MEB miliki roh Dasar Ekonomi Baru

on Monday, April 12, 2010 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments


KUALA LUMPUR 11 April - Kebimbangan dan rasa cemas kaum Melayu dan bumiputera terhadap Model Ekonomi Baru (MEB) sebenarnya tidak berasas kerana ia masih memiliki 'roh' Dasar Ekonomi Baru.

Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin (gambar) berkata, MEB masih lagi meneruskan agenda pembasmian kemiskinan dan penstrukturan semula masyarakat di Malaysia, cuma cara pelaksanaannya sahaja yang baharu.

Katanya, Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MPEN) sedar kaum Melayu dan bumiputera cemas dan skeptikal tentang MEB kerana model ekonomi itu tidak menyatakan kuota 30 peratus dalam pemilikan ekonomi, sebaliknya memperkenalkan meritokrasi dan ketelusan.

Jelas beliau, kebimbangan itu lahir kerana kaum Melayu berasa masih tidak selamat dalam ekonomi kerana sasaran ekuiti 30 peratus masih belum tercapai walaupun sudah 40 tahun.

Dr. Mahani berkata, kebanyakan orang Melayu dan bumiputera sangat bimbang dengan tindakan memperkukuhkan (affirmative action) yang diperkenalkan dalam MEB kerana ia berdasarkan merit.

"Pada pandangan mereka, merit berdasarkan persaingan antara kaum Melayu dan bukan Melayu sedangkan di kalangan kaum Melayu itu sendiri perlu bersaing di atas tiket merit untuk mewujudkan kaum Melayu yang lebih baik,'' tambah beliau.

''Rasa cemas itu timbul kerana mereka belum memahami pengisian dan maksud yang terkandung dalam MEB. Mereka anggap MEB sebagai ekonomi terbuka dan sama rata.

''Mereka lupa, rangka MEB ini sebenarnya masih berlandaskan kepada Artikel 153 Perlembagaan

''Saya sendiri secara peribadi melihat rangka MEB ini sebagai dokumen politikal ekonomi dan pelaksanaannya perlu ada penerimaan politikal ekonomi,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Dr. Mahani menambah, MPEN merangka MEB dengan tujuan untuk melakukan transformasi dalam ekonomi termasuk mewujudkan pertumbuhan yang tinggi, mampan dan terangkum.

Ini bermakna, pertumbuhan ekonomi bukan sekadar melihat kepada Keluaran Dalam Negara Kasar semata-mata tetapi lebih daripada itu.

Tegas beliau, draf MEB dirangka dengan pendekatan baru yang lebih luas untuk memartabatkan kaum Melayu dan bumiputera yang masih berpendapatan rendah.

''Kita tidak menafikan DEB telah mencapai banyak kejayaan khususnya di bidang pendidikan. DEB berjaya melahirkan kelas profesional Melayu, kelas Melayu pertengahan dan usahawan.

''Tetapi kalau kita lihat daripada aspek keadaan ekonomi Melayu, masih ramai kaum ini bergaji kecil meskipun kerajaan berjaya membasmi kemiskinan mutlak, tetapi masih wujud kemiskinan relatif.

''Masih ada orang Melayu yang kais pagi makan pagi, masih ramai yang makan gaji kurang RM1,500 sebulan. Golongan inilah yang patut kita bantu, tingkatkan taraf mereka supaya boleh beralih kepada golongan pertengahan,'' katanya.

Menurutnya, draf MEB memberi fokus untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli di kalangan 40 peratus masyarakat Malaysia yang masih miskin, majoritinya kaum Melayu dan bumiputera.

''Jadi, sudah sampai masanya kita melihat penstrukturan, bukan lagi kuota ekuiti, kontrak kerajaan tetapi pegangan dari segi hartanah, jawatan pengurusan, pembabitan dalam sektor swasta dan harta intelek,'' tambah beliau.

Menjelaskan perkara itu, Dr. Mahani berkata, dalam DEB, kerajaan memberi penumpuan kepada pegangan ekuiti kepada golongan usahawan dengan harapan limpahan akan diagihkan kepada kaum Melayu yang lain.

Bagaimanapun, katanya, sedar atau tidak, kesan gandaan yang diharapkan selama 40 tahun itu tidak meluas dan kurang berjaya.

''Sebab itu dalam MEB kita mahu meningkatkan pendapatan bumiputera dalam skop lebih luas, tidak hanya melalui perniagaan tetapi perlu menumpukan kepada golongan makan gaji yang majoritinya golongan Melayu dan bumiputera,'' tambah beliau.

Ditanya mengapa penerimaan MEB yang dingin di kalangan kaum Melayu dan bumiputera, Dr. Mahani berkata: ''Ini kerana, minda mereka telah terarah kepada pemilikan ekuiti, kontrak kerajaan dan bantuan kewangan''.

''Melalui MEB, kita mahu mengubah konsep untuk meningkatkan kehidupan kaum Melayu dan bumiputera melalui cara yang lebih baik selain amalan sebelum ini,'' kata beliau.

Menurut beliau, orang Melayu dan bumiputera perlu sedar, kaum itu kini sudah mempunyai pelbagai kategori.

''Ada kaum Melayu dan bumiputera yang kaya, profesional, dalam kelas menengah, usahawan berjaya dan ada yang masih terkial-kial, yang pendapatan rendah dan miskin.

''Golongan Melayu yang global pula mahukan dasar baru kerana mereka sudah tidak memerlukan tongkat, yang bawah pula perlukan pertolongan bentuk lain.

''Profil orang Melayu sudah jauh berubah berbanding pada zaman 1970an. Tetapi sayangnya perkara itu tidak fahami oleh orang Melayu sendiri,'' jelas Dr. Mahani.

Tambahnya lagi, Malaysia tidak boleh menggunakan pendekatan yang sama seperti 40 tahun lalu dan perlu mencari jalan keluar yang lebih berkesan.

''Kalau 40 tahun tidak berjaya, sekiranya kita meneruskannya juga, sudah pasti kejayaan memang sukar dicapai. Sebab itu kita perlu mencari cara baharu,'' ujarnya.

Berikutan itu, katanya, MPEN menggunakan pendekatan pendidikan yang dilaksanakan dalam DEB dengan memberi fokus lebih luas kerana ia telah terbukti berjaya.

Mengulas mengenai hasil kejayaan MEB, Dr. Mahani berkata, ia bukan boleh dilihat dalam jangka pendek kerana kek ekonomi Malaysia semakin membesar dan rakyat perlu meningkatkan usaha dan keupayaan untuk merealisasikannya.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.