Syarikat Apple berkata penghantaran iPad terbarunya kepada pelanggan yang membuat pesanan secara dalam talian mungkin mengambil masa dua hingga tiga minggu, tetapi tablet itu akan dijual di pasaran Jumaat ini.
Apple yang menetapkan 16 Mac ini sebagai tarikh pelancaran untuk semua jualan iPad generasi ketiga, berkata pesanan peralatan itu yang dibuat dalam talian bermula sejak 7 Mac lalu.
Bagaimanapun, notis di laman web Apple hari ini (semalam) untuk iPad terbaru itu menyebut: “Penghantaran: 2-3 minggu.” Rabu lalu Apple mendedahkan iPad generasi ketiga yang dipertingkat ciri-cirinya mensasarkan untuk berada di tangga teratas dalam pasaran tablet yang semakin melonjak.
Peralatan iPad terbaru itu menawarkan pemprosesan lebih berkuasa, resolusi menarik setanding dengan iPhone4S dan mampu berhubung dengan rangkaian telekom 4G LTE yang menggerakkan data lebih pantas berbanding sebelumnya.
Ia dijangka dilancarkan serentak di 10 negara: Amerika Syarikat, Perancis, Kanada, Australia, Jerman, Jepun, Singapura, Switzerland, Britain dan Hong Kong.
Tablet iPad dengan memori 16 gegabit dan kemudahan WiFi serta 4G dijual pada harga AS$629 (RM1,912) di Amerika Syarikat, manakala model 32GBWiFi/4G berharga $729 (RM2,216) dan versi 64GB dengan WiFi/4G berharga $829 (RM2,520). - AFP