SEMANGAT SETIA KAWAN MAMPU PERKUKUHKAN PEMUDA UMNO

on Sunday, February 15, 2009 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 5 Comments


Ikuti temu bual antara Wartawan B.Harian dan Khairy Jamaluddin yang disiarkan dalam ruangan Rencana, Berita Minggu bertarikh 15.2.09.

MENGAPA YB membuat keputusan bertanding jawatan Ketua Pemuda.

Saya percaya Pemuda perlukan calon yang membawa suara orang muda di akar umbi. Berbanding calon lain, saya paling muda. Saya masih lagi umur Pemuda dan tidak melangkaui umur Umno dewasa. Maka, pendekatan, aspirasi, isi hati, memahami kebimbangan orang muda itu, saya rasa ada sedikit kelebihan kerana dapat merasai peralihan generasi yang sedang berlaku.

Apabila kita melihat Umno induk sendiri ada peralihan generasi daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak, maka saya nampak di dalam Pergerakan Pemuda kita perlukan peralihan itu.

Jika tidak, kita hanya retorik apabila menyebut mengenai peremajaan Umno dan tidak memberi peluang kepada generasi muda mengambil tampuk kepemimpinan berkenaan.

Dulu, tidak mengapa jika Ketua Pemuda berada di dalam kelompok usia dewasa. Mungkin kerana ada ketandusan pemimpin muda. Tetapi kini, Akta Belia pun sudah dipinda dan menyatakan Pengerusi dan pemimpin persatuan belia berada di bawah umur 40, maka dalam Pergerakan Pemuda ini perlu dipraktikkan.

Cabaran pilihan raya umum akan datang untuk menarik minat pengundi muda di bawah umur 40. Jadi kita perlukan kepemimpinan yang menjiwai orang muda, dipimpin oleh orang muda. Tahun ini, kita mahu catatkan sejarah, Pemuda Untuk Pemuda.

Kenapa YB menjadi calon terakhir mengumumkan untuk bertanding.

Saya mengambil sikap tunggu dulu kerana mahu lihat calon lain yang menawarkan diri. Kita kena bagi alternatif kepada perwakilan. Saya nampak dua calon menawarkan diri sudah masuk usia pertengahan 40-an. Jadi saya tunggu mana tahu kalau ada calon dalam lingkungan umur 30-an membuat pengumuman dan ke depan. Apabila tiada, saya selaku Naib Ketua Pemuda, rasanya ada platform untuk ke jawatan Ketua Pemuda.

Bagi saya Pergerakan Pemuda memerlukan pemimpin jangka panjang dan wawasan masa depan. Bagi saya umur masih 33 tahun, boleh lama bersama Pemuda. Untuk mengukuhkan Pemuda memerlukan sentuhan jangka masa panjang.

Mengapa YB memilih slogan 'setia kawan' bagi persaingan ini.


Perkara paling asas dalam perjuangan politik adalah keikhlasan menjaga angkatan dan barisan kita. Setia kawan bermaksud kita pentingkan rakan-rakan bukan hanya diri sendiri. Saya berpegang kepada prinsip perjuangan semangat berpasukan. Jadi apa yang berlaku kepada rakan, akan beri kesan kepada kita.

Jika di medan perang, rakan ditembak, kita juga berasa sakitnya. Kalau rakan menganggur, kita pun rasa susah. Kalau kawan ada masalah, kita pun rasa kebimbangannya. Jadi saya mahu tanamkan dalam hati Pemuda, apa yang paling penting adalah menjaga rakan. Saya tak suka budaya tamak atau pentingkan diri. Setia kawan adalah budaya orang Timur dan Melayu seperti kita menjaga kampung sendiri. Saya tak mahu Pemuda hanya jaga diri sendiri.

Sedari awal berpolitik, saya sering mendengar ungkapan Inggeris - 'In politics there are no permanent friends and permanent enemies.' (Dalam politik, tiada rakan atau musuh yang kekal). Contoh paling jelas Pakatan Rakyat, dulu musuh sekarang kawan. Tetapi untuk kata tiada rakan kekal, saya tidak setuju. Kalau kita pegang pada ungkapan tiada rakan kekal, ia seolah-olah kita tiada prinsip. Kita mesti ada prinsip. Susah senang bersama rakan. Jangan guna perwakilan hanya ketika kempen untuk menang. Dengan slogan setia kawan ini, saya sebenarnya berikrar dan berjanji akan ingat jasa perwakilan selama-lamanya.

