PENGURUS skuad kebangsaan, Datuk Subahan Kamal berharap setiap kritikan yang dilemparkan kepada anak buah Datuk K. Rajagobal harus secara profesional, bukannya bercanggah dengan "budaya kita." Jelasnya, beliau yang sedia menerima setiap pandangan dan cemuhan, mahu setiap tindakan yang dilakukan haruslah kena dengan adat dan budaya Malaysia.
"Tiada masalah untuk mengkritik. Tetapi biarlah dibuat dengan rasional dan tidak terlalu terikut-ikut budaya luar yang nyata jauh bercanggah dengan budaya kita. "Kita semua kecewa, tapi kita harus menerimanya dan meneruskan perjuangan yang masih ada," kata Subahan ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya kritikan sekumpulan penyokong Malaysia yang berang dengan kekalahan 0-3 ke atas Singapura di laman sendiri semalam.
Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut menegaskan bahawa mereka tidak akan memperdulikan setiap kritikan yang dilemparkan. Sebaliknya, beliau dan Rajagobal akan terus bersemangat dan tidak akan mengalah selagi perjuangan belum berakhir.
"Katalah apa yang nak diperkatakan, kami tidak akan mengalah. "Saya tahu semua orang kecewa dengan keputusan yang dicatat oleh pemain, tapi suka atau tidak, kita harus menerimanya. Dan sentiasa menyokong.
"Apa-apa pun, kami akan tetap menggalas tanggungjawab tersebut biarpun tanpa penyokong di sisi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai laluan sukar yang dihadapi oleh Malaysia untuk melepasi peringkat kumpulan setelah tewas kepada Singapura, Subahan bagaimanapun tidak gusar dan beliau tetap meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap Rajagobal.
"Saya tetap yakin mereka mampu melangkah ke peringkat seterusnya. "Rajagobal sendiri pernah melalui pengalaman seperti ini, jadi saya yakin beliau pasti akan memikirkan beberapa strategi untuk menanganinya," ujarnya lagi.
Selepas ini, Malaysia, selaku juara bertahan akan menentang Laos Rabu ini sebelum mengakhiri saingan peringkat kumpulan dengan menentang Indonesia pada 1 Disember ini.