Sebab Azmin dipilih MB Selangor oleh Sultan didedahkan !

on Tuesday, September 23, 2014 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 4 Comments


  • Istana Selangor menjelaskan bahawa kelewatan pelantikan menteri besar Selangor adalah disebabkan pergolakan dalaman PKR dan ketidaksefahaman parti dalam Pakatan Rakyat dalam pencalonan menteri besar.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani berkata, keengganan DAP dan PKR mematuhi arahan Istana pada 27 Ogos untuk mencalonkan lebih dua nama, menyulitkan lagi tindakan Sultan sehingga terpaksa meneliti calon lain dalam parti itu yang tidak dicalonkan.

    Menurutnya, Azmin dipilih kerana Sultan mempertimbangkan konsensus Pakatan Rakyat mengenai kerusi menteri besar di Selangor dan percaya beliau pilihan terbaik untuk mendapat sokongan semua parti.

    "Baginda mengambil maklum bahawa kerajaan negeri Selangor dibentuk melalui kesepakatan tiga komponen parti PAS, PKR dan DAP.

    "Baginda juga mengambil maklum kesefahaman di antara tiga parti tersebut bahawa menteri besar Selangor perlu dilantik di kalangan ADUN PKR untuk mendapatkan kepercayaan majoriti dan sokongan dari parti-parti Pakatan Rakyat di Dewan Negeri Selangor," katanya.

    Kenyataan tersebut juga menyatakan Azmin, yang dilahirkan di Singapura telah bermastautin dan dibesarkan di Hulu Kelang, Gombak sejak tahun 1968.

    Azmin mendapat surat lantikan dari Istana semalam untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menyelesaikan tanda tanya siapa bakal menerajui negeri terkaya di Malaysia ini.

    PKR dan DAP semalam turut sebulat suara menyokong Azmin memberikan sokongan majoriti kepada beliau.

    Kedua parti itu sebelum ini hanya menghantar satu nama iaitu presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sehingga ditegur oleh Istana yang mahukan lebih dari dua nama dari setiap parti.
    PAS pula telah menyatakan akan mengikut pilihan dari Sultan Selangor.

    Bagaimanapun Munir tidak memberikan sebab mengapa Wan Azizah ditolak.

    Beliau dalam kenyataan sama turut menyanggah kenyataan yang mendakwa Sultan Sharafuddin Idris Syah telah mencampuri pentadbiran kerajaan negeri termasuk pelantikan menteri besar Selangor.

    "Untuk makluman umum, ingin dijelaskan sekali lagi bahawa Sultan Selangor tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri selain dari menasihati Datuk Menteri Besar Selangor.

    "Di dalam urusan pelantikan menteri besar, Sultan Selangor hanya bertindak menurut budi bicara baginda sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959," kata beliau.


4 Responses

  1. Anonymous says:

    Cuma hahahahahahahahaa.....bijak sungguh Sultan Selangor !!!!!

  2. Anonymous says:

    PKR harus berterimakasih pada Sultan kerana mempertimbangkan itu semua.,kalau tidak tentulah DUN terpaksa di bubarkan dan PR hancur lebur ,termasuklah juga perpecahan dalam parti-parti komponen sendiri,terutamanya Pas.Sultan memberi muka pada PKR terutamanya,walaupun dgn melupakan isu lain yg tidak kurang juga pentingnya.

  3. Anonymous says:

    Anon 1055am

    Saya tak pasti awak ketawa sakan kerana apa. Ayat awak " bijak sungguh Sultan Selangor !!!!!! " saya kurang jelas niat sebenar awak. Perli ? atau Memuji ?

    Pada saya Sultan telah buat satu keputusan yang selamat. Negeri Selangor selamat. Rakyat Selangor selamat. Kisah peribadi Azmin jangan dijadikan isu, mungkin beliau telah bertaubat setelah umur semakin meningkat.

    Andaian saya (1)

    Kalau Wan Azizah jadi MB. Dia adalah Remote Controlled MB. Masa Anwar ada Anwar akan pegang alat remote control. Kalau Anwar masuk Universiti Sungai Buloh ... siapa yang akan pegang alat remote control itu ... adakah PKR, adakah Pas atau adakah DAP.

    Andaian saya (2)

    Kalau ADUN Pas jadi MB. PKR dan DAP tak akan berdiam diri. Undi tidak percaya terhadap MB Pas akan berlaku. Majoriti ADUN dalam DUN Selangor berada dalam tangan PKR dan DAP. MB Pas akan tersingkir. PRN Selangor tak dapat dielak.

    Kesimpulan saya

    Melihat kepada senario krisis MB Selangor tidak terlajak cakap kalau saya menggelarkan keadaan Pas dalam Pakatan Rakyat sebagai HIDUNG TAK MANCUNG PIPI TERSORONG-SORONG & IBARAT MELUKUT TEPI GANTANG.

    Saya mengalu2kan kalau ada orang Pas yang berupaya menyanggah peribahasa saya terhadap Pas.

  4. Anonymous says:

    Dah tak ada rakyat Selangor yg bijak macam Assmin...

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.