- Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat kontroversi pembelian tanah di Bestari Jaya, Selangor yang didakwa terlebih bayar sebanyak RM100 juta daripada harga pasaran. Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, isu ini melibatkan jumlah yang begitu besar, justeru siasatan oleh suruhanjaya diraja harus dibuat bagi menghuraikannya.
"Sepanjang empat tahun Selangor ditadbir pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), ini antara skandal terbesar dan perlu disiasat. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga perlu membuat penjelasan segera mengenainya.
"Menerusi pendedahan Ketua Biro Pemuda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong baru-baru ini, jelas terdapatnya unsur-unsur penyelewengan berlaku dan kontroversi yang memperlihatkan kegagalan kepimpinan Abdul Khalid ini perlu disiasat secara terperinci," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.