakan  "Negara Berkebajikan Teras Perpaduan", menggambarkan Umno sebagai sebuah parti yang gagal memartabatkan Islam.

Malah Umno dikatakan parti yang memberikan contoh tauladan yang tidak baik kerana mengamalkan rasuah dalam pentadbirannya.

".... terkini rasuah politik RM40 juta di Sabah, salah guna kuasa, ketidakadilan dalam masyarakat dan sebagainya. Umno juga gagal memperkasakan orang Melayu dengan Islam, selain dari gagal menunjukkan contoh Islam yang sebenar kepada rakyat, dengan membiarkan orang Islam dalam negara ini dicabar dan diperkotak-katikkan dengan hujah yang biadap oleh pimpinan MCA yang menjadi sekutu rapat Umno dalam Barisan Nasional," kata Hadi.
Bahkan ujar Hadi, Umno mempergunakan golongan ulama dengan menjadikan mereka "terompah yang dipakai ke sana sini" untuk menghalalkan sesuatu demi kelangsungan politik mereka.


Perbandingan Hadi Awang

Hadi bahkan turut membandingkan ahli-ahli Umno-BN dengan Pas dengan mengandaikan bahawa ahli parti pemerintah itu lebih gemar berebut pangkat dan harta negara berbanding ahli Pas yang menjadikan khazanah di muka bumi Tuhan ini sebagai amanah untuk mendaulatkan syariat Islam.

Namun bukan hanya Hadi. Para perwakilan yang berhujah turut menghentam Umno di sebalik hanya beberapa masalah dalaman parti yang dibangkitkan mereka.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dalam perhimpunan itu lantang mendakwa, negara akan hancur sekiranya membenarkan Umno-Barisan Nasional terus berkuasa selepas PRU13.
"Mengurus tadbir khazanah kekayaan negara ini, yang andai kata kita tidak sama-sama mengambil kuasa itu, akan hancurlah negara ini kerana tadbir urus yang cukup curang, culas, khianat kepada ALLAH dan rakyat yang mengangkat mereka sebagai penguasa," katanya pada Mutamar Tahunan Pas kali ke-58.

Terdahulu, Idris Ahmad mendakwa Umno-BN telah merompak banyak hasil mahsul di bumi bertuah ini, namun berlagak seperti hero yang menyelamatkan Malaysia.

"Benarlah sepertimana ada pantun, ikan puyu ikan sembilang, dalam belanga goreng udang, rizab Melayu banyak hilang, rakyat ternganga Umno kenyang," katanya.



Kontroversi

Penganalisis berpendapat Muktamar Tahunan Pas kali-58 menzahirkan pakatan pembangkang itu masih bercelaru dan tidak sepakat waima dalam hal paling penting iaitu siapa Perdana Menteri jika perikatan itu menang dalam PRU13 ini.
Wakil Dewan Ulama ketika membahaskan ucapan dasar presiden berkata, beliau yakin bahawa tidak ada individu lebih layak  untuk menjawat jawatan Perdana Menteri selain Hadi.
Meskipun kenyataannya itu menyimpang jauh daripada beberapa pendirian dalam pakatan pembangkang bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menjawat jawatan itu, Hairun Nizam Mat Hussain menegaskan, beliau yakin sebilangan ahli Pas mahukan Hadi menerajui negara.

"Saya kira kalau rata-rata ahli Pas mahukan presiden (Hadi) sendiri jadi Perdana Menteri, tetapi tuan guru dia mempunyai sikap yang baik iaitu dalam masalah memimpin masyarakat itu yang terbaik adalah pelaksanaan amanah, siapa yang hendak menjadi yang paling tinggi, ia terserah kepada rakyat," katanya.

Dilihat tidak menolak mahupun menerima saranan itu, Hadi kemudiannya dalam ucapan penangguhan muktamar tahunan Pas berkata, "minta-minta Tuhan menangkan Islam, lepas itu nak mati-mati lah", mengundang suasana bingit dalam dewan persidangan Putik.



Pada malam selepas ucapan dasar Hadi, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada Himpunan Kebangkitan Rakyat, malam sebelum Hairun Nizam membangkitkan hal jawatan PM di dalam dewan Putik, mengumumkan bahawa Anwar akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya perikatan itu berjaya menawan Putrajaya.
"Anwar bakal Perdana Menteri Malaysia ketujuh bukan keenam," katanya secara terbuka.
Kontroversi siapa Perdana Menteri  jika pembangkang menang bukan isu kecil.

Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya, Profesor Dr. Mohammad Redzuan Othman menyifatkan perkembangan mutakhir itu membuktikan hasil penemuannya sebelum ini bersabit pertikaian di kalangan pengundi untuk memilih pembangkang.