Ada menyifatkan YB masih baru atau kurang
berpengalaman.


Dari segi pengalaman dan mengikut usia, saya memang masih muda tetapi di dalam Pemuda selaku Naib Ketua sudah empat tahun. Sebelum itu menjadi Exco untuk empat tahun juga. Jadi sedikit sebanyak dapat menimba pengalaman terutama di bawah kepemimpinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Ketua Pemuda). Tidak hanya visinya, tetapi juga aspek pentadbiran dan pengurusan Pemuda. Soal pengalaman menjaga orang muda ini, saya memang sudah ada. Calon lain pun ada pengalaman dan tidak boleh dipertikaikan. Pengalaman menjaga Pemuda itulah yang relevan menjadi Ketua Pemuda.

Bagaimana YB melihat peluang memandangkan saingan lain tidak kurang hebatnya.

Susah nak buat rumusan mengenai peluang kemenangan tetapi saya merayu perwakilan pertimbangkan pencalonan saya. Kalau mereka inginkan kepemimpinan muda dan pemimpin yang mengutamakan kebajikan mereka, itulah slogan setia kawan yang saya bawa. Kalau ada kawan yang setia, kita akan membantu kawan-kawan kita. Saya anggap ahli pergerakan ini kawan-kawan. Saya bukannya ketua dan yang lain pengikut. Itu bukan saya kerana saya adalah sebahagian daripada angkatan ini. Cuma diangkat dan diamanahkan menjadi Naib Ketua tetapi saya kena ingat bahawa amanah itu berdasarkan kepada setia kawan untuk bantu akar umbi.

Kini, tekanan ekonomi dirasai oleh semua bukan saja ahli Umno tetapi seluruh rakyat. Apabila menjadi ketua, saya kena menjaga akar umbi, memastikan peluang pekerjaan dan peluang ekonomi untuk generasi muda Melayu dan ahli Pemuda dijaga dengan sempurna. Saya ada memberitahu ahli, saya mahu menjadi pekerja untuk mereka dan jangan anggap saya sebagai ketua dan pemimpin saja. Saya diberi amanah dan perlu bekerja. Sebab itu, sebagai calon yang ada rancangan masa depan, saya tidak menganggap jawatan Ketua Pemuda sebagai batu loncatan, duduk hanya satu penggal dan kemudian mendapatkan jawatan lebih tinggi.

Berikutan hasrat memegang jawatan ini untuk jangka masa lama, perkara pertama yang harus saya buat adalah bekerja bersungguh-sungguh. Jika tidak saya akan ditolak pada penggal seterusnya. Apabila kita ada kesungguhan untuk jangka panjang ia berbeza dengan azam mereka yang mahukan ia sebagai batu loncatan ke peringkat lebih tinggi atau menjadi pemimpin untuk satu penggal saja.

Apakah ciri seorang Ketua Pemuda pada pandangan YB.

Pertama mestilah seorang yang mempunyai kelantangan menyuarakan hasrat rakyat dan bangsa. Kedua, dapat berhujah dengan berkesan. Kadang-kadang kita lantang tetapi tidak berisi, maka tidak dapat menyampaikan mesej dan patahkan hujah pembangkang. Jadi kita kena ada kebolehan berhujah bagi menyampaikan maklumat serta berdepan pembangkang.

Ketiga, lebih kepada perkhidmatan. Mereka perlu memastikan telinga selalu mendengar masalah daripada bawah. Ketua Pemuda perlu meruntuhkan segala dinding protokol yang ada bagi merapatkan jurang kepemimpinan dan akar umbi. Itu paling penting. Jika kita berhenti mendengar rintihan dan masalah akar umbi, maka di situlah kita berhenti menjadi pemimpin berkesan.

Andai terpilih, apakah YB akan menjadi lebih lantang bersuara.


Kelantangan ini kena bertempat. Kalau kita hanya lantang bersuara tetapi tidak bekerja, ia tidak memberi sebarang kesan. Apa yang penting, Pemuda ini bukan hanya pendesak tetapi pembawa penyelesaian masalah. Zaman Pemuda dulu amat berbeza berbanding sekarang.

Pemuda zaman dulu tidak ada cara dan peranan untuk menentukan dasar orang muda dan menyelesaikan masalah mereka. Kini Pemuda sudah ada peranan dalam kerajaan dan diberikan tempat oleh kepemimpinan Barisan Nasional (BN) dan Umno untuk selesaikan masalah.

