Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Idris Haron membidas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang memberi alasan tersalah taip sehingga menyebabkan kos pembinaan terowong bawah tanah di Pulau Pinang berlebihan sebanyak RM2.2 bilion
Menurut Idris, sikap kepimpinan DAP yang seringkali memberikan alasan yang remeh temeh bagi isu-isu besar seperti itu seolah-olah menganggap bahawa rakyat di negara ini bodoh-bodoh belaka.
“Macam mana mahu memerintah Malaysia kalau asyik tersalah kira, tersalah taip? Sebelum ini, akibat tersalah kira kononnya, maka ahli jawatankuasa pusat DAP semuanya orang Cina. Hari ini, akibat tersalah taip, maka kos projek meningkat lebih RM2.2 bilion.
Untuk pengetahuan kepimpinan DAP, rakyat di negara ini sudah bijak-bijak belaka. Jadi, saya nasihatkan agar kepimpinan DAP tidak memberikan alasan-alasan yang begitu remeh temeh seolah-olah menghina kewarasan dan rasional pemikiran rakyat di negara ini,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Isu kos pembinaan terowong bawah tanah yang meningkat dari harga asal sebanyak RM4.08 bilion kepada RM6.3 bilion telah dibangkitkan oleh Ketua Penerangan Pemuda BN, H’ng Khoon Leng, yang mendesak Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri supaya memberi penjelasan berkenaan hal itu.Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tangga Batu seterusnya berkata, rakyat hari ini sudah mula melihat dengan jelas kelemahan dan kecuaian DAP dalam mentadbir Pulau Pinang, malah sudah mula meluat dengan alasan-alasan tidak masuk akal yang diberi untuk menutup kesilapan mereka.
“Saya yakin rakyat sudah mula hilang kepercayaan terhadap parti-parti gabungan Pakatan Pembangkang, terutamanya seperti DAP yang kerap menuduh UMNO dan BN sebagai kerajaan yang mengamalkan rasuah, menipu rakyat dan pelbagai lagi fitnah dan tohmahan yang tidak benar, sedangkan hakikatnya merekalah yang bersikap seperti itu.
“Sebab itu, pemimpin DAP cuba mendoktrin pemikiran rakyat dengan mengatakan parti mereka suci bersih dari rasuah, namun jelas akhirnya muncul juga kebenaran apabila pendedahan rasuah termasuklah dari bekas naib Presiden DAP sendiri, Tunku Aziz.
“Begitu juga dengan pemilihan CEC yang penuh kontroversi dan dibantah oleh ramai ahli DAP sendiri. Inilah yang dikata bak pepatah Melayu, bangkai Gajah tidak dapat ditutup dengan daun pisang,” jelasnya.
Menurutnya, ini amat berbeza dengan sikap kerajaan BN yang sentiasa rasional dan waras serta tidak pernah menganggap sebagai yang terbaik, namun tetap terbukti sehingga ke hari ini dapat memberikan perkhidmatan dan membela nasib rakyat dengan semaksima yang mungkin.
“Program-program transformasi dan perlaksanaan subsidi seperti BR1M yang diberi terus kepada rakyat cukup menjadi bukti bahawa kerajaan BN hari ini sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik buat rakyat dan negara, di samping sentiasa mencari idea-idea baru untuk menampung segala kelemahan yang ada,” ujarnya.