Husam Erdogan vs Nasharuddin

on Tuesday, May 26, 2009 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment


Oleh: ROSLAN BIAN

Pengumuman Datuk Husam Musa untuk merebut jawatan Timbalan Presiden dengan mencabar penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa seolah-olah melengkapkan cerita ‘No to UMNO – Yes to Anwar’.

Ianya juga boleh disebut Pro UMNO tak boleh tetapi Pro Anwar boleh.

Jika sebelum ini Naib Presiden PAS itu kononnya lebih suka ‘puasa’ bercakap mengenai pertandingan itu tetapi dalam sidang media mengumumkan perkara itu pada Isnin, Husam akhirnya mendedahkan juga tujuannya menentang Nasharuddin pada muktamar parti itu minggu depan.

Walaupun cuba berbahasa basi, Husam memberi alasan "keperluan" semasa dan kononnya amanah akar umbi dan pemimpin parti yang lain apabila memutuskan untuk merebut jawatan tersebut.

Namun, benarkah Husam diberikan amanah peringkat akar umbi sedangkan ada ahli-ahli PAS kini sudah semakin muak dengan kumpulan Pro Anwar atau Erdogan yang cuba mengikis pengaruh pemimpin ulama dalam parti itu?

Selain ahli ada juga pemimpin PAS mempersoalkan tindakan Husam yang melihat Nasharuddin terlalu liberal kepada UMNO sedangkan beliau sendiri condong kepada Anwar.

Husam dianggap sudah dirasuk sindrom pembangkang ‘ orang lain buat tak boleh, kita buat boleh’ dan cuba menghukum Nasharuddin yang dianggapkan terbabit dalam usaha membetuk kerajaan perpaduan antara PAS dan UMNO.

Jika benar usaha Nasharuddin itu, apakah berdosa atau salah andainya beliau berusaha demi perpaduan orang Melayu dan Islam dalam kedua-dua parti daripada membiarkan PAS terus dinikahi secara haram oleh DAP dan PKR?

Tidak pelik jika Husam memberi pendapat bahawa tindakan Nasharuddin adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Sebaliknya kata beliau, PAS perlu berada di tengah, bukan bersikap terbuka kepada UMNO atau menyelamatkan UMNO.

Bagaimanapun, sumber PAS mendedahkan, ramai pemimpin dan ahli parti itu mulai bimbang tiada siapa dapat menyelamatkan PAS jika kumpulan Erdogan menguasai parti itu selesai muktamar nanti.

Mereka kini berusaha memastikan kumpulan ulama terus kekal menerai PAS malah mahu memastikan Nasharuddin kekal bekerjasama dengan Presiden, Datuk Seri Hadi Awang.

Penarikan diri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din juga dilihat sebagai usaha supaya Nasharudin kekal.

Ini untuk mengelak undi perwakilan pecah dan akhirnya memihak kepada Husam.

Walaupun Naib Presiden Mohamad Sabu memutuskan turut bersaing merebut jawatan Timbalan Presiden, pertarungan sebenar adalah antara Husam dan Nasharudin.

Dalam pengumumannya di ibu pejabat parti itu Isnin, Husam berkata gandingannya dengan Hadi boleh menolong memajukan lagi parti.

Peliknya beliau belum merujuk keputusannya itu dengan Hadi sebaliknya Husam yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan, memilih memaklumkannya terlebih dahulu kepada Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Pertarungan Husam – Nasharuddin kini pasti diikuti dengan penuh debaran oleh ahli-ahli parti terutama mereka yang sudah sebati dengan perjuangan asal PAS.

Persoalannya kini apakah jawapan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hebat percaturan politiknya apabila ditanya mengenai pertembungan kedua-dua tokoh PAS ini?

Jawapan yang sudah ada dan diberikan Husam sebelum ini ialah apabila beliau mengakui kawan rapat kepada Anwar walaupun tidak mengakui dirinya antara pemimpin kumpulan Erdogan.Kesimpulannya jika Anwar kata No pada UMNO maka Husam juga akan kata No pada UMNO. -25/5/2009


Komen PB

Ketua Geng Erdogan yang berkiblatkan Anwar Ibrahim iaitu Husam Musa akhirnya mengesahkan akan bertanding dengan Nasharuddin dalam perebutan heavyweight Timbalan Presiden PAS . Golongan liberal akan menentang golongan ulama ustaz-ustaz di dalam PAS . Politik wang dalam PAS pasti lagi dasyat dari pemilihan UMNO kerana kita tahu Husam adalah seperti anak didik Anwar maka ilmu Anwar dalam pemilihan UMNO 1993 ketika menjatuhkan Ghafar Baba dulu pasti akan diperturunkan kepada Husam . Saya meramalkan jika Husam ini akan menang ,perubahan besar di dalam PAS akan berlaku maka suara puak2 anwar akan lebih kuat lagi di dalam PAS.


One Response

  1. Makin hari makin menarik pertandingan ini nampaknya kita boleh tengok siapa yang menang. Antara PAS sejati atau PAS Anwar atau bahasa rasminya PAS erdogan

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.