Minggu lalu misalnya, kelantangan Pemuda terserlah memperjuangkan dan mempertahankan Raja Berperlembagaan dalam kes di Perak. Pemuda juga membuat laporan polis dan saya menghimpunkan lebih 4,000 orang di padang Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Malah, selepas itu Pemuda Selangor dan Wilayah mengambil tindakan susulan membuat demonstrasi dan perhimpunan. Ini semua adalah kelantangan Pemuda. Kelantangan Pemuda bertempat, kita bukannya buat semua itu untuk setiap isu. Kalau tidak ia akan menampakkan kita tiada kerja lain selain berdemonstrasi saja. Bagi saya, kita perlu ada dua pendekatan, satu kelantangan dari segi ke hadapan tetapi biarlah bertempat dan kedua, ada penyelesaian.

Apa pandangan yang melihat YB sebagai samseng Umno.

Saya bukan samseng... agresif Pemuda pun bertempat. Apa yang saya lakukan bukannya membawa budaya samseng tetapi kelantangan bersuara, bukan kekerasan. Itu bukan budaya kita.

YB adalah Naib Ketua Pemuda. Bukankah ini satu kelebihan berbanding calon lain.

Saya nampak, jika calon yang lain tidak popular maka ia akan bagi kelebihan kepada saya. Namun, dua calon itu ada nama dalam politik. Saya sebagai Naib Ketua Pemuda tidak bawa apa-apa kelebihan. Calon lain saya lihat menawarkan perubahan secara menyeluruh kepada Pemuda, seolah-olah apa yang sudah dilakukan Pemuda sebelum ini tidak berkesan langsung.

Sebagai Naib Ketua, saya mengambil tanggungjawab bersama Hishammuddin dan tidak benar apa yang kita buat selama ini semuanya tidak betul. Saya tidak boleh menerima dakwaan itu. Saya akui ada benda yang perlukan pembaharuan dan diperbaiki. Mungkin calon lain merasakan mereka bebas mengkritik kepemimpinan Pemuda sekarang.


Apa yang YB maksudkan peremajaan dan pemugaran dalam Umno.

Peremajaan adalah peralihan generasi. Kita melihat kini berlaku peralihan kuasa yang bukan hanya membabitkan perubahan pemimpin tetapi peralihan generasi. Daripada seorang pemimpin negara dan parti yang terakhir lahir sebelum kemerdekaan kepada pemimpin yang dibesarkan dalam era pasca kemerdekaan. Inilah peralihan generasi yang cukup ketara sekali.

Dalam konteks Pemuda, saya mahu menyeru ahli supaya buat peralihan generasi daripada kepemimpinan pada usia 40-an kepada 30-an, generasi Wawasan 2020. Saya adalah generasi Wawasan ini. Jadi itulah maksud peremajaan. Dalam konteks gerak kerja, kita kena bagi peluang ramai lagi orang muda masuk parti dan bersama dengan kita.

Kini, orang muda rasakan ada sekatan untuk berada dalam Umno dan perkara ini bukan hanya membabitkan keahlian semata-mata tetapi program yang kita laksanakan untuk generasi muda. Program yang kita laksanakan juga tidak harus syok sendiri saja. Buat program hanya untuk orang Umno. Saya nampak program yang dianjurkan hanya untuk ahli, muka yang sama dan tidak membabitkan generasi muda yang umum dan luas.

Kita harus sedar hakikat, pengundi muda untuk pilihan raya umum akan datang ada lebih 7 juta berbanding keahlian Pemuda 750,000. Oleh itu, kita kena menjangkaui batasan tradisi, tidak hanya menganjurkan program untuk ahli Umno.

Jika kita menarik penyertaan lebih ramai orang, proses meremajakan Umno akan berlangsung secara automatik kerana keyakinan orang muda kembali kepada Umno kerana Umno menampilkan wajah dan satu gerak kerja yang lebih sesuai dan serasi dengan orang muda.

Apa yang boleh YB tawarkan jika dipilih sebagai Ketua Pemuda.

Pertama, kita mahu bergerak dalam keahlian Pemuda Umno. Kita jaga kebajikan ahli Pemuda yang boleh menyebabkan ahli bersemangat membawa perjuangan. Jika kita tidak mampu menjaga rumah tangga, serta ekonomi ahli, maka semangat perjuangan turut terbatas kerana mereka terpaksa memikirkan kepentingan diri tanpa fikirkan masalah bangsa.

