PROTON Holdings Berhad (Proton) mengumumkan harga jualan bagi model terbaru keluarannya yang kini dikenali menerusi kod P3-21A bermula dari RM62,000 hingga RM75,000 seunit mengikut jenis varian dan spesifikasi dengan tempahan mula dibuka semalam.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, orang ramai boleh mula membuat bayaran tempahan sebanyak RM500 di semua pusat jualan Proton seluruh negara atau di acara mega lima hari dinamakan ‘Power Of 1’ di Stadium Nasional Bukit Jalil dari 14 hingga 18 Mac ini.
Beliau berkata, pembeli yang membuat tempahan bagi model baru itu juga berpeluang memenangi hadiah utama Lotus F1 Team i-Race berupa pengalaman memandu kereta Formula Satu Lotus dan mengikuti program khusus sebagai seorang pemandu F1 dalam sesi khas ditaja sepenuhnya di Sepanyol.
“Pengunjung ke acara mega ini bukan saja berpeluang menyaksikan lebih dekat teknologi dan keupayaan pembuatan kereta Proton, malah mendapat diskaun dari RM500 hingga RM15,000 apabila membuat tempahan kereta Proton seperti Exora Bold, Persona, Saga FLX, Gen2 dan Savvy.
“Selain itu, model edisi khas Exora, Persona, Saga serta Satria Neo turut menawarkan kadar diskaun dari RM5,500 hingga RM15,000 manakala kereta Satria Neo R3 yang dilancarkan tahun lalu juga menawarkan diskaun RM6,000 berbanding harga asalnya,” katanya pada majlis taklimat media dan prapelancaran model baru P3-21A di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
wah tahniah proton berjaya keluarkan model terbaru lagi..harap2 takde lagi masalah yang sama berulang kat proton..buktikan kereta buatan Malaysia terbaik
gempak lahmodel ni..xsabar mau nengok depan mata