Ong Kim Swee sedia bergelar Jurulatih Harimau Malaya

on Tuesday, December 18, 2012 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



Pengendali skuad Harimau Muda A, Ong Kim Swee bersedia memikul tanggungjawab mengendali skuad kebangsaan menggantikan Datuk K Rajagobal andai mendapat kepercayaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

 Bagaimanapun, Kim Swee tidak mahu membuang masa memikirkan perkara itu kerana fokus utama sekarang ialah mempertahankan pingat emas Sukan SEA, tahun depan. “Terpulang kepada FAM,” kata Kim Swee.

“FAM berhak tentukan hala tuju skuad kebangsaan dan sebagai jurulatih di bawah badan induk itu, saya hanya menurut arahan diberi,” katanya semalam.

 Nama Kim Swee antara yang disebut-sebut layak mengisi jawatan ketua jurulatih kebangsaan jika FAM tidak menyambung kontrak Rajagobal yang akan tamat hujung tahun depan. Namun, sudah timbul desakan menuntut Rajagobal mengundur diri lebih awal selepas gagal mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF tahun ini walaupun sasaran sebenar buat pengendali itu ialah Kelayakan Piala Asia 2015.

 “Fokus utama saya ialah mengekalkan emas Sukan SEA, itu adalah KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya,” kata Kim Swee. “Mempertahankan kejuaraan memang sukar, dan mempertahankan kejuaraan buat kali kedua jauh lebih sukar.

 “Saya dan barisan jurulatih Harimau Muda A sudah mula merancang strategi sejak mempertahankan emas di Jakarta tahun lalu, dan baki kurang setahun ini cukup penting bagi memastikan skuad muda kebangsaan tampil lebih mantap berbanding edisi sebelumnya.”

 Bagi Kim Swee, reputasi sebagai jaguh Asia Tenggara selepas menjadi satu-satunya pasukan dari rantau ini mara ke pusingan terakhir kelayakan Olimpik lalu, perlu dikekalkan dengan melipat gandakan usaha dan persediaan pasukan.

 “Kita tidak boleh hanya memikirkan kejayaan kita, pasukan lain juga berusaha mempertingkatkan prestasi mereka dan sebagai juara, kita perlu memastikan usaha yang kita letakkan setingkat lebih tinggi,” katanya. Kaji prestasi lawan “Sebab itu saya tidak melepaskan peluang apabila menyertai kejohanan-kejohanan kecil di rantau ini.

 Selain mendedahkan pemain baru kepada kejohanan antarabangsa, saya juga mahu menilai prestasi bakal pencabar kita. “Tempoh tiga bulan terakhir adalah paling penting di mana saya tidak boleh lagi menguji pemain. Ketika itu sepatutnya kita sudah mempunyai pasukan mantap untuk temasya berkenaan.”


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.