Tidak menghormati bulan Ramadan! Begitulah sikap biadab, pemilik sebuah pusat karaoke haram di Jalan Kebun Sultan di sini yang masih menjalankan kegiatan tidak bermoral di premis itu meskipun dalam kesibukan umat Islam berpuasa.
Dalam serbuan yang dilakukan lewat malam semalam, sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) diketuai Asisten Supritendan Nik Rosdi Nik Yahya, pihak polis berjaya menahan empat wanita warga Thailand yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) lingkungan usia 22 hingga 31 tahun di samping dua lelaki Cina warga tempatan.
Turut dirampas dalam operasi itu, peralatan karaoke selain 14 pelanggan yang turut ditahan untuk membantu siasatan. Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner, Lai Yong Heng berkata, serbuan dilakukan hasil pemerhatian yang dijalankan anggota di kawasan terbabit minggu lalu. “Mereka terpaksa memecahkan tiga lapis pintu jeriji dan pintu besi yang dikunci dari dalam kerana tempat terbabit dikawal ketat dengan penjaga di bahagian luar dan dalam premis itu selain mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) yang mengawal keadaan premis.
“Lebih menyukarkan apabila pihak terbabit hanya membenarkan pelanggan yang dikenali masuk ke dalam premis dengan membuat panggilan telefon,” katanya kepada pemberita. Yong Heng berkata, walaupun dikawal ketat akhirnya kelicikan peniaga itu dapat ditumpaskan, apabila anggota bertindak mengepung kawasan premis dan kesemua mereka dapat ditahan dalam operasi itu.
“Setakat ini barangan yang dirampas, termasuk mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan kerana menjalankan perniagaan karaoke secara haram, selain Seksyen 39B dan Seksyen 55B Akta Imigresen kerana bertindak melindungi dan membawa lari wanita warga asing terbabit.
“Diharapkan supaya orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada pihak polis bagi membendung perlakuan tidak bermoral di negeri ini,” katanya. Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba melindungi kegiatan ini dan mengharapkan kerjasama masyarakat dalam membendung situasi terbabit.