Kedua, menarik minat generasi muda di luar Umno. Kita nak mengenal pasti program untuk golongan muda di bawah umur 40-an ini. Kita akan mengadakan program untuk masyarakat bawah usia 40-an seperti pegawai kerajaan, guru, profesional, imam, ahli akademik serta media. Jangan kita fikir mereka yang bukan ahli Umno ini tidak sokong kita. Mereka ini menyokong cuma tidak menjadi ahli saja. Jadi, sentuhan ini berbeza. Kita perlu bertanya apa yang mereka mahukan dan apa yang patut Pemuda lakukan. Kadang-kadang kalau kita hanya mendengar suara orang Umno, pemikiran kita terbatas dan kita tidak menjadi masyarakat terbuka kerana tidak mendengar pendapat mereka di luar. Jadi saya mahu pecahkan sentimen sebegini dan segmen masyarakat. Kita mungkin adakan dialog dengan mereka dan buat program tertentu. Kita kena buat program mengikut sasaran masyarakat dan kehendak mereka.

Ketiga, saya mahu merapatkan lagi hubungan dengan parti komponen kerana sebagai Ketua Pemuda Umno, pemimpinnya juga menjadi Pengerusi Pemuda BN. Kita tidak boleh lupa kepada 14 parti komponen ini. Pendekatan yang ingin saya bawa adalah yang berhemah dan berprinsip tanpa berkompromi dengan perjuangan Umno serta pendekatan mengukuhkan lagi hubungan antara Pergerakan Pemuda komponen yang lain.

Sebelum ini kita melihat dan mencari penyelesaian dalam perbalahan yang berlaku. Kini, kita kena cari formula yang dapat kukuhkan hubungan malah, saya akan kerapkan mesyuarat Pemuda BN di semua peringkat supaya dalam apa isu kita akan bercakap senada dan satu suara. Saya tidak mahu lagi selepas ini isu seperti isu Melayu hanya dibangkitkan oleh Umno, Cina oleh MCA dan kemiskinan golongan muda India oleh MIC. Apa salahnya kita bangkitkan isu secara bersama, saya rasa tak salah. Saya rasa tak kurang semangat nasionalisme kalau saya bantu bangsa lain untuk masalah mereka sendiri. Inilah konsep perkongsian kuasa tulen.

Tidakkah YB melihat pendekatan bersuara bagi bangsa lain boleh mencetuskan rasa tidak senang.


Tidak. Apa salahnya kita melakukan perkara yang tidak bercanggah dengan perjuangan. Contohnya jika kita perjuangkan isu kemiskinan di estet, adakah ini dilihat sebagai bercanggah dengan orang Melayu? Saya rasa tidak. Jika kita cakap mengenai bantuan kepada pelajar Cina, ia juga tidak menjejaskan tumpuan kepada kepentingan Melayu. Begitu juga dengan rakan MCA dan MIC yang sepatutnya sama-sama membantu isu lain yang turut membabitkan kepentingan Melayu di luar bandar. Ini bukan 'zero sum game' iaitu saya untung kamu kalah. Kita perlu cari isu yang boleh bawa keuntungan kepada semua bangsa.

Pandangan YB mengenai politik wang hingga Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen mencadangkan sayap Umno dibubarkan.

Cara menangani politik wang bukan membubarkan, sebaliknya mengukuhkan lagi sayap parti. Inilah tempat kita mendidik ahli muda erti perjuangan sebenar iaitu majukan negara, bangsa serta tegakkan syiar Islam. Kalau kita bubarkan sayap ini, habislah idealisme parti yang membara di kalangan orang muda. Inilah tempatnya kita perangi habis-habisan politik wang. Kita terapkan jati diri, prinsip, keikhlasan perjuangan di kalangan mereka. Bagi menangani politik wang, kita harus kuatkan idealisme ahli.

Kenyataan Tengku Ahmad Rithauddeen itu seolah-olah politik wang cuma wujud dalam sayap sedangkan ia masalah umum yang perlu ditangani. Kalau pendidikan politik itu dijalankan menyeluruh dengan memberi latihan ahli Pemuda dan Puteri, mereka dapat menilai pemimpin berdasarkan kesungguhan dan keikhlasan perjuangan.

Saya juga mahu bawa satu budaya dalam Pemuda iaitu pemikiran yang matang. Apa saja kita buat perlu berdasarkan kepada hikmah dan kebijaksanaan. Kita pilih pemimpin bukan ikut sentimen, tapi kekuatan dan kesesuaian. Kalau tiada budaya ini dalam Pemuda, mereka akan ikut nafsu seperti kerakusan mendapatkan duit yang tidak berdasarkan kewarasan.

