Lawatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak ke tanah-tanah rancangan Felda di Hulu Selangor hari ini menimbulkan semula nostalgia manis kepada masyarakat peneroka di sana.
Apa tidaknya, kali terakhir seorang Perdana Menteri menjejakkan kaki ke Felda Sungai Dusun adalah pada 1975. Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak membawa bersama Presiden Indonesia, Soeharto. Felda Sungai Dusun ditukar nama kepada Felda Soeharto sempena lawatan Presiden negara jiran itu.
Apa tidaknya, kali terakhir seorang Perdana Menteri menjejakkan kaki ke Felda Sungai Dusun adalah pada 1975. Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak membawa bersama Presiden Indonesia, Soeharto. Felda Sungai Dusun ditukar nama kepada Felda Soeharto sempena lawatan Presiden negara jiran itu.
Selepas 35 tahun, Dato’ Seri Najib mengikut jejak ayahnya berkunjung ke Felda Soeharto, ketika genap setahun beliau menduduki jawatan Perdana Menteri. Keceriaan masyarakat peneroka Felda Soeharto tidak boleh digambarkan. Mereka bertambah ceria melihatkan pembawaan anak kepada bapa Felda ini saling tak tumpah seperti arwah ayahnya yang begitu mesra dan tidak terlalu mementingkan protokol.
Dato’ Seri Najib tiba di Felda Sungai Tengi Selatan tepat jam 9.15, iaitu 15 minit lebih awal dari jadual lawatannya. Di situ beliau merasmikan projek Gedung Makanan Negara di mana Felda menerima amanah untuk menjayakan program tersebut. Di situ juga beliau sempat berkunjung ke sebuah rumah peneroka yang sedang melangsungkan kenduri kahwin.
Di Felda Sungai Tengi pula, Dato’ Seri Najib melancarkan Yayasan Kelana Ehsan dan menyampaikan sumbangan kepada 700 pelajar cemerlang dalam Parlimen Hulu Selangor. Dewan Orang Ramai Felda Sungai Tengi penuh sesak dengan kehadiran rakyat berbilang kaum, khususnya dari kalangan masyarakat peneroka Felda.
Kemudian beliau melawat pula Felda Soeharto – melakukan pecah tanah bagi projek perumahan generasi Felda yang menyediakan 298 unit rumah kos rendah, menghadiri majlis perkahwinan dua pasangan adik beradik dan sempat pula ‘menginap’ sebentar ke rumah penerokawati Puan Nafsiah bte Rosli untuk merasakan dinginnya mandi air kolah.
Di Felda Gedangsa pula, Perdana Menteri menunaikan solat Zohor berjemaah, menyampaikan surat pemilikan tanah tambahan seluas dua ekar kepada setiap peneroka dan menziarah jenazah Naib Ketua Pemuda Umno Cawangan yang meninggal dunia pagi itu.
Foto-foto di bawah menceritakan segalanya.