Seorang kakak hari ini merayu adiknya, seorang daripada tujuh tahanan Penjara Pulau Pinang yang meloloskan diri semasa dalam perjalanan ke Mahkamah Butterworth dengan van polis Isnin lepas, supaya menyerah diri kepada polis.
Norazah Abdul Rahman, 40, berkata Hisham ditahan sejak hujung tahun lepas kerana kesalahan rompak dan difahamkan pada hari kejadian dia dibawa ke mahkamah untuk keputusan hukuman kesnya.
"Kami semua enam adik beradik merayu dia serah diri kepada polis secepat mungkin, bukan ini caranya (melarikan diri), lagipun sampai bila dia nak melarikan diri macam ini.
"Saya yakin dia terikut dengan kawan-kawan (tahanan lain)," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pokok Tampang, di sini hari ini. Norazah berkata Hisham yang menduda dan mempunyai dua orang anak tinggal bersebelahan rumahnya seorang diri sejak ibu bapa mereka meninggal dunia dua tahun lalu.
"Dua minggu lalu, suami kakak ada pergi menemui dia di penjara Pulau Pinang dan keadaan dia sangat gembira, Hisham juga berjanji akan bertaubat serta mengubah sikapnya menjadi seorang yang baik. Pada kejadian 9 pagi Isnin lalu, sembilan tahanan dari Penjara Pulau Pinang meloloskan diri ketika dalam perjalanan ke Mahkamah Butterworth dengan sebuah van polis.
Bagaimanapun, polis memberkas dua daripada tahanan setelah menemui semula van di Kampung Padang Chempedak di sini manakala tujuh lagi termasuk Hisham melarikan diri di sekitar kawasan ladang sawit di Ara Kuda di sini. - BERNAMA