Johor membuktikan kesungguhan untuk membentuk skuad yang digeruni bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan apabila mengikat pemain Sepanyol, Daniel Gonzales Guiza.
Guiza merupakan penjaring terbanyak La Liga musim 2007/2008 iaitu ketika mewakili Mallorca dan disahkan bakal menjadi milik skuad Johor. Pemain itu dijangka tiba di sini esok bersama ejennya untuk menandatangani kontrak Jumaat ini.
Kehadiran pemain yang lebih dikenali dengan nama Daniel Guiza dan berusia 32 tahun itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semalam. Selain Guiza, Aidil Zafuan Abdul Razak, Zaquan Adha Abdul Razak, Azmi Muslim dan Mohd. Muslim Ahmad sah menjadi milik Johor, manakala Safiq Rahim dan Mohd. Nurul Azwan Roya sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pasukan itu. Johor juga sedang menunggu keputusan daripada penyerang sensasi negara, Norshahrul Idlan Talaha.
Tunku Ismail berkata, Guiza yang merupakan pemain penyerang kini beraksi untuk Getafe dalam saingan La Liga, sudah hampir 95 peratus menjadi milik Johor dan pasukan mengalu-alukan kedatangan pemain itu.
"Nilai pemain itu di pasaran Eropah adalah 1.6 juta euro. Berapa jumlah yang PBNJ bayar untuk mendapat khidmatnya, saya tidak akan dedahkan.
Yang penting dia bakal memberi impak kepada skuad Johor dalam saingan musim depan. "Dia (Guiza) yang membantu Sepanyol muncul juara Piala Eropah 2008 sudah menyatakan persetujuan beraksi bersama Johor dan kami gembira dapat mengikat pemain bertaraf dunia," katanya pada sidang media di Istana Bukit Pelangi di sini semalam.
Selain Mallorca dan Getafe, Guiza juga pernah beraksi dengan kelab Turki, Fenerbahçe dan turut membuat penampilan dalam saingan Liga Juara-juara Eropah bersama kelab tersebut. Tunku Ismail juga memberitahu, bekas pemain kebangsaan Singapura, Fandi Ahmad bakal menjadi Ketua Jurulatih dan Pengurus Pasukan dan akan dibantu oleh Ismail Ibrahim manakala Johor FA pula akan dibimbing Azmi Mohamad.
"Kita sedang mencari seorang lagi pemain import bagi menguatkan posisi tengah pasukan. Untuk itu, kita akan umumkan siapa pemain itu tidak lama lagi," katanya yang mahu mengembalikan kegemilangan Johor dalam arena bola sepak negara.