KUALA LUMPUR 31 Mac - Model Ekonomi Baru (MEB) tidak mengenepikan tanggungjawabnya untuk meningkatkan dan memulihkan kapasiti usahawan bumiputera meskipun pelaksanaannya tidak menawarkan keistimewaan kepada mana-mana kaum seperti diamalkan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Tan Sri Amirsham A Aziz berkata:''Tidak wujud kuota dalam MEB tetapi apa yang kita mahu lihat adalah kapasiti perniagaan bumiputera disokong supaya mereka boleh menjalankan perniagaan dengan lebih baik.
"Sokongan ini akan diberikan dalam bentuk penyediaan laluan teknologi dan pembiayaan kerana ini adalah bidang yang perlu terus ditingkatkan dan usahawan hanya meneruskan perniagaan tanpa perlu bimbang mengenai kekurangan yang ada,'' kata Amirsham.
Beliau menambah, kerajaan juga tidak akan campur tangan dengan keputusan perniagaan usahawan, sebaliknya hanya membantu menyediakan kemudahan untuk memudahkan mereka membuat keputusan perniagaan terbaik.
Amirsham berkata, Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) akan memastikan pendekatan terbaik disediakan bagi menyokong bidang yang mempunyai potensi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
Beliau berkata pada taklimat media bagi memberi penjelasan lebih lanjut mengenai MEB pada Persidangan Invest Malaysia 2010, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Sekretariat NEAC, Profesor Norma Mansor, dan Pengerusi Dewan Perdagangan Amerika-Malaysia (Amcham), Datuk Nicholas Zefferys.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai keputusan MPEN tidak mengemukakan cadangan mengenai pelaksanaan gaji minimum, Amirsham berkata, tidak semestinya majlis itu akan mengemukakan cadangan yang selari dengan cadangan kerajaan.
"Kerajaan perlu memikirkan secara bijak sama ada mahu mengenakan dasar gaji minimum, kerana jika difikirkan dengan teliti, sudah pasti cadangan itu tidak akan dilaksanakan kerana pendekatan ini boleh membunuh industri.
"Pendekatan kami adalah kadar gaji perlu berasaskan kepada produktiviti," katanya.
Ditanya mengenai langkah MPEN yang seterusnya dalam menggerakkan MEB, Amirsham berkata, Pasukan Bertindak Aktiviti Utama Ekonomi Nasional (NKEA) akan ditubuhkan dan akan bekerjasama dengan Unit Prestasi Pengurusan dan Penyampaian (Pemandu) untuk kenal pasti bidang pertumbuhan tinggi.
"Kami akan memastikan sesi rundingan yang menyeluruh sebelum membangunkan rangka kerja atau pelan hala tuju yang terperinci," tambah beliau.