Hari Pahlawan: Komunis tembak 11 das bunuh Ketua Polis Negara..

on Wednesday, August 1, 2012 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment





Pada pukul 7 pagi, 7 Jun 1974 negara dikejutkan dengan berita yang penuh tragis. Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Ketua Polis Negara yang ketiga itu telah di tembak 11 das oleh 2 lelaki di Jalan Tun Perak. Tujuh daripada 11 tembakan itu mengenai tubuhnya. Kejadian berlaku ketika beliau dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman bersama dengan Sarjan Omar Yunus. 



Dua penjenayah yang dipercayai anggota subversif komunis, seorang daripadanya Lim Woon Chong, alias Ah Kwong, 21 tahun dipercayai pemimpin Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (TPRM) seorang lagi Ng Foo Nam 23 tahun melepaskan tembakan yang membunuh Rahman. 

Mereka juga terbabit dalam pembunuhan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Khong di Jalan Ashbay, Ipoh pada November 1975. Mereka telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati mengikut Aktar Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1978.



Tan Sri Rahman Hashim berpengalaman luas dalam kerjaya sebagai seorang pegawai polis dan telah berkhidmat selama 33 tahun. Dalam rentetan peristiwa yang telah dilalui, beliau baru berkhidmat dua bulan apabila tentera Jepun menyerang Pearl Harbour pada 8 Disember 1941 yang membawa kepada tercetusnya Perang Pasifik. Abdul Rahman adalah pegawai polis pertama yang memberikan kerjasama kepada tentera Jepun yang menyerang negeri Kedah. Tindakan itu bertujuan mengembalikan keamanan kepada negeri itu. Beliau turut menjadi anggota polis ketika pendudukan Siam di Kedah pada tahun 1943.



Tan Sri Abdul Rahman bin Hashim telah dilahirkan pada 7 Julai 1923. Bapa beliau ialah Hashim bin Md Saman berasal dan Kampung Ceruk Tun Kun, Bukit Mertajam. Pak Hashim sebelum menjadi Guru Besar Sekolah Sungai Limau, beliau bekerja dengan Nyak Hussein (bapa Prof Ismail Hussein) di kedai jahit Tuk Su Hanafi. 



Pada 17 Oktober 1941 Tan Sri telah dilantik sebagai seorang pegawai dalam polis negeri Kedah berpangkat Sub-Inspektor. Dalam pasukan polis beliau telah berkhidmat selama 33 tahun dalam berbagai jawatan di negeri-negeri Kedah, Selangor, Johor, Perak dan Pulau Pinang. Di Kedah beliau telah berkhidmat di Bandar Baharu, Baling, Gurun, Kuala Nerang dan Alor Setar. Pada masa Perang Pasifik tamat beliau adalah Ketua Polis Daerah Kuala Nerang. Pada tahun 1949 beliau telah dipindahkan ke Kajang sebagai Pegawai Penyiasat. Ini adalah pertukaran pertama baginya di luar Negeri Kedah. Ketika itu beliau berpangkat Inspektor. 

Pada bulan Januari 1952 beliau telah ditukarkan ke Kulai, Johor bertugas sebagai Penolong Ketua Polis Daerah berpangkat Penolong Penguasa Polis. Beliau kemudian mengikuti Kursus Siasatan Jenayah di Mill Meece, Stafford, England pada 1953. Sekembalinya beliau bertugas di Ibu Pejabat Cawangan Khas di Kuala Lumpur. Pada bulan September tahun 1957 beliau sekali lagi dihantar menjalani Kursus Pegawai Kanan selama enam bulan di Ryton-on-Dunsmore.

 Pada tahun 1960 beliau telah dinaikkan pangkat kepada Superintenden dan menjadi Ketua Jabatan Cawangan Khas di Pulau Pinang. Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman pada tahun 1963 dan menjawat jawatan pengarah pada tahun 1971. Jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara disandang pada 31 Januari 1972 dan Pemangku Ketua Polis Negara pada 1 Februari 1973 menggantikan Tun Mohamad Salleh Ismail.

Tan Sri Abdul Rahman tidak berkhidmat lama sebagai Ketua Polis Negara.


Anugerah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ yang diterima daripada Yang di Pertuan Agong pada 5 Jun 1974 tidak berpanjangan.


Beliau hanya sempat mengecapi gelaran itu selama dua hari sebelum ditembak 11 das oleh dua penjenayah di Jalan Tun Perak pada 7 pagi 7 Jun 1974. 

sumber : GAP


One Response

  1. Anonymous says:

    layarilah laman portal web berita yang disediakan PERCUMA tanpa perlu melanggan Freemalaysiakini2 , sebarkan kepada rakan-rakan anda.

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.