35 ribu pelabur nak cepat kaya jadi mangsa penipuan Genneva Malaysia !!

on Wednesday, October 31, 2012 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



Seramai 35,000 pelabur dengan jumlah pelaburan mencecah RM10 bilion, dikesan terlibat dalam syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

 Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata menurut maklumat yang diterima, jumlah pelaburan yang diterima ketika ini sebanyak RM4 bilion, dan boleh mencecah RM10 bilion. Beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan masa untuk menyiasat perkara ini berdasarkan dua pertimbangan yang difikirkan perlu bagi menyelesaikan masalah skim tersebut.

 "Pertama, syarikat ini berselindung dalam perniagaan emas di mana emas ini ada tarikan sentimental. Ramai berminat tidak kira latar belakang termasuk pemimpin. (Bagi mereka) Terdapat perasaan bahawa ini satu perniagaan betul.

 "(Kedua) BNM terpaksa mengimbangi keadaan dan tidak boleh terus masuk pada satu masa. Contoh, kalau hari ini masuk dan siasat, BNM pun kena marah kerana disebabkan BNM masuk, pelabur hilang pulangan.

 "Jadi BNM kena imbangi, tidak boleh terlalu cepat. Keseimbangan ini penting dan mustahak. Saya rasa kita semua akan belajar dari pengalaman ini semoga pengendalian kes lebih baik pada masa akan datang," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (BEBAS-Pasir Mas).

 Awang Adek sebelum ini memberitahu Parlimen, liabiliti syarikat pelaburan jongkong emas berkenaan melebihi aset syarikat dan keadaan itu menunjukkan Genneva Malaysia tidak mampu membayar pulangan kepada pelabur.

 Baru-baru ini pihak berkuasa menyerbu Genneva Malaysia Sdn Bhd dan syarikat sekutunya kerana disyaki melanggar Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA). Menjawab soalan asal oleh Datuk Wira Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai tindakan kementerian dalam membendung skim cepat kaya yang menjalankan pengambilan deposit dan pelaburan haram, Awang Adek berkata BNM sedang mengkaji untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang menjalankan skim seperti itu.

 Selain itu katanya kementerian dengan kerjasama agensi kerajaan lain, termasuk bahagian penguatkuasaan, mengadakan pemantauan dan risikan serta maklumat menerusi aduan orang ramai.- Bernama


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.