Apa yang pasti, imej Pas teruk tercalar ketika Muktamar Pas kali-58 itu sedang berlangsung apabila adik kepada Mursyidul Am Pas, Nik Razi Nik Mat mengetuai bacaan doa 'KO BN'. Doa dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat itu mencetuskan pelbagai reaksi sama ada di kalangan rakyat mahu pun pimpinan kerajaan.

Murysidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri menyifatkan mendoakan kehancuran Umno-BN adalah wajar. Satu lagi kontroversi membabitkan Menteri Besar Kelantan ini muncul iaitu didakwa melabel 'Umno murtad'.

Nik Aziz menafikan beliau melabel Umno murtad. Beliau sedang mengkaji mengambil tindakan undang-undang ke atas sebuah akhbar arus perdana.

Berbanding Pas, Umno dilihat lebih berhati-hati mengatur perjalanan AGM 2012.

Sama ada tidak mahu memberikan bola tanggung terhadap pembangkang atau pun sememangnya ahli Umno sendiri sudah cukup matang dan punya kesedaran yang cukup tinggi menjelang pilihan raya paling sengit ini, masih belum dapat dipastikan.

Tetapi, pimpinan-pimpinan tertinggi parti termasuk perwakilan dilihat cukup fokus dalam usaha mempertahankan Putrajaya daripada dirampas musuh politik mereka.




Umno Pun Serang Komponen Pakatan

Ucapan dasar dan penggulungan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dilihat benar-benar mencengkam sanubari seluruh perwakilan yang hadir dalam perhimpunan terbesar parti itu.   
Mustahak sekali, kehadiran dan kepulangan mereka tidak sia-sia.
Najib yang juga Perdana Menteri Malaysia membekalkan mereka dengan kata-kata semangat dan penuh pengharapan bahawa Umno-BN akan menang dengan majoriti dua pertiga dalam ibu segala pilihan raya ini.

Umpama menggalas satu amanah besar, impian presiden harus dikotakan.

Dalam ucapan dasarnya, selain menyenaraikan sumbangan Umno-BN selama lebih lima dekad, Najib juga mengecam PR dengan berkata, "... kerana itu, menyisir waktu, Umno bukanlah parti yang mengamalkan taqiyah atau tipu muslihat dalam kerjasamanya dengan parti komponen BN. Tidak seperti gabungan DAP, PKR dan Pas, yang tiada bertunjangkan ketulusan."
Najib juga menggelarkan Anwar sebagai si Kitul Moden dan menghina intelek rakyat Malaysia apabila tanpa segan silu mengadu kepada negara luar untuk menjadi pemerhati pilihan raya di negara ini.

Bahkan Anwar juga digelar sesumpah politik ekoran tindakannya mengguna pakai dasar maya Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
Najib turut menggunakan pentas perhimpunan agung ini untuk membidas kepincangan dan kelemahan kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang. Begitu juga pemimpin-pemimpin kanan dan perwakilan yang menjadi jurucakap sesi perbahasan.

"Contohnya di Pulau Pinang yang diterjui DAP, parti Pas tidak menyertai kerajaan, di Kedah yang diterajui Pas, parti DAP tidak menyertai pentadbiran. Kita maklum, puncanya, kerana mereka saling tidak mempercayai satu sama lain," kata Najib.

Sementara itu, dalam ucapan dasarnya, Najib menggambarkan bahawa Umno kian pulih.
Bahkan katanya, Umno telah berubah sesuai dengan peredaran masa dan zaman.


Najib Minta Maaf

Sambil menyifatkan pilihan raya umum kali ini bukan "pilihan raya biasa", Najib kemudiannya mengemukakan permohonan maaf atas kesilapan lalu yang dilakukan oleh parti itu.

"....bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah.

"Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan," ujar Najib.

Sementara dalam ucapan penggulungannya, Najib mengingatkan ahli Umno supaya membuang sikap pentingkan periuk nasi sendiri  jika mahu tampuk pemerintahan kekal milik Umno-BN.

Nasihat Najib agar ahli Umno perlu meminggirkan kepentingan peribadi dan menjadikan parti sebagai keutamaan tidak harus dipandang enteng.
Sementelah, amanatnya juga cukup jelas iaitu Umno perlu terus menjadi pilihan rakyat.

Lantaran itu, Najib memberi peringatan bahayanya perbuatan sabotaj atau sikap tidak mahu bekerja kuat jika tidak dipilih menjadi calon hingga menyumbang kepada prestasi buruk BN pada pilihan raya umum 2008.

"Saya percaya bahawa musuh tidak kuat, saya percaya bahawa orang ramai akan memihak kepada Umno dan Barisan Nasional, yang saya khuatir, sikit... apa itu?

