Sila buktikan kami salah! Itu cabaran kumpulan penyokong Harimau Malaya kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim yang mendakwa tindakan mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletak jawatan bukan jalan penyelesaian terbaik mengangkat martabat bola sepak negara.
Tidak mahu disalah anggap mencari kesilapan orang lain, jurucakapnya, Al Fadli Awaludin, berkata tujuan mereka menggesa pengurusan tertinggi FAM dirombak dan presiden meletak jawatan kerana mahu melihat bola sepak Malaysia maju dan berdaya saing seperti Jepun dan Korea Selatan.
Objektif kami hanya untuk melihat prestasi skuad kebangsaan meningkat dan bukan mahu menuding jari atau memburukkan mana-mana individu. Kami tidak ada kepentingan malah bukan mahu menentukan siapa yang bakal menjawat jawatan presiden.
Anggap apa yang kami buat ini adalah satu cabaran buat FAM. Kalau orang FAM sekarang mahu terus kekal, sila buat sesuatu dan buktikan yang kami salah. Kami tidak dapat apa-apa cuma mahu tengok peningkatan pasukan bola Malaysia.
Kami tidak malu jika apa yang kami buat ini salah kalau bola sepak tempatan kita maju, katanya semalam.
Beliau mengulas laporan BH Sukan semalam mengenai tindakan mendesak Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah meletak jawatan dan merombak pengurusan tertinggi badan induk bola sepak negara itu bukan penyelesaian terbaik.
Razali beranggapan bola sepak adalah antara sukan paling sukar diuruskan kerana ia membabitkan pelbagai aspek termasuk memerlukan dana yang banyak. Jatuh bangun prestasi pasukan bola sepak negara juga katanya terletak kepada sejauh mana usaha pembangunan yang dijalankan.
Al Fadli berkata, sesebuah persatuan tidak boleh terlalu bergantung kepada seseorang individu untuk mendapatkan tajaan atau dana sebaliknya perlu melihat kepada industri sukan itu sendiri.
Kita lihat England sekali pun, negara itu tidak bergantung kepada Ratu Elizabert tetapi mendapatkan dana melalui tajaan dan keuntungan daripada industri bola sepak itu sendiri, katanya.
Beliau berkata, kalau seseorang lihat sesuatu benda itu susah, sudah semestinya ia akan menjadi susah kerana semua itu bergantung kepada diri sendiri. Contoh, kalau kita lihat pembinaan KLCC (Kuala Lumpur City Center) itu susah, maka saya rasa sampai sekarang pun KLCC tidak akan wujud di Malaysia.
"Kalau kita sudah tahu Korea Selatan memiliki lebih 500 pasukan pelapis, saya rasa tidak salah jika kita tiru sistem yang mereka guna pakai," katanya ketika mengulas mengenai kebergantungan skuad kebangsaan terhadap Harimau Muda A dan B.
** Razali kalau nak defend FAM pun ..jangan bagi jawapan yang buat orang ketawa. Sukan bola sepak boleh diuruskan dengan baik jika pengurusan /kepimpinan FAM itu betul-betul komited mahu angkat martabatkan bola sepak negara . Hendak seribu daya tak nak seribu dalih ......