Polemik mengenai peraturan kontroversi yang diperkenalkan majlis perbandaran Lhokseumawe, Aceh Utara baru-baru ini yang melarang wanita duduk mengangkang bila membonceng motosikal terus berlaku dan kini Menteri Dalam Negeri Indonesia, Gamawan Fauzi berkata, beliau akan mengkaji peraturan itu.
"Harus kaji dulu, apakah itu berkaitan dengan tradisi atau ada tujuan tertentu dari peraturan itu," kata Gamawan di Istana Bogor pada Isnin ketika diminta oleh wartawan untuk mengulas mengenai peraturan itu.
Gamawan yang berada di situ kerana menghadiri mesyuarat kabinet berkaitanbidang politik dan keselamatan, berkata pihaknya ingin mengetahui sama ada larangan itu berkaitan dengan soal memelihara tradisi tempatan atau hanya menjadikan alasan seolah-olah wanita penyebab berlakunya sesuatu kejadian jenayah.
Jika penilaian mendapati peraturan itu lebih banyak negatifnya, ia boleh dibatalkan, kata Menteri itu.
Larangan terhadap wanita duduk mengangkang semasa membonceng motosikal yang dibuat melalui surat pekeliling oleh pihak berkuasa tempatan Lhokseumawe awal bulan ini dengan alasan untuk melindungi kaum wanita selain kerana ia tidak sesuai dengan budaya Aceh yang bersifat Islam.
Masa selama tiga bulan ditetapkan sebagai tempoh penerangan mengenai peraturan itu dan sepanjang tempoh itu ia hanya bersifat gesaan namun selepas itu ia akan dikuatkuasakan dengan mengenakan hukuman tertentu, yang akan ditetapkan nantinya, jika ada pihak didapati melanggar peraturan itu.
yang ini baru dibenarkan oleh Acheh ...
Datuk Bandar Lhokseumawe Suaidi Yahya dilaporkan berkata minggu lalu bahawawanita di bandar itu tidak boleh mengangkang semasa membonceng motosikal kerana perbuatan itu akan memprovokasi lelaki.
Justeru mereka perlu duduk menyamping semasa membonceng, bagaimanapun kelonggaran diberi kepada wanita yang menunggang sendiri motosikal.
Lhokseumawe merupakan bandar yang dihuni penduduk majoriti Islam, dan ia tidak lama dulu menerapkan udang-undang Syariah yang tegas seperti melarang wanita memakai pakaian ketat kerana perbuatan itu dianggap boleh menggoda.
Peraturan terbaru itu menerima bantahan daripada sebilangan wanita di Lhoksuemawe yang menganggapnya diskriminatif kerana ia menafikan hak wanita untuk melakukan aktiviti seharian seperti biasa selain meletakkan mereka dalam keadaan berbahaya bila diwajibkan duduk menyamping semasa membonceng.
Ada perkumpulan wanita yang membantah peraturan itu meminta Datuk Bandar menumpukan perhatian kepada perkara lebih penting seperti menyelesaikan masalahpembuangan sampah di bandar itu kerana kebersihan bandar juga dituntut olehsyariah Islam.
Seorang pegawai majlis perbandaran Lhokseumawe minggu lalu berkata, undang-undang syariah Islam di Aceh adalah sama dengan adat istiadat Aceh dan alasan sederhana bagi larangan itu ialah orang wanita yang duduk mengangkang di atas motosikal cenderung menunjukkan bentuk tubuh bahagian belakangnya kepada umum.
Ini lebih-lebih lagi jika wanita itu memakai seluar ketat, pengguna kenderaan lain di belakangnya akan ikut berdosa kerana dia akan membayangkan bentuk tubuh wanita di depannya itu, kata pegawai berkenaan. - BERNAMA