- Belumpun reda kemarahan rakyat ekoran kes rogol lima lelaki ke atas seorang gadis baru-baru ini, polis di negeri Assam, timur laut India menangkap seorang pemimpin parti Kongres yang memerintah negara ini, Bikram Singh Brahma kerana kesalahan yang sama kelmarin.
Dia ditangkap kerana didakwa merogol seorang ibu yang mempunyai dua anak di sebuah kampung di Santipur di daerah Chirang di negeri berkenaan.
Imej yang disiarkan di televisyen India menunjukkan beberapa wanita mengepung Brahma dan mengoyak bajunya.
Seorang wanita turut menampar muka ahli politik itu.
Menurut polis, Brahma memasuki rumah wanita tersebut dan merogolnya pada pukul 2 pagi waktu tempatan.
Seorang pegawai polis, G.P. Singh berkata, ekoran jeritan wanita itu, beberapa orang di kampung tersebut keluar dari rumah dan menangkap Brahma.
Ketika kejadian, Brahma sedang melawat kampung tersebut.-REUTERS