Selepas spekulasi selama seminggu, Tunku Mahkota Johor akhirnya memperkenalkan Daniel Guiza di sidang media di Hotel Thistle, Johor Bahru petang ini.Penyerang itu tiba di Johor bersama peguam dan ejennya dan dijangka akan menandatangani kontrak dengan Johor 'beberapa jam lagi'. Pemain berusia 32 tahun itu akan dipinjam ke Johor dari Getafe FC untuk saingan Liga Malaysia musim depan.
Perjanjian pinjaman yang akan ditandatangani dengan Johor menjadikan Guiza pemain Sepanyol ketiga beraksi di Malaysia selepas Carlos Rodriguez di Pulau Pinang dan Juan Manuel Rodriguez Olsson dengan Negeri Sembilan - difahamkan juga Guiza akan menjadi pemain termahal di Malaysia.
"Ia memerlukan usaha yang banyak untuk saya datang ke sini dan saya harap ini satu petanda baik," kata Guiza di sidang media petang ini."Ini satu keputusan yang besar dan walaupun saya masih menimbang pilihan saya, saya ingin semua pihak tahu kemana saja saya pergi, saya akan bekerja keras untuk menang semuanya," katanya lagi yang turut mendapat tawaran dari Real Zaragoza dan Malaga.
"Saya telah bertukar pendapat dengan pengurus di Getafe dan saya fikir sudah tiba masa saya beralih angin."Saya tidak mempunyai masalah dengan cuaca dan saya tidak sabar untuk beraksi," jelasnya.
Tunku Mahkota Johor yang bertanggungjawab dalam memancing juara Eropah dan Dunia itu yakin: "Saya berbangga untuk memiliki pemain seperti Guiza. Beliau masih muda, hanya 32 tahun dan perjalanannya masih jauh.""Kami bukan hanya 'membeli-belah' untuk pasukan.
Sebagai presiden persatuan, ini adalah tanggungjawab saya untuk membina semula legasi bola sepak Johor yang dahulunya lebih menyerlah.
"Seperti yang saya katakan kepada pasukan, saya mahu membina satu sistem yang boleh diikuti oleh generasi akan datang.
"Saya harap perjanjian ini akan diselesaikan secepat mungkin. Wang bukan perkara rumit di sini tetapi perjanjian terma dan syarat yang penting," katanya lagi.
Peguam Guiza juga yakin dan berkata: "Kami akan membuat keputusan dalam beberapa jam lagi."
Guiza akan menyertai Muslim Ahmad, Azmi Muslim, Aidil Zafuan, Zaquan Adha yang telah sah bersama Johor sementara Safiq Rahim dan Nurul Azwan Roya juga dijangka akan menandatangani kontrak dengan Johor dalam masa terdekat.- ESPNSTAR-