Dap buta sejarah mahu isytihar Malaysia negara sekular

on Monday, October 22, 2012 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah diputuskan atau diisytiharkan sebagai sebuah negara sekular.

Beliau berkata mengikut sejarah negara, Malaysia ditubuhkan berasaskan kerajaan Islam Kesultanan Melayu dan Raja-raja Melayu merupakan ketua agama Islam bagi negeri masing-masing.

Katanya, Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan dan kedudukan ini diperkukuhkan dengan adanya peruntukan-peruntukan lain yang menjaminnya.

"Saya tidak dapat sahkan kesahihah berkenaan kenyataan yang dibuat oleh ketiga-tiga Perdana Menteri yang lepas. Kalau saya menjawab pun, menjawab atas tanggapan sahaja bukan sesuatu fakta.

"Memang jelas bahawa Malaysia tidak pernah diputuskan atau diisytiharkan sebagai sebuah negara sekular. Ini kenyataan saya menjawab di Parlimen, bukan satu penipuan dan ini adalah berdasarkan fakta-fakta yang telah saya bentangkan," katanya ketika menjawab soalan tambahan John Fernandez (DAP-Seremban) di Dewan Rakyat hari ini.

John meminta supaya Nazri menjelaskan mengenai kenyataan yang dibuat oleh tiga mantan Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn yang menyebut Malaysia sebagai sebuah negara sekular dan mengamalkan sistem perundangan berdasarkan 'English Common Law'.

Menurut Mohamed Nazri, negara-negara sekular lain seperti India, Amerika Syarikat dan Turki jelas memperuntukkan bahawa negara itu adalah negara sekular di dalam Perlembagaan di mana sebuah negara sekular tidak mengenal pasti sesuatu agama sebagai agama rasmi tetapi rakyatnya dibenarkan untuk mengamalkan agama masing-masing.

Sementara itu, Mohamed Nazri ketika menjawab soalan asal John, berkata kedudukan Islam yang istimewa berbanding dengan agama-agama lain turut diiktiraf dalam kes-kes yang diputuskan di mahkamah tertinggi negara.

Katanya, dalam kes Lina Joy lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan lain, Ketua Hakim Negara ketika itu Tun Ahmad Fairuz telah merujuk kepada kes Che Omar Che Soh lawan Pendakwa Raya, yang mengiktiraf bahawa Islam bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi adalah suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman.

Mohamed Nazri berkata kerajaan menyedari bahawa dalam kes Che Omar bin Che Soh, Mahkamah Agung tidak pernah memutuskan atau mengisytiharkan negara ini ialah sebuah negara sekular tetapi apa yang diputuskan ialah undang-undang sekular terus terpakai di Malaysia berdasarkan Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan.

"Sungguhpun begitu didapati bahawa di bawah Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan, perkataan yang digunakan untuk merujuk kepada undang-undang yang digubal sebelum Hari Merdeka ialah "undang-undang yang sedia ada" dan bukannya undang-undang sekular".

"Berdasarkan kes Che Omar bin Che Soh, peruntukan undang-undang serta penjelasan adalah jelas bahawa Malaysia tidak pernah diputuskan atau diisytiharkan sebagai sebuah negara sekular," katanya. - Bernama


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.