"... yang saya khuatir, soal kita, kita sesama kita (dalam parti)," kata Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional itu.

Kerana kebimbangannya akan sejarah pahit pada 2008 berulang, Najib sekali lagi menekankan perbuatan yang memungkinkan parti itu hancur menerusi satu soalan cepumas.

Beliau bimbang kemungkinan perbuatan sabotaj yang boleh menjejaskan peluang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Menyingkap beberapa hari persidangan Umno, para perwakilan yang berhujah dilihat lebih matang dan memahami konsep bahawa ini adalah perhimpunan terakhir sebelum bertarung mempertahankan takhta.

Ya, benar! Jika hendak dibandingkan dengan Pas, perwakilan Umno dilihat lebih fokus untuk menghadapi PRU13.

Sedikit tindakan menyerang pihak lawan, selebihnya adalah usaha bagaimana mempertahankan Umno-Barisan Nasional di Putrajaya.



Jika dibandingkan Najib dengan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat lebih lantang membidas pembangkang berbanding orang nombor satu negara itu. Cuma ketika menyampaikan ucapan penggulungan, Muhyiddin menggariskan tujuh rukun untuk menang dalam PRU13 ini.

"Ketaatan dan kesetiaan adalah satu perkara yang wajar malahan wajib untuk kita ikuti dan kita laksanakan.

"Kita harus menerima segala bentuk keputusan yang akan dibuat oleh pemimpin parti kita mengenai hal-hal yang berkaitan dengan pilihan raya sama ada ia berkaitan dengan tugas, tanggungjawab yang harus kita lakukan atau pun ia berkaitan soal calon juga kawasan-kawasan pilihan raya yang ditetapkan untuk setiap komponen parti," ujar Muhyiddin.




Sementera Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam ucapan dasarnya menyenaraikan 10 perkara perlu dilakukan oleh kerajaan untuk memikat golongan agar terus menyokong kerajaan BN. Antaranya beliau menyarankan kerajaan menangani masalah bankrap di kalangan generasi muda dalam usaha parti itu mendekati kelompok tersebut.
Cadangan Pemuda Umno itu dipersetujui oleh Presiden Umno yang kemudiannya mengumumkan hasrat kerajaan untuk membuat peraturan baru berkaitan undang-undang kebankrapan yang terlalu ketat itu.
Dan beza paling ketara antara keduanya, Pas mendoakan kehancuran Umno-BN manakala Umno dalam doanya yang dipimpin sendiri oleh Najib memohon kesejahteraan umat dan memberi kekuatan kepada Umno untuk terus mendaulatkan Islam di negara ini sekali gus memenangkan parti itu dalam PRU13.

Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan juga menyentuh aspek perangkaan terkini daftar pemilih menunjukkan sejumlah 2.9 juta rakyat Malaysia telah mendaftarkan diri sebagai pengundi dalam tempoh Jun 2008 sehingga Jun 2012 -  rekod pendaftaran pengundi baru yang tertinggi dalam sejarah pengendalian pilihanraya di Malaysia.
"Ini bermakna, hampir 22 peratus atau satu per lima daripada jumlah keseluruhan pengundi dalam PRU13 kelak adalah pengundi kali pertama, dan ini memerlukan strategi dan pendekatan kempen yang terbaik untuk meraih sokongan golongan ini yang boleh menentukan kemenangan Pas dan PR dalam PRU13 ini.

"Pemuda Pas perlu memposisikan diri di khalayak anak muda dan perlu tampil dilihat mewakili generasi muda yang memahami kehendak dan suara hati anak muda dan mampu turut bersama mendokong aspirasi dan memperjuangkan idealisma mereka selama mana tidak bertentangan dengan Islam sebagai dasar perjuangan kita," katanya.
Di akhir ucapan penggulungan, Nasrudin mengisytiharkan hartanya. Kata Narudin, kesemua calon barisan Pemuda Pas akan mendedahkan harta milik mereka apabila diumumkan sebagai calon kelak.
Berbanding tahun lalu, pemimpin-pemimpin kanan termasuk Najib dan Muhyiddin memulakan ucapan penggulungan dengan berkata, "tolak fitnah."


Rating Penganalisis Politik:

Berikut kedudukan yang diberikan penganalisis, dari kedudukan 1 hingga 10, sama ada perhimpunan terbesar kedua-dua parti itu mencapai sasaran atau sebaliknya menjelang PRU13.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff: Umno 5 - Pas: 5.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Dr. Azizuddin mohd Sani: Umno 9 - Pas :9

Pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia, Prof Datuk Mohamed Mustafa Ishak: Umno: 9.5 - Pas 5

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Shamsul Adabi Mamat: Umno melebihi 7 - Pas 6


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.