Tidakkah status menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi boleh mengaburi kemampuan sebenar YB.

Saya melihat sebahagian besar perwakilan dapat menilai calon berdasarkan kekuatan peribadi bukan persepsi, pertalian keluarga atau kekuatan ekonomi. Selepas bertemu perwakilan dalam tempoh dua tiga bulan lalu, saya dapat rasakan kejujuran dan pemikiran mereka.

Saya tekankan kepada mereka, jangan pilih pemimpin kerana beliau menantu, anak atau pernah pegang jawatan tetapi pilih untuk masa depan Pemuda dan apa yang boleh beliau lakukan.

Apakah YB yakin dapat terus bertahan dalam bidang politik selepas peralihan kepemimpinan bulan depan.

Jika kemasukan saya dalam politik bergantung sepenuhnya kepada usaha Pak Lah, mungkin soalan itu relevan. Tapi dari dulu, saya cuba berdikari dan di atas kekuatan sendiri. Bagi saya, Insya-Allah saya boleh terus bertahan dalam senario pasca pentadbiran Pak Lah sebab saya tak pernah bergantung kepada pertalian itu. Saya berpolitik atas kekuatan dan kesungguhan saya.


Bagaimana dengan pandangan pihak yang beranggapan YB patut berundur selepas ketiadaan Pak Lah.


Biarlah kita serahkan kepada perwakilan membuat keputusan itu. Tiada siapa pun yang layak menentukan sama ada seseorang itu relevan atau tidak dalam parti selain ahli dan perwakilan.

Apa harapan YB bagi pemilihan ini.

Pertama, harapan saya perwakilan membuat pilihan calon mengikut merit. Kita perlu ada sistem merit dalam politik. Apabila kita nilai calon, kita tahu kelayakan calon itu untuk jadi Ketua Pemuda. Keupayaannya dari segi kebolehan dan kejujuran.

Kedua, saya harap perwakilan pilih calon yang mempunyai perancangan masa panjang untuk Pemuda bukan hanya 'singgah' untuk jawatan lain. Buat pilihan ikut realiti, bukan persepsi. Saya rasa perwakilan Pemuda lebih mengenali saya dan realiti siapa saya daripada persepsi yang ada.

www.bharian.com.my


5 Responses

  1. Anonymous says:

    pejuang.....hang jangan lupa pulak tonton hujjah kat TV9.... live lagi pukul 9 lebih atau pukul 10 lebih kut.. selasa depan abg kesayangan ko nie nak berhujah dengan khir toyo dan mukhirz....tentu kaw-kaw punya...
    kahkahkahhhakhakhaaahh.....

  2. "...untuk menumpukan usaha membanteras kemiskinan dan menyediakan kemudahan pendidikan".
    -Imam Sheikh Yusuf Al-Qaradawi

    Gesaan Imam Sheikh Yusuf Al-Qaradawi itu perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pejuang. Jangan lah asyik berpolitik sampai lupa kemiskinan yang masih membelenggu rakyat marhaen. Rata-rata rakyat sudah tahu parti mana yang akan dipangkahnya pada setiap PRU atau PRK. Tiada istilah 'pengundi atas pagar' dewasa ini. Cuma yang ada 'pengundi yang boleh dibayar' sahaja.

    Rakyat sudah muak disajikan berita politiking setiap hari. Dalam keadaan sekarang di mana ramai yang menganggur ditambah pula kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi, hal-hal politik ini akan menguja semangat dan menaikkan amarah. Menjadi kebimbangan apabila emosi rakyat berubah, tidak stabil serta menjadi tidak terkawal..

    -Kontraktorwibawa.blogspot.com

  3. aku sokong 100% abang KJ..jd ketua pemuda... dan Paklah kekal sebagai PM....sampai pru13

    selasa depan?ermmm... mesti tengok!!!

    islam hadhari itu sesat dan menyesatkan

  4. aku tahu dulu umno skrg pas

    thanks info ini ..kita tengok siapa lebih hebat dalam debat ini .anak bapak ke ,khir pemuda berani @ KJ ..

    tembakau pahit

    thanks for your support ..kita akan lihat KJ berentap dengan 2 laki calon fav kerana pencalonan terbanyak dan duit lg byk ..

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.